Tuesday 28 June 2011

Manual Bercinta : Pilihan Antara Dua Jangan

Kesemua mereka, semua pada tidur. Nyenyak didalam balutan hangat kain tebal dan juga ralit menghisap jari. Itulah kehidupan rutin insan diawal pengembaraan dialam dunia, tidurnya melebihi waktu jaga. Terkadang mereka harus dibangunkan untuk disusukan, jika tidak tidur terus.

Saya ketika itu sedang bertugas di wad perinatology. Wad ini menempatkan bayi yang baru lahir samaada lahir sihat, sakit kuning yang perlu disinar UV atau bayi yang harus mendapatkan rawatan khusus. Seringnya bayi yang harus mendapatkan perawatan khusus ini disebabkan lahir belum cukup bulan. Paling sering, paru-paru mereka masih belum siap untuk bernafas secara optimal.


Tok...tok...tok...

"Doc...punten(maaf) ya. Bisa yang liat bayi ya enggak? Belum pada liat sih," tiba-tiba seorang bapa muncul dipintu meminta izin melihat bayinya yang baru lahir.

"Owh...mahu liat anak bapak ya. Sok aja...Tapi jangan lupa ya sebelum masuk itu tangannya dicuci dulu dan pake baju itu,"pinta saya sambil memberikan baju khas.

Cuci tangan dan memakai baju khas bila masuk ke ruangan ini penting untuk general precaution untuk mengelakkan jangkitan pada bayi. Diwaktu kecil begini, mereka amat mudah terkena jangkitan lantaran sistem imuniti badan mereka masih amat lemah.

"Owh...terima kasih ya doc. Nama ibunya ......," bapa itu berbudi bahasa. Saya membawa beliau ke anaknya berdasarkan tali tangan yang dicocokkan dengan nama ibunya. Melihat perawatakkan beliau, membuat saya senyum sendiri. Berbaju hitam dengan lambang tengkorak didepan, dipadankan pula dengan jeans lusuh cukup menarik perhatian. Ditambah pula dengan tangan yang kekar begitu diukir dengan tatoo.

Selepas menunjukkan anaknya, saya meninggalkan sebentar kerana harus menyambung kembali tugas memantau bayi yang lain. Selesai kesemua kerja, saya kembali ke bapa itu. Kelihatannya ralit mengambil gambar bayi comelnya untuk kenang-kenangan awal.

"Ini anak ke berapa pak?,"saya berbasa basi sambil tangan mengambil borang status bayi itu.

"Ini anak ke-3 doc. Yang duanya udah pada gedek(besar),"jawap beliau. Laju je.

"Owh, dari status ini, anaknya bapa usianya udah satu hari ya. Ngomong-ngomong, udah pada azan belum ni," tanya saya.

"Emangnya harus azan ya doc,"tanya dia terkejut. Jika dia sekali terkejut, saya dua kali terkejut melihat dia terkejut.

Anak sudah tiga orang, tanya harus atau tidak. Aiseh, ini sudah gawat!

"Erm, sok (silakan) azannya pak. Azannya pada telinga kanan, iqamatnya pada telinga kiri," saya memberi tahu dengan harapan untuk anak yang ke-4,5,6,7,8 akan datang, beliau sudah tahu.

Allahuakbar Allahuakbar!

"Haaa sudah...azan maghrib pula. Terkejut bayi lain, jenuh pula gue,"detik dalam hati.

Selesai saya azan 'maghrib' ditelinga anaknya, saya menepuk bahu dan mendekati bapa itu.

"Perlahan aja ya...biar dengar ditelinga anaknya saja,"kata saya sambil tersenyum.

Itu satu dari puluhan pengalaman yang saya dapat ketiga bertugas di department paediatric. Teringat, pasti tersenyum sendiri.

Berkat Yang Boleh Membawa Mudarat

"Nikah kena cepat-cepatlah bro! boleh kawal nafsu,"kata seorang jejaka.

Ayat ini boleh menjadi benar dan boleh menjadi batil. Jika bercakap sisi benar, cukup ramai yang mengungkapkannya. Namun sisi gelapnya ramai terlepas pandang, dibiarkan sepi tanpa digilap.

Seorang lelaki yang gagal memimpin diri sendiri itu lebih baik memilih untuk hidup terus membujang dari membuka langkah menyunting si gadis untuk dijadikan sebagai permaisuri. "Elakkan maksiat ni syeikh!." Elok-elok saja hanya menanggung satu dosa kerana kegagalan memimpin diri sendiri, memilih untuk nikah sekarang dosanya berganda dua. Dengan terus gagal mendidik, tarbiah, mengasuh, menjaga, memimpin isteri. Bagaimana dengan hadirnya zuriat? Triple!

Bersama adik sepupu

"Alah nanti dah nikah, saya akan baikilah diri. Saya akan tutuplah mana patut," ayat yang sering sangat keluar dari mulut si gadis. Meletakkan tombol perubahan diri pada orang lain.

Seorang gadis yang gagal memelihara dan menjaga kehormatan diri itu lebih baik memilih untuk hidup bujang dari menerima lamaran sang lelaki untuk diperisterikan. Elok-elok saja hanya menanggung satu dosa kerana gagal menjaga maruah diri, nikahnya saja dosanya combo KFC! Kerana terus gagal menjaga dan memelihara nama baik suami. Bagaimana pula ketika hadirnya cahaya mata? Tradisi kegagalan itu diteruskan dengan gagal mendidik anak-anak.

Keluarga Seperti Apa?

Lihat saja disekitar kita, saban hari dihidangkan dengan kes pembuangan bayi sehinggalah kegagalan suami mengawal isteri dari terus berbelanja harta golongan marhaen. Itu menjadi petanda aras bahawa institusi kekeluargaan kita berada pada satu tahap yang kritikal.

Gambar Hiasan

Lantas, membina keluarga yang muslim lagi mukmin menuju mutaqqin bukan lagi satu PILIHAN melainkan satu KEMESTIAN!

Mulakan perancangan mendidik anak dengan melihat siapa calon ibu kepada anak-anak kita.

Mulakan perancangan mendidik anak dengan melihat siapa calon ayah kepada anak-anak kita.

Namun persoalan lebih besar dari melihat SIAPA calon adalah BAGAIMANA diri sendiri sebelum mencari calon ibu atau ayah kepada anak-anak kita. Begin with end in mind!

"Akibat tidak tertib dalam menghayati dan mengamalkan Islam, institusi kekeluargaan menjadi kacau. Tak kahwin, dibuatnya maksiat. Diberinya kahwin, tidak pula reti bertanggungjawab."

"Terus, nak pilih yang mana satu ni antara dua pilihan tu?."

"Kita pilih keadaan yang tidak memerlukan kita membuat pilihan itu!."

Kembali...bercinta dengan zikir dan fikir.

"Barangsiapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki atau perempuan dalam keadaan beriman maka sesungguhnya akan Kami berikan kepadanya 'hayatan toyyibah' dan sesungguhnya akan Kami berikan balasan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan" (An-Nahl:97)

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Thursday 16 June 2011

Hidup Tidak Berkabel Besar

"Bakpelah abah mu tu buat rumah kat tempat jin bertendang tu. Dah la jauh dari rumah orang seme." Komen ramai orang bila tahu dimana rumah baru yang akan kami tinggal.

Tiada yang salah dari kata itu, usahkan mereka, saya dan adik-beradik pun aneh campur takut dengan kedudukan rumah begitu. Mana tidaknya, rumah diatas bukit dengan betul-betul dipuncak bukit ada sepohon pokok yang amatlah besar. Dan di bukit itu, rumah saya satu-satunya. Dan nama bukit itu ialah Bukit Jepun. Glupp!

Potong kepala! hehehe...

Abah dengan anaknya (nama dirahsiakan...hehe)

Masih ingat abah sebelum siapnya rumah, tertunduk-tunduk tepi jalan besar depan rumah dengan tali pengukur. Walaupun beliau bekerja sebagai jurukur profesional, kali ini bukan mahu ukur plan rumah, tapi mengukur jarak tiang eletrik terakhir dengan jarak rumah. Mahu masuk 'api' orang Terengganu kata. Jauh dari rumah orang.

Tempat jin bertendang pun bertendanglah, hikmah tetap ada.

Berkawan dengan "kampung boy"

Keputusan UPSR saya tidaklah begitu membanggakan. Mahu 'dijual' ke sekolah berasrama pun tidak laku, mahu ke sekolah agama pun abah tidak mahu. (sekarang saya syukuri tindakan abah tidak masukan saya ke sekolah agama). Jadi saya bersekolah di sekolah menengah biasa. Sekolah Men. Keb. Tengku Lela Segara, Marang. Dan ditakdirkan itulah juga sekolah ibu mengajar. Mengajar anak orang, termasuk anak sendiri.


Awal sekolah, keputusan peperiksaan biasa-biasa saja. Namun selepas angah mendapat keputusan yang baik PMR (dia sekolah sama dengan saya) dan seterusnya ke sekolah asrama penuh, semangat saya membara.

Dengan angah debek

"Kali ini aku harus keluar belajar jauh dari keluarga!," itu azam saya.

Saya kemaskan cara belajar, dan membuahkan hasil. Orang bijak pandai pernah berpesan "Orang yang cemerlang adalah orang yang membuat orang lain turut cemerlang."

Di sekolah kampung itulah saya kenal seorang 'kampung boy", yang saya berikan nama Man. Dilihat dari latar belakang keluarga memang berbeza dengan saya. kehidupan sekadarnya, sama seperti rata-rata keluarga melayu dikampung-kampung terpencil.

Saya dengan Man bersahabat rapat, dan sehingga semangat membara saya untuk 'jauh dari keluarga', beliau terpengaruh sama. Beliau tiada buku, saya pinjamkan. Beliau tiada tempat sesuai belajar, saya ajak datang ke rumah belajar bersama. Bahkan saya juga sering bertandang ke teratak beliau. Diangkatnya air teh dengan mencicipi terkadang biskut kosong atau jika ada rezeki lebih diangkatnya buah-buahan yang ditanam sekitar rumah. Saya tidak segan untuk itu, dan itulah kehidupan saya.

"Eh, bakpe licin molek je butir durian ni. Kulit pun dicekah molek je,"kata saya. Ketika itu musim durian, dan sering saya berteman dengan Man panjat bukit durian untuk mengutip. Dikandar kebawah, dan ibu sudah menunggu disana.

"Weh...biasanya durian gini, dimakan oleh Harimau Bintang!,"sebelum Man habis ayat mencicit dia lari turun ke bawah. Teringat kisah itu memang tersenyum sendiri.

Selesai PMR, alhamdulillah saya dan dia mendapat keputusan yang bagus. Bahkan keputusan batch saya ketika itu mengejutkan cikgu. Selama ini payah nak pelajar nak dapat A dalam Bi, kali ini berderet. Jangan dibanding sekolah lain, ini sekolah kampung. Satu kebanggaan.

bersekolah di SESTER

Saya dan Man membawa haluan berbeza selepas itu, dia ke sekolah asrama lain, saya masuk sekolah berasrama penuh. Selepas itu, jarang bertemu lantaran jadual cuti yang berbeza. Sehingga masing-masing ke matrikulasi dan diperingkat universiti. Saya yang belajar diluar Malaysia, sudah tentu lebih sukar bertemu dengan sahabat baik ini.

Cerita Raya

Kelebihan bagi pelajar Malaysia yang belajar di Indonesia ialah biasanya dapat pulang beraya dikampung halaman. Terjangkau dari segi harga tiket dan juga jadual cuti. Hari raya pertama, saya terdetik mahu ke rumah Man. Dan alhamdulillah beliau ada. Bercerita panjanglah kami, dan saya sempat jemput beliau ke rumah beraya.

"Aku kalu mu takdok, rasa segan nak gi rumah mu. Dah mu ajok ni. Kene gie la," Man berbasa-basi.

Keesokannya, beliau datang bertandang. Ralitnya orang lama tidak bertemu mesra, pasti banyak cerita diri yang dikongsi dan berkongsi.

"Lama dok jumpe kan. Keje mane lening,"saya bertanya.

"Keje gitu-gitu je Mie. Ikut orang je, bukan bos. Ikut bos suruh, kene pasar wayar, pasang siling kapur ke, cat dinding ke. Seme buat la...hehe,"sempat lagi beliau bergurau.

"Jap, sebelum ni mu belajor mana? bukan amik degree ke?,"saya bertanya lagi.

"Aku belajor kat universiti la. Aah, amik degree kejuruteraan,"jawap dia.

"Hah, bakpe mu kerja gitu? mu kan ada degree, keje tu macam keje buruh kasar kampung je,"saya terkejut.

"Gitulah Mie, nok buat guane. Lening abis keluar universiti je, walaupun ada degree, keje takdok. Aku bukan nok tinggi sangat, paling padan patut dengan kelulusan la. Tapi leni keje rohok nok dapat. Antor resume doh seme-seme, swasta pun ye, kerajaan pun ye. Jadi nak taknak, keje la gitu, buruh kasar. Dok kang nak gantung dengan mak pak lagi dah besar ni," panjang Man bercerita.

"Erm...macam mu tu kan, paling keje dengan JKR ke apa. Senang cerita, kerja kerajaan la. Doh payoh sangat, mu takdok orang dalam ke, pakai kabel ngejas guane-guane tengok. Mu bukan takdok kelulusan, degree lagi tu,"saya mengusulkan cadangan.

"Takdok Mie...lagipun aku bukang ye orang besar. Kalau ada orang besar, kabel pun bapok, dok belajor tinggi pun boleh keje sedap. Aku ni orang kampung miskin je, takdok orang kenal,"luah beliau hampa.

Keadaan menjadi monotone, dan saya mengubah perbincangan ke hal yang lain. Dan sebelum dia berpamitan pulang, saya sempat berbisik.

"Dah rasa payah hidup leni, nanti kita ubahlah ek," saya berkias.

"Bereh Mie, itu pasti!,"jawap dia laju sambil tersenyum.

-------------------------------------------------------------------------------------------------

"Ada lebih susah dari susah, iaitu BERUBAH," kataUstaz Hasrizal

Berubah (gambar hiasan)

Sudah selamat satu undi!

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Saturday 11 June 2011

Menternak Fikrah Istana Kaca

Dikala hati pedih, sedih kesan dari pergaulan dengan manusia lain, saya terbaca satu hadis ini. Ibarat air dingin memenuhi tenggorokan yang haus. Dipadang pasir. Cukup melegakan, mendamaikan.

Rasulullah s.a.w pernah berpesan "Jika seorang muslim bergaul dengan orang lain dan bersabar atas gangguan mereka, adalah lebih baik daripada seorang muslim yang tidak bergaul dengan orang lain dan tidak bersabar atas gangguan mereka." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Gambar Hiasan

Pesan Baginda sebenarnya jika dipertimbangkan dari sisi sunnahtullah mahupun syariatullah amat tepat dan saling berkait.

Bagaimana mahu kita kata coklat itu sedap, andai tidak dicicipi?
Bagaimana mahu kita kata bayu itu mendamaikan, andai tidak kepanasan?
Bagaimana mahu kita kata sudah beriman, andai tidak diuji! Firman tertinggi...

Rasa Disalah Erti

Apa yang ada rasakan andai diri disalah tafsir?

Lain dicakap, lain disalah tafsir.
Lain dilakukan, lain dilihat.

Memang mengecewakan. Apatah lagi suara kita yang dilontarkan itu ditafsirkan dengan nada berbeza bahkan diberikan konotasi yang negatif. Sudah tentu, medan tulisan tanpa intonasi suara membarahkan konotasi berbeza.

"Tolong beli seluar, dalam dua tiga helai."

dengan

"Tolong beli seluar dalam, dua tiga helai."

Itu saja cukup melucukan, namun dalam hal yang lebih serius ia boleh melukakan. Sudah semestinya hidup secara personal membuatkan jiwa kita akan memberontak dan marah untuk membetulkan persepsi itu terhadap diri. Bahkan jika hidup kita berkumpulan, bergaul dan berbaur perasaan itu berganda sakitnya.

Diuji Islam atau Keislaman Diuji?

Saya suka belajar karekter manusia dari cara mereka menulis, menjawap dan melontarkan idea dan pandangan. Bukan untuk mengadili, tapi cukup bagi diri saya mengutip mutiara pengalaman bersama manusia-manusia. Biarpun ia pengalaman tidak enak, ia tetap mutiara. Apatah lagi pengalaman yang mendewasakan dan mengeyangkan minda. Mutiara yang cukup luar biasa.

"Kepada semua Melayu-Islam, cepat mendaftar pemilih. Jangan kerana kita tidak mengundi, nanti kita Melayu-Islam akan jadi seperti Palestine. Merempat dinegara sendiri," begitu semangat saranannya. Dari bacaan saya, 'ya, dia seorang yang berfikrah.'

Namun, beberapa soalan menjengah kedalam minda. Dan terdetik mencuit kekuatan fikrah ini. Dan jika ada peluang dan keperluan, boleh kita berbincang berkongsi rasa hati.

Kenapa hanya Melayu-Islam?
Mahu dicampak kemana bukan melayu dan bukan Islam?
Mahu mengundi siapa?
Apa kaitan senario Malaysia dengan pelarian di Palestin?
Tidak tahukan dia tentang semangat Arab di Palestin lah yang membuat bumi Isra itu terjajah?

"Bakal seronok ni. Meh cuit sikit, mungkin ada ruang boleh kita berkongsi,"detik hati saya.

"Erm, kalau saya nak undi DAP boleh," saya berbasa basi dulu. Melontarkan idea 'horor' bagi sesetengan umat melayu.

"Kalau rasa undi DAP tidak menjadikan anak bangsa menjadi pelarian merempat di negara sendiri. Undilah parti tersebut," menyakinkan dan tegas jawapannya.

"Dimana logiknya kita melayu-Islam boleh menjadi pelarian dinegara sendiri? Boleh bagi senario yang paling memungkinkan," saya cuba mengegarkan lagi kefahaman tentang idea melayu Islam, salah langkah, pelarian, dan Palestin.

"Habis tu Palestinians tu apa ko rasa status diorang sekarang? Diorang kata Palestine itu hak diorang, tapi tengok sape yang conquer? Siapa yang merembat? Siapa yang banyak kena tembak?," panas jawapannya. Sudah ber'aku' 'ko' walaupun berbeza usia lebih tua.


Status Palestin itu sekarang pelarian.
Israel yang conquer.
Zionis yang rembat.
Rakyat Palestin yang banyak kena tembak.

Jadi mana kaitan yang paling memungkinkan senario di Malaysia dan di Palestin sama? Tidak mampu diberikan, yang saya dapat kemarahan. Mungkin saja soalan saya itu boleh dijawap dengan kaitan dan contoh yang paling jelas antara situasi Palestin dan apa yang bakal terjadi kepada Malaysia jika tidak mengambil iktibar dari Palestin. Boleh jadi jawapan itu benar.

Jawapan tidak dapat, dimarah pula ada. Padan muka Amad!

Itu satu dari pengalaman saya berbaur dengan manusia. Sering yang dapat selain Pro-UMNO, Anti-UMNO, salafi wahabi, khalaf, syiah, Pro-PAS, Anti-PAS, anti-perempuan, minat perempuan, bajet ahli syurga. Dari kawan baik sendiri ataupun lawan.

"Ni payah bincang dengan orang pemikiran sempit."

"Amad memang begitu, sabar jela."

Dirasakan Islam dipersoalkan, tapi hakikat 'keislaman' mereka yang dipersoal.

Gagal menjawap, jadi simplistik...

Apa Yang Kita Percaya

Saya masih ingat kisah anak buah naqibah, kak naqibah dan PERMAI. Bagaimana tarbiah yang seharusnya membebaskan jiwa dari 'perhambaan' sesama manusia kepada sebenar-benar perhambaan kepada Allah. Memperbodohkan anak buah demi kesejahteraan fikrah.

"Aaah...jangan tanya saya banyak-banyak. Tanyalah kak naqibah!."

Inilah isunya. Sebelum kepada apa yang kita perjuangkan, soalan yang datang sebelum soalan itu adalah apa sebenarnya yang kita percaya?

Disebutnya perjuangan adalah tindakan atas apa yang kita yakini. Namun jika kekuatan itu goyah terburai dengan sedikit cuitan, idea yang kontra, berbeza nada itu bukan lagi perjuangan bersadarkan kefahaman tapi taqlid mengkhinzir buta atas nama perjuangan.



Kenapa taqlid?

Kerana kita diajar untuk menghafal fikrah dan idea. Namun gagal menyambungkan fikrah dan idea itu kepada realiti. Memang kelihatannya hebat mampu mengingati dan menghafal quote dari insan-insan hebat. Tapi apa yang di quote itu adalah idea dan fikrah orang lain bukan fikrah sendiri. Fikrah sendiri adalah dibina atas apa yang kita fahami dan yakini.

Hal ini terjadi kerana kita tidak pernah diajar untuk meragui atau mempersoalkan kembali apa yang kita percaya. Sedangkan itulah kunci untuk mendapatkan keyakinan yang sebenar-benarnya. Bukan ikutan, bukan arahan, bukan turunan.

Jangan menjadi daie yang kefahamannya seperti istana kaca. Nampak cantik kukuh, namun fragile!

Kita! adalah apa yang kita percaya...

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Tuesday 7 June 2011

Cerita Tentang Abah

"Errr...abah...abah...ami dengan angah nak kalang cat (pensil warna) boleh dok? Cikgu kat PASTI suruh bawa sebab kena warnakan gambar dengan buat kerja rumah. Boleh dok?,"pinta saya dan angah.

"Ermm..tengoklah guane kekgi,"jawap abah ringkas dan tegas.

Waktu itu saya berumur 5 tahun dan telah bersekolah di PASTI di Kemaman. Sebut saja pra-sekolah, alatan yang wajib pasti antaranya adalah pensil warna. Diusia itu, saya sudah ada 4 adik beradik. Yang sudah bersekolah Kak Long dan Angah.

Di PASTI Mak Cili, Kemaman. Teka mana satu saya?

Entah kenapa, bagi kami anak-anak abah, mahu minta dibelikan barang atau meminta duit untuk membeli barang membuatkan kami berdebar-debar.

Abah dengan perawakan yang serius, janggut dan misai mengerunkan, rotan tersangkut di dinding dan hukuman kesalahan yang tidak akan pernah terlupakan memberikan satu persepsi yang menakutkan oleh kami bertiga.

"Ala minta je dengan aboh mu tu...duit dok habis sang. Dalam bank belambak," kata sedara-sedara kami. Menyindir. Makankan tidak, sedara seusia dengan kami mudah saja ordernya dari keluarga masing-masing. Pasti dapat. Kami usahkan untuk order, tengok muka abah pun sudah kecut perut.

Miskinkah keluarga saya?

Dengan ibu berkerja sebagai guru sekolah, dan abah ketika itu berjawatan sebagai pengarah ukur tanah daerah. Tidak terlalu kaya, namun tidaklah papa kedana. Untuk 5 beranak, perolehan begitu sudah cukup 'mewah' berbanding dengan keluarga lain diluar. Dengan umur sekitar 30-an keluarga saya sudah dikatakan cukup. Sudah ada rumah sendiri tidak menyewa, sudah ada kereta Toyota Corolla sendiri. Cukup...

Khabarnya, abah guna kereta ni 'ngorat' ibu...ahaks!

Barang Kongsi

Keesokkan harinya, abah pulang dari kerja. "Ami mari sini," abah memanggil. Selepas itu diserahkan sekotak pensil warna berlogo LUNA kepada saya. Saya yang mendapatkan pensil warna itu seakan mahu melompat. Bukan senang nak dapat 'hadiah' dari abah.

"Terima kasih abah...terima kasih. Tapi kalu hok ni yang Ami, mana hok angah? Dia kat sekolah pun kena guna kalang cat jugop,"tanya saya bercampur baur. Gembira kerana dapat pensil warna, dan takut menuntut untuk pensil warna angah.

Dengan angah debek

"Bagi dua je kalang cat tu. Ada dua belas batangkan. Ami amik 6, angah amik 6. Kalu nok warna yang lain kekgi, tukor-tukor je,"abah memberikan penyelesaian yang praktikal bagi dia.

Saya? mahu kata apa lagi. "Hurmm..ok abah," jawap dengan hati yang lara dan berbisik dalam hati "Mahal sangat ke kalang cat ni, sapa kena kongsi-kongsi."

Mengomel-ngomel budak 5 tahun itu dalam hati. Tak puas hati, sedih hati, makan hati...nak cakap? hati-hati..takut!

Kenapa begitu? ketika itu, saya tidak faham...

Duit 30 Sen

"Ibu...ami nok gi sekolah dah ni. Nok duit belanja," seperti biasa macam anak-anak orang lain juga, mahu ke sekolah meminta duit belanja.

Ibu kedalam bilik, mengambil beg tangan dan seterusnya mengeluarkan dua keping duit syiling. Kesemuanya bernilai 30 sen. Dengan nilai begitu, saya mampu membeli nasi berlauk hati goreng bernilai 20 sen, dan air sirap bernilai 10 sen. Tak seperti teman lain, ada yang 50sen mampu membeli keropok goreng lagi bahkan 1 ringgit yang dianggap mewah.

Kerana merasakan ketidakcukupan itu, saya menjadi usahawan disekolah dengan menjual tebu. Dipinggir rumah kos murah kami itu, ibu menanam tebu, jadi sering meminta tebu itu ditebang, dibersihkan, dipotong dan dibawa ke sekolah untuk saya jual.

Dengan usia begitu kecil, saya berusaha mencari wang tambahan. Buku sekolah dikelek pada tangan, tebu dimasukkan kedalam beg galas. Berjalan kaki ke sekolah dibawah terik mentari. Yang menariknya, jualan tebu saya tidak pernah tidak habis. Mana tidaknya...

"Hah, buat apa tu!," jerkah cikgu. Terus saya membaiki kedudukan saya diatas kerusi. Ketika itu saya sedang menjalankan urusniaga dengan teman sekelas dibawah meja. Begitu komited dengan perniagaan.

Hehehe...

Tebu, airkrim dalam plastik antara barang jualan saya.

Diajar Susah Untuk Senang

Dengan umur sesuai jadi ayah orang, saya tersenyum sendiri. Melihat barangan 'mewah' yang saya ada sekarang, saya boleh berbangga kerana mendapatkannya dari titik peluh sendiri. Untuk camera DSLR sebagai contoh saya berkeringat bahkan tebalkan muka untuk menjual kain sembahyang dari Bandung untuk mencari modal. Berusaha selama 2 tahun, barulah 'kekasih hati' dapat dimiliki. DSLR itu barang kehendak.

Bagi saya DSLR itu barang mewah

Namun bila masuk barang keperluan, abah sering menawarkan diri untuk menyediakannya. Kerana ia dibawah tanggungjawabnya. Untuk selain dari itu, mahu usaha sendiri. Mahu senang, berusaha. Itu falsafah hidup yang diajar abah dari dulu sampai sekarang walau ketika kecil itu mengomel-ngomel.

"Ami, bukan senang nak jadi senang. Dan tidak susah untuk menjadi susah,"pesan abah.

Peribahasa Turki ada menyebut

"Orang yang tidak pernah dibakar panas mentari, mustahil menghargai rimbun berteduh."

Dulu abah begitu, sekarang baru saya faham.

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.