Friday 30 December 2011

Jemputan Perkahwinan Ahmad Fahmi & Sh. Nurul Hidayah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Firman Allah s.w.t ada menyebut,

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri (jodoh) dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

[Surah Ar-Rum: 21]

Justeru dengan rasa rendah diri dan penuh kesyukuran, saya Ahmad Fahmi Bin Sulaiman ingin berkongsi kegembiraan dengan keluarga, murabbi, sahabat dan kenalan untuk melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w ini pada 4 Februari 2012, 9.00 pagi dengan muslimah pilihan hati Sh. Nurul Hidayah Binti Syed Murzaki di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor (Rumah pengantin perempuan)

Majlis Walimatul Urus pihak Pengantin Perempuan, insyaallah akan berlangsung pada;

Tarikh: 4 Februari 2012, Sabtu
Tazkirah ringkas dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil: 11.00am – 12.00pm
Jamuan: 12.00 pm- 4.00 pm
Tempat: Balai Masyarakat BK2/10, Bandar Kinrara, 47180 Puchong, Selangor


Bagi kami berdua, tiada yang kami dambakan melainkan doa dan restu dari kalian. Kehadiran keluarga,murabbi, sahabat dan kenalan sangatlah dialu-alukan untuk memeriahkan walimahtul urus ini.

Terbang tinggi, si burung merpati,
Hinggap di dahan di tengah hari.
Munajat hamba, tenang di hati,
Doa dipohon, redhaNya di cari.

Akhirul kalam, moga redha Allah pada kami berdua, kedua belah keluarga, majlis dan kalian juga.

Wassalamualaikum wbt.

Nota 1: Bagi yang berhajatkan jemputan dalam bentuk kad undangan pernikahan, boleh hubungi Ahmad Fahmi atau Sh. Nurul Hidayah.

Nota 2: Bagi sahabat (Ahmad Fahmi) termasuk juga sahabat (Sh. Nurul Hidayah) yang tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis dipihak perempuan, InsyAllah majlis walimah di pihak pengantin lelaki, akan diadadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti di kampung halaman, Marang, Terengganu.

Nota 3: Mohon doanya "Semoga Allah memberkatimu dan melimpahkan kerberkatan-Nya ke atasmu serta menempatkan kebaikan di antara kamu berdua" [Riwayat Abu Daud, Ahmad Ibnu Majah, Al-Hakim]

Nota 4: Siapa Sh. Nurul Hidayah yang menjadi calon isteri saya? Beliau adalah penulis blog Sinar Islami

Friday 23 December 2011

Metropolitan Jakarta dan PERMAI

"Apa harapan enta?," tanya saya kepada seorang teman. Orang kuat PERMAI, yang pertama kali diadakan di Jogja.

"Ana harap ia bukan PERMAI yang terakhir, dan jika boleh. Kita rotasi giliran PERMAI. Antum dari Bandung siap tak nak buat PERMAI?," jawap teman itu. Mahu melepaskan baton dari Jogja ke Bandung.

"InsyAllah, tiada masalah untuk itu. Sekarang kami bertandang ke Jogja, nanti kalian pula ke Bandung. Tidak hanya pengisian yang dapat, dapat juga berjalan-jalan mengenal tempat orang lain.

Jika di Jogja, Ustaz Hasrizal membahas tajuk 7 Habits of Highly Effective Muslim, di Bandung pula mengupas Maza Ya'ni Intima'i lil al-Islam.

Hari ini, sahabat-sahabat di Jakarta pula meneruskan legasi itu. Legasi bukan sekadar pelengkap jadual, penerus tradisi melainkan bertujuan memberi impak kepada ummat menerusi tenaga-tenaga muda di perantauan. Pilihan tajuk kali ini agak provokasi buat sesetengah orang.

Baitul Muslim.

Saya? saya senyum je. (^_^)

Selamat berprogram buat semua!


Sunday 4 December 2011

Manual Beragama: Baca Jangan Sekali

Saya menulis dalam bentuk kata kunci. Kata kunci itu disusun untuk memperlihatkan kesinambungan antara kata kunci itu, dan kata kunci itu akan saya taip dan disimpan dalam bentuk 'word'. Seterusnya komputer ditutup. Catatan itu kembali saya taip, ditambah huraiannya, bahkan banyak huraiannya dibuang.

Proses itu diulang dua tiga kali bahkan pernah lebih dari itu. Masa diambil, usaha dicurahkan, namun saya yakin dan niatkan apa yang dicoret setidaknya diterima langit sebagai amal baik. Lama ya lama, tapi semua itu harus saya lakukan dalam usaha mendidik diri agar lebih bertanggungjawab apa yang dicoretkan, dan memberikan yang terbaik untuk sahabat di blog ini. Sedaya upaya saya.

Namun, balasan yang saya terima tidak begitu. Jika saya menulis boleh hampir 2 jam, ada pengunjung membaca hanya 5 minit membuat kesimpulan. Jika kesimpulan itu adalah selari apa yang saya maksudkan, saya mengurut dada gembira. Tapi banyak dihayun merata, dibawa atas nama saya.

Ada yang saya perincikan apabila saya rasa harus diperincikan, ada saya menulis dengan metafora agar yang dilontar itu kail. Pepandailah mencari sendiri ikan. Kerana itu salah satu cara saya menghormati aqal sahabat-sahabat. Saya menolak doktrin, begitu juga saya tidak mahu mendoktrin pembaca.

Makin Terperinci, Makin Rendah Kualiti

"Saya muslim," itu adalah kenyataan umum. Jika dahulu, ia masih boleh diterima. Kerana apabila muslim, ia merujuk pada muslim 'itu'. Tidak sekarang. Harus diperinci.


Muslim seperti apa?

Muslim moderate kah? muslim ortodok kah? muslim sunnah kah? muslim mu selam kah?

Kepada harus diperincikan? Kerana muslim sekarang bukan seperti muslim yang dicontohkan Rasulullah s.a.w.

Ya muslim, tapi muslim itu juara mengisap dadah.

Ya muslim, tapi muslim itu kaki songlap RM250 juta.

Ya muslim, tapi muslim itu berbaju adik ke pusat membeli belah dengan pusat berjalan.

Ya muslim, tapi muslim itu yang bersikap keras dengan semua orang tidak sealiran.

Kerana ada muslim yang tidak seperti muslim, sehingga harus dirincikan. Makin dirincikan apa itu muslim, menandakan kerendahan nilai jati diri muslim.

Menjawap dengan Membiarkan

Saya tidak sombong untuk berkongsi. Begitu juga saya terkadang sombong untuk memberi. Sering saya gunakan fatwa hati dalam merespon setiap pertanyaan. Jika saya rasakan, penulisan belum cukup jitu memberi jawapan atau kailnya masih tidak diikat tali, pasti akan turun untuk berkongsi. Saya tidak sombong. Apatah lagi, saya rasakan benar memang dia mahu belajar. Saya pun masih belajar, saya berada di kedudukan mereka.

Mahu belajar

Belajar aqal berbeza dengan belajar cara suap. Jika pertanyaan itu hasil dari malasnya berfikir, saya tetap menjawap. Menjawap dengan cara membiarkan soalan itu tidak dijawap.

Banyak lontaran pandangan ataupun cerita, saya coretkan secara umum. Tidak disebutkan nama si fulan bin si fulan, dan tempat dimana. Harapan saya, agar cerita itu dicanai mengikut kesesuaian masing-masing dengan mengambil ibrah darinya. Namun biasanya tidaklah begitu. Mahu dirincikan, jadilah cerita itu adalah cerita saya bukan cerita untuk semua.

Rajinkan Berfikir, Banyakkan Zikir

Hukamah ada berkata "Orang firasat tinggi, untuk faham cukup sekadar berdehem."

"Dr Amad, boleh ulas lagi tak?," itu dalam bentuk soalan.

Ada juga diulas, dihayun merata rawa (simpulan bahasa Terengganu) yang terkadang saya terfikir, 'jauhnya dari aku maksudkan'. Walaupun tidaklah sering, setidaknya beberapa kali saya harus mengambil nafas yang panjang. Tanda kebosanan.

Bukan bosan memberi, tapi bosan untuk menyuap.

Gabungan beberapa generasi, kami berbincang dan berkongsi. Saya suka ini.

Menyedari kesenjangan pembaca yang melebar, berlatar belakang diri yang berbeza. Saya cuba raikan, semampu saya. Keterbatasan diri sebagai manusia, saya cuba akui. Namun tidak sebagai alasan. Tetap sedaya upaya dipermudah dengan bahasa mudah, mengurangkan satira-satira tinggi, diberikan contoh dan 'dikurangkan' ayat dan nas agama.


Jangan memaksa untuk saya memerinci, kerana lebih terperinci semakin rendah kualiti.

Oleh itu, mungkin dalam nada merayu saya ingin katakan 'baca jangan sekali, baca dengan aqal diberi, hormatilah nilai diri, kerana kita adalah sebaik-baik kejadian ciptaan Ilahi.'

Mahukan kita sama-sama mahu memahami?

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Monday 14 November 2011

Manual Bercinta: Cinta Tidak Perlu Diungkap (Edisi Kemaskini)


Malam Ku Bermimpi
Ai Dengan Satu Bintang
Berkata-kataku Di Jendela
Ku Lihat Kanda Tersenyum Memandang
Asmara Bergelora Meresap Ke Dada

Malam Ku Terlihat Oh Sekuntumlah Bunga
Baunya Harum Menarik Hati
Tak Sanggup Menahan Rasa Asmara
Meresap Mendalam Menusup Di Jiwa

Sayang Jauh Di Balik Awan
Wajahmu Tetap Berseri-seri
Laksana Bulan Sedang Mengambang
Menawan dan Menggoncang Dalam Kalbu

Oh Angin Bertiup Bawa Daku Ke Sana
Hasratku Ingin Bersama-sama
Tak Tahan Rasa Hati Menderita
Gelora Asmara Selalu Menggoda

Sayang Jauh Di Balik Awan
Wajahmu Tetap Berseri-seri
Laksana Bulan Sedang Mengambang
Menawan dan Menggoncang Dalam Kalbu

Oh Angin Bertiup Bawa Daku Ke Sana
Hasratku Ingin Bersama-sama
Tak Tahan Rasa Hati Menderita
Gelora Asmara Selalu Menggoda

Gelora Asmara~ Hail Amir dan Uji Rashid

Fanaa, itulah perkataan yang tepat apabila berbicara soal cinta. Cinta yang mempunyai dua sisi cerminnya. Cinta yang boleh membangunkan, cinta juga boleh meruntuhkan. Lihat saja lagu klasik tersebut, ia antara lagu kesukaan saya selain dari lagu klasik yang berhantu iaitu Dara Pujaan- L Ramlee.

Cinta itu segalanya indah, tapi ramai jua merasai pahitnya cinta.

Selepas saya menulis beberapa article yang menyentuh serba sedikit tentang isu evergreen iaitu CINTA, membuatkan diri ditempatkan oleh pembaca menjadi salah seorang dari rujukan. Sedangkan nikah pun belum, ayat power dan sakti untuk mencairkan wanita belum lagi digunakan. Dan sekarang satu demi satu ada yang meminta pandangan. Layakkah? Kita berkongsi, ambil yang baik dan sebarkan. Yang buruk, datang ke sini bisik.

Usaha saya hanya kecil, hanya meminjamkan telinga untuk diperdengarkan cerita. Saya serba sedikit cuba untuk menjadi pendengar yang setia, bukan untuk memberikan satu jawapan yang tepat dan jitu. Apatah lagi dapat member solusi satu demi satu masalah cinta.

Kerana cinta adalah persoalan jiwa. Jiwa pula berbeza-beza tempatnya disetiap manusia. Saranan kepada satu individu ini bukan semestinya cocok dengan individu yang lain. Jadi antara senjata yang saya berikan kepada mereka, yang kebanyakkan mereka boleh guna tanpa perlu saya jawap satu demi satu adalah bagaimana untuk menguruskan cinta.

Pujangga pernah berpesan “Berikan kail, jangan diberinya ikan.”

Hadir dalam riang.

Hadir dalam duka.

Hadir dalam keliru.

Hadir dalam blurr.

Itulah warna warni pembaca yang tampil untuk berkongsi cerita dengan saya. Sudah semestinya setiap yang hadir, saya raikan dengan hati yang berbunga-bunga.

Cinta Diungkap, Hati Gelisah

Selepas beberapa article yang menyentuh dan mengupas soal cinta, ada didatangi beberapa insan yang sebahagiannya tidak pernah saya kenal, meminta pandangan tentang masalah mereka hadapi.

Gambar Hiasan

" Amad, anda percaya tentang mimpi tak?," tanya seorang teman maya.

" Mimpi? hurm...nak kata tak percaya, tidak juga. Nak kata percaya, silaplah. Tapi banyaknya tak percayalah. Kenapa tetiba buka bab mimpi ni," saya menjawap dan pada masa sama cuba memberi ruang keselesaan kepada beliau untuk berkongsi rasa.

" Macam ini, saya semenjak dua tiga hari ini, asyik bermimpi seorang lelaki ni je. Saya tak nak, tapi sering termimpi," dia bercerita. Owh, sebelum itu, kawan dunia maya saya ini adalah seorang wanita. Jadi pantas saja yang masuk dalam mimpinya lelaki. Lelaki mimpi lelaki…dizaman seksualiti merdeka ni. Ia kes biru haru!

" Special sangat ke lelaki tu sampai duk angau begitu sekali?," saya bertanya lagi. Cuba mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat dari history taking yang dijalankan.

" Macam ini sebenarnya. Saya ini ada suka seorang lelaki ini. Tapi tahu sahajalah, saya perempuan, bila suka, hanya mampu buat hanya diam je. Pendam rasa sorang-sorang. Itu ok lagi. Tetapi satu hari, sebelum lelaki itu mahu ke luar negara belajar untuk beberapa tahun. Dia datang jumpa dengan saya," beliau bercerita.

Orang menaruh hati tengah memendam rasa, datang sang jejaka pujaan. Mengantuk disorok bantai beb. Indah!

"Apa yang dia cakapkan," tanya saya lagi.

Cuba mendapatkan symptom penyakit ini.

" Dia cakap dia sukakan saya. InsyAllah dia janji selepas habis belajar nanti, dia akan datang cari kembali saya. Dan itulah masalahnya. Selepas itu hati saya tak tenang, asyik teringatkan dia. Sedangkan dia diluar negara, seolah-olah diikat, tapi tanpa berikan keputusan yang pasti," beliau menyambung.

Penantian satu penyeksaan.

Keluar dari kes ini sebentar, ini pesanan terutama untuk muslimat. Jika orang hadir, bertanya soal hati, cubalah menyatakan keputusan itu secepat mungkin dengan berfikir. Jika YA, katakan dengan cepat. Jika TIDAK, katakan dengan cepat. Anda mungkin tidak perasaan dan tidak mengerti, ada lelaki yang tidak keruan hidup tanpa keputusan yang tepat dan cepat.

Jangan seksa mereka dengan penantian yang lama.

" Apa pandangan dan nasihat Amad pada saya? Saya tahu itu silap, tapi macamana nak baiki dan ubah?,"sedih bunyinya.

" Pertama, saya nak sekeh kepala mamat yang cakap sayang tu," saya menjawap.

" Hah, suka hati nak sekeh kepala orang," cepat beliau memberi respon.

" Ops, maaf terlupa pula kepala orang saya nak sekeh itu adalah cik abang tersayang," saya bergurau sebenarnya.

" Sebenarnya, orang yang membuat kesilapan paling besar adalah lelaki itu. Kita ni tidak kira lelaki atau perempuan, rasa suka, rasa minat ke seseorang, untuk itu wajar-wajar saja. Tetapi tindakan lelaki itu adalah amat tidak wajar," saya bagi pandangan.

" Salah lelaki tu? Kenapa? saya tidak faham," dia soal balas.

" Silap paling besar lelaki itu adalah dia mengucapkan rasa sayang dia itu pada anda!."

Sebelum bicara lebih mendalam, ayuh saya samakan persepsi agar kesimpulan pembaca jauh dari yang saya ingin sampaikan. Ini bicara soal insan yang tiada ikatan sama sekali.

Perasaan Wanita, Lelaki Harus Hormati

Adakah salah meluahkan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?

Adakah salah menyimpan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?

Jangan sekali-kali kita menjadi robot cinta. Persoalan dan bicara soal hati dan perasaan diukur dengan digital.

Hati wanita sebenarnya kompleks, dan akan mudah dipengaruhi oleh perasaan. Bagi mereka yang tidak menaruh harapan kepada seorang lelaki itu, apabila diuji dengan persoalan berkaitan hati, sudah tidak nyenyak tidur, makan tidak kenyang, mandi tidak basah. Inikan pula yang sudah menaruh harapan. Mengantuk disorong bantal.

Tetapi bantal itu bukan bantal biasa, ia bantal fatamorgana. Empuk bicaranya, hakikatnya sensara. Bangun pagi, sakit tengkuk!

Empuknya pada mengusik hati si gadis, sensaranya adalah penantian tidak pasti. Bayangkan, yang dijatuhkan hukuman gantung. Mana lebih sensara, yang tahu tarikh pasti atau yang tarikhnya entah bila. Sensara yang mana?

Anda! Jika minat dan menaruh harapan kepada si gadis, dan merasakan jalan pernikahan itu masih jauh dipandangan mata, jangan sekali-kali gatal meringankan mulut untuk meluahkan perasaan sayang itu. Nak petiklah, nak suntinglah, nak racunlah, nak tanamlah. Mengarut!

Anda mahu pergi jauh, pergilah. Jangan diusik perasaan si gadis dengan luahan itu. Elok-elok si gadis dapat mengawal diri dengan sangkaan hanya bertepuk sebelah tangan, datang mamat mana entah untuk bertepuk sama.

Kita sebagai lelaki mungkin tidak mengapa, masih mampu mengawal diri. Paling tidak, senangkan hati dengan ‘alah jodoh banyak.’ Tetapi tidak bagi mereka. Ketahuilah hakikat sebenar jiwa lelaki dan wanita itu berbeza.

Kita dari Marikh, deme dari Venus.

Lawan Jangan, Layan Jangan

" Dah tu, sekarang dia pun terlepas cakap. Saya pulak dah lama terseksa dengan perasaan ini. Macamana nak buang ni?," tanya beliau.

Buang jangan, manage wajib.

Bagaimana?

Cara menguruskan angau yang tidak berpijak dibumi nyata ini adalah dengan MELUPAKANNYA.

Ustaz Hasrizal pernah berkongsi tentang hal

Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!

Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.

Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.

Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat “memberi”.

Gambar Hiasan

Tidak lupa juga ingin saya berpesan untuk sekian kalinya, masalah sayang, masalah cinta, masalah rindu adalah masalah jiwa. Kembalikan masalah jiwa ini kepada pemilik segala jiwa. Allah s.w.t. Jangan lepas dari tidak bermunajat kepada-Nya memohon kekuatan. Jika tidak dijawap dalam satu hari, biarlah terus berusaha hatta 100 tahun sekalipun. Doa tetap doa, kerana kita hamba.

Cinta itu harus fikir, fikir itu harus mengunakan aqal, aqal mampu sihat dengan hanya disirami iman.

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Friday 11 November 2011

Cerita Pak Lebai Cool

Saya pernah bersembang dengan seorang teman yang berasal dari Indonesia, dia menceritakan betapa dirinya sudah tidak percaya dengan pemimpin. Tidak kira siapa, asal dari kubu mana sekalipun.

Mana tidaknya, jika sebelum pemimpin itu diatas. Semuanya idealis dan telus. Kekurangan dan salah laku pemimpin diatas mudah disorot dan vokal dalam menentangnya.

Namun itu ketika kuasa tidak berada didalam genggaman. Harta dan pangkat membawa pesona yang berbeza. Cukup luarbiasa untuk menjadikan manusia itu hamba. Itulah realiti dunia, walaupun tidak sedikit manusia mengeluh dan berputus asa dalam mengajak manusia menuju kebaikan, ketahuilah syaitan tidak pernah sedikit pun berhenti apatah lagi berputus asa menyesatkan manusia.

Bukankah syaitan pernah berkata "Berilah aku waktu, sampai hari mereka dibangkitkan." (Al-A'raf:14)

“Semuanya sama, jika udah diatas. Korupsi juga. Dulu”

Saya hanya tersenyum.

Selepas itu saya menyambung.

“Mau dengar cerita enggak? Di Malaysia itu ada satu pemimpin, kalau diibaratkan seperti Gabenur lah disini. Disana dipanggilnya Menteri Besar. Namanya Tok Guru Nik Abdul Aziz. Dia udah memerintah Kelantan lebih 20 tahun. Cuba nebak (teka) rumahnya gimana?.”

“Wah, pasti udah kayak Istana dong. Memerintahnya udah 20 tahun. Pasti 'lahannya' udah banyak dijarah," beliau menyamakan insan yang saya cerita ini dengan realiti semasa pemimpin Islam yang ada.

“Tet…salah. Rumahnya berdinding kayu, berlantai juga kayu doang. Yang gedek (besar) itu masjid disebelah rumahnya. Dan walaupun dia adalah Gabenur, beliaulah imam di masjid itu.”

“Bener…enggak percaya ah gue.”

“Datang Msia, aku bawa jalan kesana. Gratis!.”

Saya mengangkat punggung dan berlalu.

Nak cool, tidak perlu pergi konsert.

Nak cool, tidak perlu pergi stesen radio popular.

Nak cool, tidak perlu pergi naik bas.

Nak cool, cukup memakai kain pelikat, bertegur sapa dengan masyarakat. Cool tidak boleh direka, melainkan sememangnya orang itu memang cool!

TGNA tengah cool!

Thursday 13 October 2011

Kisah Allah Bayar 'Cash', Ibu Meneran dan Doktor 'Cool'

Banyak article serius, itulah kesimpulan sendiri yang saya boleh buat bila membaca kembali article sebelum-sebelum ini. Namun tidak kali ini. Saya mahu mengubah angin sedikit, dengan berkongsi tentang kehidupan sebagai doktor muda yang bertugas dibagian Obstetric & Gynecology atau lebih mesra disini memanggilnya sebagai bagian ilmu kebidanan.

Mengikut jadual, kebetulan jadual bagian kali ini bertembung denga hari raya Aidilfitri. Dan Alhamdulillah, kami diizinkan pulang ke kampung untuk menyambut lebaran untuk seminggu. Masuk belajar seminggu, cuti seminggu dan bertugas lagi. Dan disitulah letak titik masalahnya.

Balik beraya

Berat hati. Mana tidaknya, selepas 'diperas' selama 27 minggu tanpa cuti dan terkadang (banyak sebenarnya) meragut sama cuti hujung minggu, cuti seminggu lebaran bukan lagi satu pilihan melainkan satu kemestian. Pulang beraya pula tu, siapa tak seronok. Ye dok? Pulang ke kampung bukan main seronok, datang kembali Allah saja yang tahu betapa beratnya hati.

"Sabar, tetap kekal positif, pasti ada hikmah. Jika tak dapat fikirkan hikmah, buat-buat ada hikmah. Dan fikir nak kahwin,"itu kata motivasi saya. Atau lebih tepat monolog dalam untuk menyedapkan hati.

Pulang beraya dengan mendapat beberapa khabar yang mengembirakan seakan tanda awal.

"Pasti ada hikmahnya...Ya Allah setidaknya gembirakan hatiku," terus bermonolog sambil merenung kueh tart yang ditapau untuk dibawa pulang ke Bandung.

Allah itu Maha Besar. Tidak menunggu lama untuk membayar cash.

"Perhatian, kepada Encik Ahmad Fahmi Sulaiman, sila datang ke kaunter dengan segera," nama saya terpacul di corong speaker lapangan terbang. Saya dipanggil oleh pegawai MAS. Terlebih awal dari itu, saya sudah tidak 'sedap hati' apabila nama saya dicatat selepas melepasi mesin scan.

"Erm...ada apa-apa ke Cik," tanya saya pada pramugari MAS yang suka tersenyum dan comel tu.

"Takda apa-apa Encik. Cuma prosedur biasa," jawap Cik MAS itu. Tersenyum lagi.

Di kaunter,

"Encik Ahmad, memandangkan tempat duduk ekonomi sudah penuh. Kami mahu menaikkan seat Encik Ahmad ke Business Class. Boleh ke?," tanya pegawai MAS tu.

"Owh, saya ok je. Takda masalah," 'cool' tetap dijaga dengan menyembunyikan hati yang sedang melonjak-lonjak kegirangan.

Burung besi membelah awan.

Saya dilayan bagaikan raja di MAS, nikmat yang tidak terdapat pada yang satu lagi. Ehem

"Alhamdulillah, Allah membayar cash untuk ini," kata hati sambil meneruskan makan ikan salmon, kek coklat bertopping mangga, teh tarik saya minta dua gelas, dan nasi berlauk kerutuk. Business class kot.

Sayang MAS!

Sesampai ke Bandung, saya perlu menyiapkan diri, barang dan kenderaan untuk bergerak ke hospital malam itu juga. Hospital daerah. Jangan pernah bayangkan hospital daerah sini dengan di tanahair ya. Untuk makluman, di bagian O&G ini, saya bertugas bukan sahaja di hospitl utama pendidikan, tapi dicampakkan secara bergilir ke hospital daerah. Disitu, kami lebih banyak berhubungan dengan pesakit, menanganinya dan mendapat lebih pengalaman. Hanya perlukan endorsement dari doktor pakar. Rawatan yang kita berikan itu, jalan!

Ibu Mengedan (meneran) dan Pak Dokter yang "Cool"

Peluh dingin deras mengalir

Muka merah padam menahan sakit

Meneran dan menera...

Itulah keadaan ruangan bersalin yang saya jaga malam itu. Bertugas sama adalah dua teman sejawat dan beberapa ibu bidan (perawat aka nurse yang specialist dalam bidang kebidanan). Sebaik saja ibu bidan melihat saya, terus "Bagus...bagus...ada doktor. Bisa 'dorfun'."

Oleh kerana saya seorang berbadan tough (perasan) malam itu, kehadiran saya rahmat buat mereka. Agar saya boleh digunakan untuk mendorong perut dari atas (fundus; yang sebenarnya tindakan ini berisiko jika tersilap langkah). Dorongan ini dilakukan jika ibu sudah tidak berdaya untuk meneran secara efisien.

Ermmm....ermmm...

"Ibu ah, mengedannya jelek (tidak pandai)"

"Kalau kayak gini...saya bosan nunggu. Mengedan biar benar dong"

"Ibu jangan jerit, jangan nangis, jangan manja. Semua orang kayak gini. Sabar dikit"

Ibu bidan mula bertegas dengan ibu tersebut kerana proses melahirkan kelihatan lebih lama. Lebih lama, lebih membahayakan ibu dan bayi. Dan tindakan ibu bidan wajar. Dan jika mahu salahkan ibu juga tidak boleh. Ini kehamilan pertama, jalan lahirnya masih dalam penyesuaian. Jadi masing-masing mengerti posisi masing-masing saja.

Kiri kanan, belakang depan dimarahi oleh ibu bidan. Hanya tinggal harapan adalah saya untuk ibu bergantung harapan dan simpati. Lengan saya dipegangnya dengan pandangan pasrah. Mana tidaknya, semua memarahi beliau, hanya saya

"Ibu, sedikit lagi. Itu kepala dede (adik) ya udah mahu keluar. Kita bilang sama-sama ya...satu...dua...tiga," hanya saya yang tidak memarahi beliau.

Bila dipegang lengan, terus ibu bidan ketawa "Ayuh ibu, sama pak dokter aja." Hehehe...

Patutlah doktor O&G ramai dari kaum lelaki. Mereka hati keras, tebal telinga dan cool.

Teran punya teran, usaha punya usaha, tolak punya tolak. Akhirnya selamat keluar bayinya. Selepas itu baru saya sedar, baju jaga malam itu basah kuyup dengan peluh. Tolong orang beranak, macam saya lari 10 padang bola!

Takpa, yang penting selamat. Ye dok?

Mendapat Kembar

Saya masuk ke bagian ini dengan azam mendapatkan skill sebanyak mungkin tapi meminimunkan tindakan. Antara disiplin ilmu seorang doktor harus dapat adalah melakukan pemeriksaan dalam (pemeriksaan vagina). Pemeriksaan ini memerlukan doktor memasukkan dua jari kedalam vagina bagi memeriksa keadaan tulang punggung ibu, bukaan rahim bagi proses kelahiran bayi dan juga memastikan tiada kelainan lain.

Dan tindakan ini saya cuba meminimunkan tetapi tidak menolak untuk melakukan. Meminimun bagi menghormati si ibu, tapi tidak menolak untuk melakukan kerana saya seorang doktor yang wajib menguasai disiplin ilmu ini.

Pemeriksaan Dalam. Saya kira, kita cukup dewasa untuk ini. Ye dok?

Pertama kali melakukkannya, entah apa rasanya. Macam cari kucing dalam sarung guni. Tang mana pembukaan, tang mana rahim, tang mana tulang punggung. Itu skill yang harus dipertajamkan.

Ibu yang mahu melahirkan, pastikan akan dilakukan pemeriksaan ini. Pertambahan bukaan rahim, menandakan semakin dekat bayi itu lahir. Batasnya dari 1cm-10cm. Jadi, jika ia pesakit saya, maka saya yang kena lakukan pemeriksaan vagina itu. Elak punya elak, selepas kesemua teman sejawat sudah mendapat pesakit masing-masing.

Streeeeet! Pintu ruangan dibuka. Ibu mengerang-mengerang kesakitan ditolak masuk. Dan itu adalah pesakit saya.

Glupp...

Selepas diambil history taking, dilakukan pemeriksaan luar dari menentukan keadaan janin hingga usia kehamilan. Kesimpulannya.

"Dok, pasien ini hamil gamelli (kembar)!."

Glupp...(dua kali glupp).

"Hambik...nak elak sangat. Ambil mu, kembar terus," monolog dalaman.

Tapi hasil pertanyaan, melegakan sedikit. Ibu ini hamil untuk kali ke-3. Dengan kelahiran pertama: kembar, kedua: satu dan ini: kembar lagi. Ibu yang telah melahirkan beberapa kali, ralitnya proses persalinan mudah kerana jalan lahir telah teruji dan bersedia.

Dari keluar kepala, ditarik bahu, badan, kaki, dipotong tali pusat untuk anak pertama.

Jam penerbangan pertama saya adalah kembar. Woooha...

My little heroes!

Juga sama dengan anak kedua. Proses dilanjutkan dengan lahirnya placenta. Alhamdulillah, kedua-dua bayi itu selamat dilahirkan tanpa sebarang masalah. Melihat bayi sihat, kegembiraan buat saya. Melihat ibu tersenyum melihat anak kecil mereka, kegembiraan itu berganda.

Sekarang saya tinggal satu minggu lagi dibagian ini, pengalaman disini membawa saya kepada satu kesimpulan. Maha Suci Allah yang menakdirkan neraka jahanam kepada anak-anak yang derhaka, andai saja mereka melihat ibu-ibu ini berjuang untuk melahirkan mereka ke dunia. Tidak senang, kerana ia perjuangan nyawa, darah dan airmata.


"Jika salah seorang atau kedua-duanya sampai umur tua dalam pemeliharaanmu, janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'uh' (perkataan kasar) dan janganlah kamu membentak mereka, sebaliknya ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia" (Al-Isra:23)

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Saturday 8 October 2011

Keanehan Beragama: Ramai Puas Hati "Mahathir vs Yahudi"

"Din, dah lama ke tunggu? Sorry la beb, lambat sikit. Jem jalan tadi."

"Tak ah, baru je jugak aku sampai. Duduk la," jawap Din mempersilakan teman satu sekolahnya dulu, Zam.

Mereka bertemu di restoran terkenal di seluruh Malaysia bahkan dunia. Bertemu dan bersembang panjang adalah rutin yang semakin jarang dilakukakan mereka. Lantaran kehidupan yang banyak menyita waktu pada rutin pekerjaan seharian. Ada masa luang, itu yang mereka dambakan.

"Zam, engko apa cer sekarang?,"tanya Din dengan bahasa gaul, bahasa orang muda.

"Cer per ye. Aku macam ni je la dari dulu. Kerja kat situ lagi, walaupun gaji ciput, nak kerja mana lagi. Orang menganggur belambak kat luar duk cari kerja," jawap Zam bersungguh.

"Hah babe, engko tengok tak lagi satu video ni. Heboh orang duk kongsi kat Facebook dan Twitter?,"tanya Din lagi.

Gambar Hiasan

"Video apa pulak ni, aku dah lama tak buka Facebook la beb."

"Video wawancara Mahathir dengan BBC. Seronok beb. Selamba badak je Tun duk belasah Yahudi laknatullah kat situ. Satu-satu dia ketuk kepala moderator tu. Puas hati betul aku. Kes saudara kita di Palestin tu, masih berbekas tau! Padan muka Yahudi jahanam!," cerita Din dengan berapi-api. Sambil tangan digenggam. Geram!

Zam mendengar dengan teliti. Melopong mendengar. "Hah, tup mulut tu. Masuk lalat," gurau Din.

"Penat pulak cakap. Hah, bagi rokok tu kejap. Edan jugak sembang sambil layan rokok. Engko nak, ambil la,"tawar Din.

Din membuka kotak rokok, dan masing-masing mengambil satu dan diselitkan pada bibir masing-masing. Zaaasss...asap berkepul naik, membakar sedikit demi sedikit rokok Dunhill.

"Eh, takkan nak duduk saja. Makan jom. Tak makan, kena halau karang dari sini. Ko nak makan apa? Kali ini, aku belanja pulak. Nak apa?,"tanya Zam. Dia kebetulan baru mendapat gaji. Jadi, belanja kawan.

"Erm...bagi Big Mac dengan Coke je la satu. Aku dah makan tadi kat warung sebelah stadium tu. Dan awek kat situ cantik...anak taukeh kedai kot,"cerita Din. Bercampur menu dan cerita kehidupan sosialnya.

Zam mendengar saja perkataan 'awek', terus angkat kening dan berkata "Jadi, dapat tak?."

"Dapatlah bro...ini Din la. Mana pernah awek tolak makan, dari sekolah lagikan hot stuff. Malam ni juga, dia nak keluar dating. Dah..dah..pi beli burger tu. Aku dah lapar ni," suruh Din.

Setengah jam selepas itu, datang Zam membawa satu Big Mac, satu Double Cheeseburger dan dua gelas air Coke. Dan urusan selepas itu adalah teruskan bersembang panjang.

"Weh, dah gelap dah ni. Aku kena siap-siap la, date pertama. Mesti bagi baik punya," kata Din.

"Hek eleh...hah, awek dulu mana?."

"Awek dulu...hehehe. Macam biasa la. Memain je. Nak nikah, baru cari bini. Sekarang cari awek dulu. Muda lagi beb,"mudah jawap Din. Skema jawapan yang dipegang oleh ramai lelaki hidung belang.

"Hehehe..ko memang! By the way, jangan lupa bagi link "Mahathir vs Yahudi" tu ek. Tak sabar aku nak tengok, kongsi kat wall Facebook aku pun takpa," minta Zam pada Din.

"Okeh bos...nanti aku kasi. Mesti ko puas hatilah tengok Tun bantai Yahudi!," Din memberi testimonial terakhir.


Mahu lihat, real fighter bantai Yahudi. Erdogan! Agar kita tidak naive melihat dunia.


.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Monday 3 October 2011

iDare: Catatan Pribadi Bergambar


Ia bermula dengan idea untuk mengumpulkan semua aktivis dakwah kampus, pelajar Malaysia di Bandung yang terdiri dari IMAN dan BAIK. Langkah pertama dengan panitia program datang ke Bandung untuk bertukar pandangan dengan abang dan kakak senior yang sedang praktikum (clinical) di hospital disini. Jadual yang padat bagi kami, dan aturan rutin yang berbeza membuatkan pertemuan sepenuhnya ahli tidak mampu dilakukan.

Namun ia bukan satu kekurangan yang perlu ditangisi, melainkan berusaha menjadikan ia satu kelebihan yang bersinergi.

Menyedari keterbatasan saya dan teman yang sedang ber'clinical', banyak urusan selepas itu diuruskan oleh panitia sendiri. Dan saya secara pribadi terkadang, mewujudkan keterbatasan agar mereka berusaha semaksimum mungkin yang hakikat sebenarnya mereka mampu.

Hinggalah ke hari program 30 Sept 2011-2 Oktober 2011, program akan diadakan di Gunung Puntang, Taman Bunga Kertas (ini saya bagi nama, selepas ramai teman tergeliat lidah nak sebut "bougainvillea".

Rancangannya saya dan beberapa teman akan ke sana pada pagi Sabtu, kerana pada malam sebelum itu ada beberapa orang dari kami oncall. Allah s.w.t menakdirkan sebaliknya, malam itu dengan beberapa teman yang menjadi bidan terjun untuk pengisian, kami bergerak ke sana. Bermanfaat juga bagi kami kerana dapat tahu lebih awal jalan kerana tidak satu pun dari kami tahu tempat diatas gunung itu.

Kami tetap pulang malam itu juga, sampai dirumah dengan jarum jam mengarah ke 1 am. Dan seterusnya, biar gambar berbicara....

Pengisian pada malam pertama, disampaikan oleh Mohsein dan Zulfahmi

Singgah sebentar di penginapan ikhwan iaitu khemah besar. Sudah lama tidak merasa tidur beralaskan kanvas plastik.

Sebelum pulang kembali ke Bandung, dan datang lagi keesokkan harinya

Khemah tempat kami berprogram

Ngopi dengan Fathy, dengan melayan hawa dingin yang masih tersisa yang mahu beranjak siang

Selesai pengisian, bersiap untuk makan tengahari dan solat jamak qasar Zuhur dan Asar

Speaker, Zulfahmi aka Gapo

Berbincang tentang pengubahsuain tentatif untuk memberi kejutan dan menimbulka mood berkelana didalam hutan

Peserta ikhwan

Melawat tapak untuk program malam nanti

Berbincang dengan pengurus tapak program

Cinta Tiga Segi: Disini menanti, disana menunggu

Antara kepak (bolehlah nak ganti sayap) kiri program dan gerakan dakwah dan tarbiah di Bandung

Antara pesanan saya kepada panitia "Jadikan daurah ini paling santai dikalangan daurah-daurah didalam dunia." Dan ini adalah aktiviti kami.

Sinergi antara IMAN dan BAIK. Saya nobatkan ini gambar paling sweet

Penunggu Batu Jagung Bakar

Laku Ain jua jagung dalam hutan. Tinggal sutey je lagi.

Dingin malam, kehangatan unggun api, kesegaran jagung bakar adalah kenikmatan syurga sebelum syurga

Sesi curhat tentang diri, pengalaman, wawasan dan permasalah. Berjaya memecahkan tembok 'itu'.

Amazing Race

Masa ini, peserta lelaki dibuli oleh wanita. Nasiblah, siapa suruh spesies kalian sikit sangat

Mencari kata kunci bagi hentian Amazing Race yang seterusnya didalam Al-Quran

Semangat!

Senior-senior bergambar sebelum pulang ke Bandung terlebih dahulu kerana tuntutan kerja yang lain. Meninggalkan adik-adik yang masih berprogram

iDare: Titik Permulaan Episod Perjuangan

Nota 1: Kredit buat Pok Che yang menjadi pembantu photographer.

Wednesday 14 September 2011

Potrait Aidulfitri 2011





















Nota 1: Maaf kepada semua pembaca amadanaksoleh, saya sekarang agak kesuntukan masa untuk kemaskini blog. InsyAllah akan sedaya upaya mungkin untuk mengemaskini.

Nota 2: Masih belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidulfitri, Maaf Zahir dan Batin.