Friday, 30 December 2011

Jemputan Perkahwinan Ahmad Fahmi & Sh. Nurul Hidayah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Firman Allah s.w.t ada menyebut,

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri (jodoh) dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

[Surah Ar-Rum: 21]

Justeru dengan rasa rendah diri dan penuh kesyukuran, saya Ahmad Fahmi Bin Sulaiman ingin berkongsi kegembiraan dengan keluarga, murabbi, sahabat dan kenalan untuk melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w ini pada 4 Februari 2012, 9.00 pagi dengan muslimah pilihan hati Sh. Nurul Hidayah Binti Syed Murzaki di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor (Rumah pengantin perempuan)

Majlis Walimatul Urus pihak Pengantin Perempuan, insyaallah akan berlangsung pada;

Tarikh: 4 Februari 2012, Sabtu
Tazkirah ringkas dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil: 11.00am – 12.00pm
Jamuan: 12.00 pm- 4.00 pm
Tempat: Balai Masyarakat BK2/10, Bandar Kinrara, 47180 Puchong, Selangor


Bagi kami berdua, tiada yang kami dambakan melainkan doa dan restu dari kalian. Kehadiran keluarga,murabbi, sahabat dan kenalan sangatlah dialu-alukan untuk memeriahkan walimahtul urus ini.

Terbang tinggi, si burung merpati,
Hinggap di dahan di tengah hari.
Munajat hamba, tenang di hati,
Doa dipohon, redhaNya di cari.

Akhirul kalam, moga redha Allah pada kami berdua, kedua belah keluarga, majlis dan kalian juga.

Wassalamualaikum wbt.

Nota 1: Bagi yang berhajatkan jemputan dalam bentuk kad undangan pernikahan, boleh hubungi Ahmad Fahmi atau Sh. Nurul Hidayah.

Nota 2: Bagi sahabat (Ahmad Fahmi) termasuk juga sahabat (Sh. Nurul Hidayah) yang tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis dipihak perempuan, InsyAllah majlis walimah di pihak pengantin lelaki, akan diadadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti di kampung halaman, Marang, Terengganu.

Nota 3: Mohon doanya "Semoga Allah memberkatimu dan melimpahkan kerberkatan-Nya ke atasmu serta menempatkan kebaikan di antara kamu berdua" [Riwayat Abu Daud, Ahmad Ibnu Majah, Al-Hakim]

Nota 4: Siapa Sh. Nurul Hidayah yang menjadi calon isteri saya? Beliau adalah penulis blog Sinar Islami

Friday, 23 December 2011

Metropolitan Jakarta dan PERMAI

"Apa harapan enta?," tanya saya kepada seorang teman. Orang kuat PERMAI, yang pertama kali diadakan di Jogja.

"Ana harap ia bukan PERMAI yang terakhir, dan jika boleh. Kita rotasi giliran PERMAI. Antum dari Bandung siap tak nak buat PERMAI?," jawap teman itu. Mahu melepaskan baton dari Jogja ke Bandung.

"InsyAllah, tiada masalah untuk itu. Sekarang kami bertandang ke Jogja, nanti kalian pula ke Bandung. Tidak hanya pengisian yang dapat, dapat juga berjalan-jalan mengenal tempat orang lain.

Jika di Jogja, Ustaz Hasrizal membahas tajuk 7 Habits of Highly Effective Muslim, di Bandung pula mengupas Maza Ya'ni Intima'i lil al-Islam.

Hari ini, sahabat-sahabat di Jakarta pula meneruskan legasi itu. Legasi bukan sekadar pelengkap jadual, penerus tradisi melainkan bertujuan memberi impak kepada ummat menerusi tenaga-tenaga muda di perantauan. Pilihan tajuk kali ini agak provokasi buat sesetengah orang.

Baitul Muslim.

Saya? saya senyum je. (^_^)

Selamat berprogram buat semua!


Sunday, 4 December 2011

Manual Beragama: Baca Jangan Sekali

Saya menulis dalam bentuk kata kunci. Kata kunci itu disusun untuk memperlihatkan kesinambungan antara kata kunci itu, dan kata kunci itu akan saya taip dan disimpan dalam bentuk 'word'. Seterusnya komputer ditutup. Catatan itu kembali saya taip, ditambah huraiannya, bahkan banyak huraiannya dibuang.

Proses itu diulang dua tiga kali bahkan pernah lebih dari itu. Masa diambil, usaha dicurahkan, namun saya yakin dan niatkan apa yang dicoret setidaknya diterima langit sebagai amal baik. Lama ya lama, tapi semua itu harus saya lakukan dalam usaha mendidik diri agar lebih bertanggungjawab apa yang dicoretkan, dan memberikan yang terbaik untuk sahabat di blog ini. Sedaya upaya saya.

Namun, balasan yang saya terima tidak begitu. Jika saya menulis boleh hampir 2 jam, ada pengunjung membaca hanya 5 minit membuat kesimpulan. Jika kesimpulan itu adalah selari apa yang saya maksudkan, saya mengurut dada gembira. Tapi banyak dihayun merata, dibawa atas nama saya.

Ada yang saya perincikan apabila saya rasa harus diperincikan, ada saya menulis dengan metafora agar yang dilontar itu kail. Pepandailah mencari sendiri ikan. Kerana itu salah satu cara saya menghormati aqal sahabat-sahabat. Saya menolak doktrin, begitu juga saya tidak mahu mendoktrin pembaca.

Makin Terperinci, Makin Rendah Kualiti

"Saya muslim," itu adalah kenyataan umum. Jika dahulu, ia masih boleh diterima. Kerana apabila muslim, ia merujuk pada muslim 'itu'. Tidak sekarang. Harus diperinci.


Muslim seperti apa?

Muslim moderate kah? muslim ortodok kah? muslim sunnah kah? muslim mu selam kah?

Kepada harus diperincikan? Kerana muslim sekarang bukan seperti muslim yang dicontohkan Rasulullah s.a.w.

Ya muslim, tapi muslim itu juara mengisap dadah.

Ya muslim, tapi muslim itu kaki songlap RM250 juta.

Ya muslim, tapi muslim itu berbaju adik ke pusat membeli belah dengan pusat berjalan.

Ya muslim, tapi muslim itu yang bersikap keras dengan semua orang tidak sealiran.

Kerana ada muslim yang tidak seperti muslim, sehingga harus dirincikan. Makin dirincikan apa itu muslim, menandakan kerendahan nilai jati diri muslim.

Menjawap dengan Membiarkan

Saya tidak sombong untuk berkongsi. Begitu juga saya terkadang sombong untuk memberi. Sering saya gunakan fatwa hati dalam merespon setiap pertanyaan. Jika saya rasakan, penulisan belum cukup jitu memberi jawapan atau kailnya masih tidak diikat tali, pasti akan turun untuk berkongsi. Saya tidak sombong. Apatah lagi, saya rasakan benar memang dia mahu belajar. Saya pun masih belajar, saya berada di kedudukan mereka.

Mahu belajar

Belajar aqal berbeza dengan belajar cara suap. Jika pertanyaan itu hasil dari malasnya berfikir, saya tetap menjawap. Menjawap dengan cara membiarkan soalan itu tidak dijawap.

Banyak lontaran pandangan ataupun cerita, saya coretkan secara umum. Tidak disebutkan nama si fulan bin si fulan, dan tempat dimana. Harapan saya, agar cerita itu dicanai mengikut kesesuaian masing-masing dengan mengambil ibrah darinya. Namun biasanya tidaklah begitu. Mahu dirincikan, jadilah cerita itu adalah cerita saya bukan cerita untuk semua.

Rajinkan Berfikir, Banyakkan Zikir

Hukamah ada berkata "Orang firasat tinggi, untuk faham cukup sekadar berdehem."

"Dr Amad, boleh ulas lagi tak?," itu dalam bentuk soalan.

Ada juga diulas, dihayun merata rawa (simpulan bahasa Terengganu) yang terkadang saya terfikir, 'jauhnya dari aku maksudkan'. Walaupun tidaklah sering, setidaknya beberapa kali saya harus mengambil nafas yang panjang. Tanda kebosanan.

Bukan bosan memberi, tapi bosan untuk menyuap.

Gabungan beberapa generasi, kami berbincang dan berkongsi. Saya suka ini.

Menyedari kesenjangan pembaca yang melebar, berlatar belakang diri yang berbeza. Saya cuba raikan, semampu saya. Keterbatasan diri sebagai manusia, saya cuba akui. Namun tidak sebagai alasan. Tetap sedaya upaya dipermudah dengan bahasa mudah, mengurangkan satira-satira tinggi, diberikan contoh dan 'dikurangkan' ayat dan nas agama.


Jangan memaksa untuk saya memerinci, kerana lebih terperinci semakin rendah kualiti.

Oleh itu, mungkin dalam nada merayu saya ingin katakan 'baca jangan sekali, baca dengan aqal diberi, hormatilah nilai diri, kerana kita adalah sebaik-baik kejadian ciptaan Ilahi.'

Mahukan kita sama-sama mahu memahami?

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.