"Nak kemana?," tanya abah. Sambil tangannya memegang kuat tangan saya.
"Err..err..ami nak ambil wuduk balik. Terbatal. Tersentuh perempuan arab tadi,"jawap saya.
Dengan ratusan ribu manusia tawaf mengelilingi kaabah, mustahil kita mahu mengelak dari bersentuhan dengan manusia lain. Lelaki mahu pun wanita.
"Tak payah, untuk tawaf kita pegang mazhab lain dalam bab batal wuduk,"ringkas penjelasan abah.
Saya dan abah meneruskan baki tawaf yang tingga. Tangan Abah masih memegang bucu kain ihram saya kerana jika terpisah, dengan pengalaman kali pertama ke Makkah bahkan dikelilingi dengan ratusan ribu manusia, ia amat fatal.
Menunaikan umrah pada tahun 2002Alhamdullilah, syukur kepada Allah, pada akhir tingkatan 3 saya dibawa oleh Abah untuk menunaikan umrah. Hadiah kepada keputusan PMR yang saya dapat. Ia lebih manis kerana, umrah saya kali ini ditunaikan pada awal bulan Ramadhan, pada minggu satu dan dua.
"Selepas haji, Ramadhan lah antara saat yang bagus kalau nak tunaikan umrah. Ramai orang dan lebih 'mencabar',"kongsi seorang pakcik. Kenalan yang bersama-sama menunaikan umrah diketika itu.
Usai selesai melaksanakan tawaf dan sa'ie, tandanya selesai sudah satu umrah pada hari itu. Saya pulang ke hotel. Badan sudah sengal-sengal, tanda keletihan. Sudah lama tidak mengunakan kudrat tulang 4 kerat. Terpaksa tergesek orang sana, terpaksa tertolak orang sini.
Sementara menunggu Zuhur, badan meronta-ronta meminta haknya. Tapi sebelum itu, saya menyemak kembali hukum-hukum berkaitan dengan umrah. Dibahagian belakang sekali, pada buku manual umrah, ada disertakan penjelasan ringkas tentang hukum-hukum dalam umrah mengikut 4 mazhab.
Ya, didalam mazhab Iman Ahmad bin Hambal, Mazhab Hambali, majoriti penduduk Islam di Mekah perpegang dengan mazhab ini. Bersentuhan kulit lelaki dan wanita tanpa syahwat tidak membatalkan wuduk. Ia berlainan dengan pandangan mazhab Imam As-Syafie yang meluas dipegang oleh masyarakat nusantara.
"Owh begitu...tak apalah," bisik saya dalam hati. Tenang dan damai dalam membaca buku dan mengimbau kembali pandangan-pandangan ustaz-ustaz 'otai' di Malaysia dalam hal ini.
Itu antara kisah pengalaman saya di Mekah. Mendapat ilmu dari pengalaman. Ketika itu saya masih mentah. Tidak banyak ilmu dan tiada pengalaman. Lantas alim dan hakim tiada didalam diri. Kejahilan yang menjadi ubat untuk mencari TAHU dan menghadirkan MAHU.
Mujur Ada Surah Yasin"Eh, mana boleh baca yasin malam Jumaat. Tiada dalil dari Nabi Muhammad s.a.w. Semua itu bidaah!," sahabat menegur saya.
"Erm...Nabi Muhammad menyuruh ummat dia baca Al-Quran. Yasin ini salah satu dari surah dalam Al-Quran. Jadi tak salah kalau nak baca. Ikut suka hatilah, hari Isnin ke, Rabu ke, Jumaat ke," jawap saya.
Dia terdiam.
" Ok, jika baca yasin itu bidaah, dan mengikut hadis sahih yang perbuatan bidaah ini akan ke neraka. Satu soalan, adalah dengan baca Yasin ini kita akan dicampakkan ke neraka?," saya memberi soalan provokasi.
"Erm...bukanlah sampai macam itu," jawap dia.
"Dah tu, bagaimana dengan hadis sahih dengan semua benda bidaah ke neraka?," saya terus menyerang.
"Err...err.. tak adalah. Cumanya, ada orang kata Yasin malam jumaat, Nabi buat," jawap beliau.
"Owh, aku tak kata pun macam itu," jawap saya.
Perbualan terus mati disitu. Itu antara perdebatan yang 'rugi' yang melibatkan saya. Perdebatan yang saya sesalkan. Jika saya dewasa sedikit saat dan ketika itu, saya abaikan dan terus membaca ayat-ayat suci Al-Quran itu.
Perbuatan salah masyarakat kita adalah mengatakan membaca Yasin malam Jumaat itu dari amalan Nabi Muhammad s.a.w. (walaupun sebenarnya ada dalil, tetapi tidaklah mencapai tahap sahih dan tidak juga sampai tahap mauduk). Dan itu yang kita harus perbetulkan.

Salah sikap pejuang agama adalah, membanteras baca yasin. Lantas terkeluarlah salah cakap baca yasin itu bidaah.
Seharusnya, bacaan Al-Quran pada hari Jumaat terus disuburkan. Dengan diberikan kefahaman kepada masyarakat bahawa ada lagi surah didalam Al-Quran yang lebih dianjurkan khusus oleh Nabi Muhammad s.a.w untuk hari Jumaat. Surah Al-Kahfi. Pahala membaca ayat-ayat suci Al-Quran dapat, pahala membacanya dihari Jumaat juga dapat. Mudah.
"Amboi ramainya orang dimasjid,"spontan keluar dari mulut. Umumnya, sukar melihat masyarakat sekeliling dapat imarahkan masjid disini. Yang ada mahasiswa, dan mahasiswa itu majoriti mahasiswa Malaysia.
"Malam Jumaat bos...baca yasin,"kata teman.
"Nasib baik ada baca Yasin malam Jumaat. Datang juga orang kampung kenal tangga masjid, kalau tidak, jangan haraplah," jawap saya.
"Sambil-sambil tu, terangkan kebaikan datang imarah masjid. Tang yasin, perlahan-lahan alih kepada surah Al-Kahfi," sambung saya.
Bak menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.
Pukul Syiah dan Sindir Ahlul Bait"Wallahulalam...kita bukan maksum macam ahlul bait tu," ulas seorang pejuang 'sunnah'.
Saya cukup terhiris!
Beliau mengulas tentang syiah dan segala perbahasaanya. Ya, syiah harus dikekang dan masyarakat harus disedarkan tentang bahayanya fahaman syiah terhadap aqidah.
Tetapi salah sikapnya adalah merangkumkan sama syiah dan ahlul bait. Lantas, dalam usaha 'memperli' syiah, dengan sedar atau tidak sedar menghina kaum kerabat Rasulullah s.a.w. Sewajarnya, ahlul bait dan syiah kita
treat dengan cara berbeza-beza. Dua entiti ini harus kita pisahkan secara wajar dengan ilmu dan kefahaman.
Ibarat pukul anak, sindir menantu.
Jangan pula pada pandangan dan sangkaan kita, kita adalah pejuang agama, pembela sunnah Rasulullah. Tetapi sebaliknya tanpa kita sangka, kita telah melukai hati Rasul yang kita cintai.
Sufi Sesat Dan SILATBaru-baru ini, di Bandung, diadakan kupasan tentang bahaya Syiah, Islam Liberal dan Tarekat Sesat.
Saya sempat bergurau dengan meninggalkan komen diruangan hebahan itu.
"Patut, disertakan juga perbahasan salafi 'sesat',"komen gurau saya.
Nada bergurau, tetapi sebenarnya saya benar memaksudkan. Syiah, Islam Liberal dan Tarekat Sesat itu antaranya. Kupasan dan program seperti ini harus diperluas. Kesilapan mereka harus dibongkar agar generasi depan mengambil ibrah. Tetapi jangan salah sikap.
"Aik, adakah salafi sesat?," tanya teman.
Sesat atau tidak, itu urusan Allah s.w.t. Tetapi jika anda mencari di web sesawang, insan yang mengaku salafi ini, merekalah yang begitu lantang mengkafirkan Sayyid Qutb beberapa tokoh ikhwanul muslimin bahkan Syeikh Yusuf Al-Qadrawi. Dipihak ini mengkafir dan menyesatkan satu golongan ditebing sana, ditebing sana juga menyesatkan golongan disisi sini.
Sungguh amat mendukacitakan akhlak seperti ini. Suka hati mengkafirkan insan yang telah teruji konsistensi mereka didalam perjuangan Islam.
Hati-hati. Dalam kita memperkatakan hal ini. Kerana impak meletakkan title sesat dan kafir ini kepada seseorang, jika insan itu tidaklah kafir dimata Allah, tuduhan kafir berbalik kepada si penuduh. Itu amaran keras yang Rasulullah s.a.w gariskan.
Akhlak itu bukan lalang. Bisa tumbuh dimana-mana. Ia harus disemai, harus disiram, harus dibaja.
Telahan saya tepat...
Komentar peserta yang menghadiri program kelihatan cukup positive. Gembira dengan ilmu didapat. Jadi dikongsi bersama teman tentang bahaya dan sesatnya syiah,Islam Liberal dan Sufi. Diletakkan golongan sufi menjadi sesat. Itu peluru tabur kepada semua sufi. Jiwa tidak boleh menerima.
"Sejak bila sufi menjadi sesat?," saya bertanya. Diri cuba beriman dengan tegahan keras Rasulullah s.a.w tentang bahaya tuduhan sesat kepada sesegologan.
Yang berkongsinya tidak dapat menjawap, dan Alhamdulillah diperjelaskan oleh sahabat yang lain.
Perahu Kecil "Yang abang tu cakap tadi, bukan semua tarekat/kesufian itu sesat. Ada tarekat yang boleh diamalkan," jelas sahabat ini. Tuntas dan jernih. Namun, menjadi tanggungjawab kepada pihak berkenaan sebelum melontarkan hal ini kepada 'perahu-perahu kecil', hendaklah memastikan kesediaan dan batas diri mereka. Bimbang bukan idea itu mereka canai, tapi mereka dicanai oleh idea.
Haru-biru.
Semua ini, sebenarnya jika kita perhalusi, akan bertemu kepada titik yang sama. Melampau.
Melampau didalam 'mencintai ahlul bait', menghasilkan syiah.
Melampau didalam pandangan manusia firman teratas, menghasilkan Islam Liberal.
Melampau didalam menyuci dan mengasingkan diri dari dunia, menghasilkan tarekat sesat.
Melampau didalam menghukum insan yang tidak se'salaf' mereka, menghasilkan salafi jalur keras.
Perbetulan zikir agar tidak salah sikap, perkemaskan fikir agar tidak salah cakap.
Jangan kita lupa, orang tua-tua pernah berpesan "Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar."
Jika kamu mengerti....
.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.