Sunday, 25 March 2012

Manual Bercinta: Cerita Lada Merah



“Teori saja, bolehlah….bila lagi?,” ditoyoh kawan dengan sindiran. Dan itu semua biasa, apatah lagi antara obsesi adalah berkongsi kebaikan berkaitan dengan rumahtangga.

Perkongsian itu dibuat ketika menjawat jawatan Bujang Senang. Jadi senanglah dipandang sebelah mata. Budak mentah, pandai berteori , masuk terlebih dahulu ke dalam realiti. Saya tidak marah, tidak terasa, kerana itu ‘kekurangan’ yang menunggu masa sesuai untuk diatasi.

“InsyAllah, teori memang teori. Tunggu untuk direalisasi, jadi doakan kami," jawap saya dengan sindiran itu.

Membelek kalendar, rupanya hampir 2 bulan saya menjadi suami kepada si bidadari ini.

"Aku terima nikahnya Sharifah Nurul Hidayah Bt Syed Murzaki dengan mas kahwin RM300 tunai."

Sah?

Sah!

Sah!

Menyedari Kami Berbeza

Paksaan itu tidak berpunca dari si dia, melainkan harus bermula dari saya sendiri. Saya memaksa diri mengenali insan bernama wanita. Tidak malu dan segan saya ingin kongsikan betapa berbezanya kami.

Perbezaan itu saya sedari antaranya ketika berbincang soal warna baju nikah.

"Akhi, ini waktu nikah, nak pakai baju apa? Nak warna putih atau cream?," tanya bekas tunang.

"Erm, memang ada beza ketara ek warna dua tu?," saya tanya balas. Bertanya bukan untuk bermanja, tapi memang tak tahu beza antara dulu. Maksud saya tidak jauh beza.

Dia terdiam.

"Ok, fine. Ini memang entiti berbeza," bisik dalam hati. Selepas berbincang lagi, kedua-dua warna saya setuju.

Cerita Lada Merah

Sehari selepas diijab qabulkan, saya terus pulang ke Bandung. Kerana cuti yang diambil hanya dua hari, dan tiada pilihan melainkan kembali masuk bertugas. Jika sebelum ini pulang bersendirian, kali ini saya membawa sama zaujah ke Bandung. Merangkap honeymoon singkat kami.

Sempat diusik oleh Ustaz Hasrizal sebelum berlepas ke Bandung "Wah honeymoon di Takubang Perahu, habis meletup-letup gunung berapi tu nanti." Hehehe.

Masa yang kami ada untuk berkenalan dan mencipta kenangan hanya 1 minggu. Singkat. "Biar singkat, tapi berkualiti untuk kita,"pesan saya pada beliau. Solat jemaah sama-sama, tas'mi al-quran bersama-sama hinggalah masak bersama-sama.

Rehat tengahari, sering saya berkejar pulang ke rumah agar dapat menolong beliau masak. Kerana saya mahu mengenalinya. Bunyinya agak
cliche bukan? tak mengapa kerana memang saya memaksudkannya. Hehehe.

Dup dap dup dap...

"Abang, ni nak kena letak lada merah ke tidak," tanya zaujah saya tercinta. Saya tahu, dia tahu saja perlu letak ke tidak, tapi saja untuk bertanya. Nak bermanja. Barangkali. Ketika itu kami sedang menyediakan juadah bihun.

"Lada merah? Kalau letak, bukan tambah rasa pedas pun. Lainlah letak cili padi. Jadi, letak pun ok, tak letak pun ok. Terserah nur lah,"jawap saya. Tangan masih ralit mengacau bihun didalam kuali.

Selepas saya memberikan feedback seperti itu, terus dia memotong lada merah. Dan diletakkan ke dalam bihun. Setengah jam selepas itu, bihun kami siap. Dan hasilnya saya menambah dua kali. Sedap satu hal, menarik perhatian satu hal.

Rupanya lada merah yang dicampak masuk bukan untuk memberi rasa pedas, tapi membangkitkan nafsu selera makan. Saya bila teringat kembali bab ini, pasti tersenyum sendiri. Berbeza cara kami pandang sesuatu hal.

Ya, kami berbeza. Namun patutkah perbezaan itu menjadi masalah bagi kami?

Men Are From Mars, Women Are From Venus

Saya dikenalkan idea-idea buku Men Are From Mars, Women Are From Venus hasil penulisan John Gray oleh Sifu, Ustaz Hasrizal yang juga mencanai kembali idea itu dengan mendekatkan dengan realiti sendiri.


"Men mistakenly expect women to think, communicate, and react the way men do; women mistakenly expect men to feel, communicate, and respond the way women do. We have forgotten that men and women supposed to be different," Men Are From Mars, Women Are From Venus, John Gray.

Jauh sebelumnya, Imam Al-Ghazali menyentuh perbezaan ini dengan sedikit konotasi berbeza andai saja kita membacanya secara lateral. " Lelaki itu 9 akal dan 1 nafsu. Manakala perempuan pula 9 nafsu dan 1 akal."

Usahkan orang lain, saya sendiri aneh membaca ungkapan ini. Bab nafsu, secara realiti kita tidak perlu khilaf, lelaki kuatnya. Apatah lagi, banjiran perempuan di universiti, dengan lelaki memenuhkan pusat serenti. Nilaian mudah akal. Jadi dimana kebenaran ungkapan imam besar dalam sejarah Islam ini?

Pertanyaan itu terjawap selepas membaca olahan oleh Ustaz Hasrizal. Rupanya hakikat sebenar ungkapan itu adalah "lelaki itu 9 logik dan 1 emosi. Manakala perempuan pula 9 emosi dan 1 logik."

Apa yang membentuk pemikiran lelaki adalah logik. Logik yang berfungsi ketika saat memerlukan keputusan segera namun harus tepat. Jika sahaja, emosi menguasai, nescaya akan berakibatkan fatal.

Luarbiasa kebijaksanaan Allah s.w.t menganugerahkan kuasa talak kepada lelaki dan tidak kepada wanita. Bayangkan andai kuasa itu diberikan kepada wanita, berselisih faham saja, sebanyak bintang dilangit ditalaknya. Tidak perlu membacanya dalam nada sexiest, kerana kekurangan logik pada wanita itu diimbangkan dengan emosi.

Logik semata-mata didalam rumahtangga, akan menyegerakan kemusnahan rumahtangga itu. Kerana gersang emosi didalam pengurusannya. Dan kekuatan ini ada pada wanita.

Ayuh angkat tangan bagi lelaki yang sanggup?! Saya berani katakan, kesemua lelaki tidak sanggup. Siapa sanggup bangun awal pagi menyiapkan sarapan, menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah, pergi ke pejabat dari pagi hingga ke petang, pulang membasuh baju, mengemas rumah, menyiapkan juadah makan malam, menidurkan anak-anak.

Semua itu hanya mampu dilakukan oleh wanita. Makhluk Allah yang sarat dengan emosi, dan kerana emosi itulah mereka mampu bertahan melakukan semua itu. Dengan fitrah itulah, Allah memberi taqlifan mendidik anak-anak kepada si ibu. Kerana ibu lebih dekat dengan mereka.

Perjalanan Masih Jauh

Emosi yang tidak dipagari logik, akan hidup secara liar. Dan keberadaan emosi yang tidak diraikan akan mengakibatkan hubungan itu gersang.

Peringatan buat suami, raikan dan terimalah emosi isteri. Bagi si isteri, binalah logik didalam diri dengan mengurangkan emosi apabila diminta solusi oleh suami. Ketahuilah, lebih sakit otak si suami, apabila solusi diberikan dalam bentuk tangis.

Tiada yang lebih dekat dengan perkongsian ini melainkan diri saya sendiri dan isteri. Masih banyak perlu kami pelajari, mengenal satu sama lain, mengetahui perbezaan, dan meraikannya.

Izinkan saya belajar mengenai dia.


.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Tuesday, 6 March 2012

Sindrom TGTP

"Jib, roti telur satu, teh tarik satu. Tarik panjang-panjang deh," Ramly memesan minum pagi. Sambil ditarik bangku ke belakang. Untuk duduk.

"Erm...sama jelah. Roti telur satu, teh tarik satu. Kurang manis," pesan Zainal.

Waktu awal pagi, kesempatan itu digunakan untuk mengalas perut untuk aktiviti sepanjang pagi menunggu ke tengahari.

"Bos, tahu tak kelmarin? ada kemalangan kat Felda Cendawan Kembang. Teruk jugak. Kereta terlanggar ba alif ba ya. Hujan barangkali malam semalam, jalan pun tak berapa comel. Memang tak nampak la hamba Allah tu duk melintas," cerita Ramly.

Gambar hiasan

"Aku dengar jugak. Tapikan, kemalangan tu boleh elak. Kalau dia check break baik-baik. Ini laju satu hal, kena pula break tak berapa nak makan, hujan lagi. Memang cukup rempah ratus la nak jadi ke asbab accident tu, tapi alhamdulillah la orang kat dalam sikit je kena, "tambah Zainal.

"Itulah pasal. Engko cakap macam tu, aku rasa cuak pulak. Dah la tayar kereta aku lama dah tak tukar. Servis kereta? lagi la. Nampak gaya memang kena melabur sikit ke 'kuda perang' aku tu,"Ramly menyatakan kebimbangan.

Bla...bla...rancak pula bicara dua teman rapat ini. Sementara tunggu roti canai mereka sampai.

"Aah la, aku ada dengar jugak. Tapikan kereta accident dengan babi tu kena samak tak?,"tanya Jib. Sambil menghidangkan juadah sarapan pagi pada pelanggannya.

Brrrrrrr!

Sindrom TGTP...sindrom tak get the point!

Ada sesiapa yang mengidapnya?

Itu tiada ubatnya.

Monday, 16 January 2012

Teguran Dan Doa Kepada Pak Dokter

Hari itu hari Ahad, saya seperti biasa bertugas di bagian Emergency Surgery. Awal paginya, seakan menjanjikan prognosis yang baik hingga ke petang. Pesakit yang harus saya jaga hanya satu orang. Mengikut hasil history taking, dan pemeriksaan lanjut, menjurus kepada Acute Appendicitis. Dan direncanakan untuk operasi tengahari itu.

Sambil menyelesaikan tanggungjawab pada pesakit itu, saya bantu teman-teman yang lain juga. Ada yang memerlukan bantuan untuk menghantar pesakit untuk X-ray yang kebanyakkannya cedera akibat kemalangan, ada yang perlu dimasukkan ubat. Alah, itu rutin biasa kami sebagai dokter muda.

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari.

Emergency kami mendapat serangan maghrib. Jika banyak tentera didunia mengunakan taktik serangan fajar bagi melumpuhkan musuh, emergency kami mendapat deretan pesakit usai sahaja masuk maghrib. Jadi riuh rendah ruang itu.

"Masuk ubat ni." Biasanya bagi kes kemalangan, akan dimasukkan antibiotik dan penahan sakit

"Pasang splint (kayu lurus yang digunakan untuk ikat kaki yang patah)."

"Collar neck ambil yang kecil." Apabila kita curiga akan trauma pada kepala, dipasang untuk melindungi bagian cervical.

"Ini dihantar RO (x-ray)." Ini procedur biasa untuk geng patah-patah.

"Siapa mahu jahit luka. Ayuh."

Mujurlah, tugas hanya sampai jam 7 malam, dan diserahkan kepada shift berikutnya.

Kepenatan

Saya mendapat SMS malam ini, rutin seperti biasa akan diadakan solat berjemaah bersama teman-teman lain. Saat itu, kami dapat solat bersama, mendengar sedikit tazkirah, makan dan berbual bersama. Untuk 6 hari sebelumnya, sukar untuk bertemu kerana masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Saya sendiri saja, keluar gelap, pulangnya gelap. Sesampai ke rumah, sudahpun kepenatan. Apa lagi, tidurlah.

Teguran Dan Doa Orang Tua

Saya pulang ke rumah selepas on-call ketika waktu sudah pun masuk Isyak. Tergesa-gesa pulang, dengan harapan dapat menyempatkan diri untuk solat berjemaah dengan teman-teman. Sampai saja ke rumah, bergegas mengambil wuduk dan dengan baju on-call berlari anak ke rumah teman.

Dalam perjalanan, berselisih dengan seorang pakcik tua membawa beg plastik. Berisi kitab pengajian barangkali. Saya tidak menangapi kerana mahu mengejar solat. Beberapa langkah melepasi beliau, telinga saya menangkap suara panggilan dari belakang.

"Pak dokter...pak dokter," rupanya pakcik tua itu memanggil.

Saya mematikan langkah, dan menoleh ke belakang.

"Laa...bapak. Kumaha damang (apa khabar dalam bahasa Sunda)?,"saya segera dapat menangkap siapa yang menegur ini. Dia ahli qariah masjid berhampiran rumah saya. Cuba bermesra dengan mengunakan bahasa Sunda yang mudah. Memberi nilai tambah bagi ikatan silaturahim. Cuba orang Sunda cakap Terengganu, pasti saya kagum. Ye dok? Itulah saya cuba lakukan.

"Alhamdulillah damang (baik). Pak dokter, udah beberapa hari enggak solat Subuh ke masjid. Lagi sibuk ya sekarang? Lagi dibagian mana doc?," tanya pakcik itu.

Zuppp!

Pertanyaan itu ibarat pisau menikam langsung tembus ke jantung. Amat ampuh membuatkan saya tersedar untuk bermuhasabah. Saya pasti, pertanyaan itu tidak ditanyakan kepada pemuda kampung ini yang bertatoo, ralit menghisap rokok, tidak ambil peduli azan solat. Tapi itulah pertanyaan diberikan kepada saya. Memang, masjid disini, tolak golongan RTM (rehat tunggu mati), golongan muda majoriti dari pelajar Malaysia yang rutin solat berjamaah disana. Jadi pertanyaan itu, ibarat teguran sayang dari Allah melalui dia kepada saya.

"Erm..lagi di bedah pak. Seminggu ini, agak padat dikit. Keluarnya gelap, pulangnya gelap," itulah realiti rutin kehidupan saya sekarang. Sambil hati mengatakan, ia masih sebatas ALASAN. Alasan yang sememangnya alasan. Tapi hati menolaknya, kerana tahu untuk seorang hamba, untuk tunduk menyembah wajib tanpa alasan!

"Owh, ini lagi mau kemana pak dokter?."

"Lagi ada solat jemaah ama teman-teman lain."

"Ok, selamat ya pak dokter. Semoga pak dokter sukses dunia akhirat."

Doa terakhir beliau ini amat mengujakan hati. Ya, malam itu saya penat pulang dari on-call. Tapi mendengar doa sebegitu, dari insan yang entah siapa sebelum ini, ibarat mendapat seteguk air dipadang pasir yang gersang. Amat mendamaikan hati, hilang segala penat yang ada.

Dakar Rally (Gambar Hiasan)

Tiada siapa tahu, mungkin saja doa pakcik ahli masjid ini didengar Allah. Jadi tiada lain yang mampu saya buat melainkan.

"Amin Ya Rabb!." Makbulkanlah doa beliau....

Berdoalah kepadaKu, niscaya akan Aku perkenankan bagimu (Surah Ghofir: 60)

Hari itu, muhasabah diri peringat tertinggi...Ya Allah, saksikanlah.

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Friday, 30 December 2011

Jemputan Perkahwinan Ahmad Fahmi & Sh. Nurul Hidayah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Firman Allah s.w.t ada menyebut,

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri (jodoh) dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

[Surah Ar-Rum: 21]

Justeru dengan rasa rendah diri dan penuh kesyukuran, saya Ahmad Fahmi Bin Sulaiman ingin berkongsi kegembiraan dengan keluarga, murabbi, sahabat dan kenalan untuk melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w ini pada 4 Februari 2012, 9.00 pagi dengan muslimah pilihan hati Sh. Nurul Hidayah Binti Syed Murzaki di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor (Rumah pengantin perempuan)

Majlis Walimatul Urus pihak Pengantin Perempuan, insyaallah akan berlangsung pada;

Tarikh: 4 Februari 2012, Sabtu
Tazkirah ringkas dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil: 11.00am – 12.00pm
Jamuan: 12.00 pm- 4.00 pm
Tempat: Balai Masyarakat BK2/10, Bandar Kinrara, 47180 Puchong, Selangor


Bagi kami berdua, tiada yang kami dambakan melainkan doa dan restu dari kalian. Kehadiran keluarga,murabbi, sahabat dan kenalan sangatlah dialu-alukan untuk memeriahkan walimahtul urus ini.

Terbang tinggi, si burung merpati,
Hinggap di dahan di tengah hari.
Munajat hamba, tenang di hati,
Doa dipohon, redhaNya di cari.

Akhirul kalam, moga redha Allah pada kami berdua, kedua belah keluarga, majlis dan kalian juga.

Wassalamualaikum wbt.

Nota 1: Bagi yang berhajatkan jemputan dalam bentuk kad undangan pernikahan, boleh hubungi Ahmad Fahmi atau Sh. Nurul Hidayah.

Nota 2: Bagi sahabat (Ahmad Fahmi) termasuk juga sahabat (Sh. Nurul Hidayah) yang tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis dipihak perempuan, InsyAllah majlis walimah di pihak pengantin lelaki, akan diadadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti di kampung halaman, Marang, Terengganu.

Nota 3: Mohon doanya "Semoga Allah memberkatimu dan melimpahkan kerberkatan-Nya ke atasmu serta menempatkan kebaikan di antara kamu berdua" [Riwayat Abu Daud, Ahmad Ibnu Majah, Al-Hakim]

Nota 4: Siapa Sh. Nurul Hidayah yang menjadi calon isteri saya? Beliau adalah penulis blog Sinar Islami

Friday, 23 December 2011

Metropolitan Jakarta dan PERMAI

"Apa harapan enta?," tanya saya kepada seorang teman. Orang kuat PERMAI, yang pertama kali diadakan di Jogja.

"Ana harap ia bukan PERMAI yang terakhir, dan jika boleh. Kita rotasi giliran PERMAI. Antum dari Bandung siap tak nak buat PERMAI?," jawap teman itu. Mahu melepaskan baton dari Jogja ke Bandung.

"InsyAllah, tiada masalah untuk itu. Sekarang kami bertandang ke Jogja, nanti kalian pula ke Bandung. Tidak hanya pengisian yang dapat, dapat juga berjalan-jalan mengenal tempat orang lain.

Jika di Jogja, Ustaz Hasrizal membahas tajuk 7 Habits of Highly Effective Muslim, di Bandung pula mengupas Maza Ya'ni Intima'i lil al-Islam.

Hari ini, sahabat-sahabat di Jakarta pula meneruskan legasi itu. Legasi bukan sekadar pelengkap jadual, penerus tradisi melainkan bertujuan memberi impak kepada ummat menerusi tenaga-tenaga muda di perantauan. Pilihan tajuk kali ini agak provokasi buat sesetengah orang.

Baitul Muslim.

Saya? saya senyum je. (^_^)

Selamat berprogram buat semua!


Sunday, 4 December 2011

Manual Beragama: Baca Jangan Sekali

Saya menulis dalam bentuk kata kunci. Kata kunci itu disusun untuk memperlihatkan kesinambungan antara kata kunci itu, dan kata kunci itu akan saya taip dan disimpan dalam bentuk 'word'. Seterusnya komputer ditutup. Catatan itu kembali saya taip, ditambah huraiannya, bahkan banyak huraiannya dibuang.

Proses itu diulang dua tiga kali bahkan pernah lebih dari itu. Masa diambil, usaha dicurahkan, namun saya yakin dan niatkan apa yang dicoret setidaknya diterima langit sebagai amal baik. Lama ya lama, tapi semua itu harus saya lakukan dalam usaha mendidik diri agar lebih bertanggungjawab apa yang dicoretkan, dan memberikan yang terbaik untuk sahabat di blog ini. Sedaya upaya saya.

Namun, balasan yang saya terima tidak begitu. Jika saya menulis boleh hampir 2 jam, ada pengunjung membaca hanya 5 minit membuat kesimpulan. Jika kesimpulan itu adalah selari apa yang saya maksudkan, saya mengurut dada gembira. Tapi banyak dihayun merata, dibawa atas nama saya.

Ada yang saya perincikan apabila saya rasa harus diperincikan, ada saya menulis dengan metafora agar yang dilontar itu kail. Pepandailah mencari sendiri ikan. Kerana itu salah satu cara saya menghormati aqal sahabat-sahabat. Saya menolak doktrin, begitu juga saya tidak mahu mendoktrin pembaca.

Makin Terperinci, Makin Rendah Kualiti

"Saya muslim," itu adalah kenyataan umum. Jika dahulu, ia masih boleh diterima. Kerana apabila muslim, ia merujuk pada muslim 'itu'. Tidak sekarang. Harus diperinci.


Muslim seperti apa?

Muslim moderate kah? muslim ortodok kah? muslim sunnah kah? muslim mu selam kah?

Kepada harus diperincikan? Kerana muslim sekarang bukan seperti muslim yang dicontohkan Rasulullah s.a.w.

Ya muslim, tapi muslim itu juara mengisap dadah.

Ya muslim, tapi muslim itu kaki songlap RM250 juta.

Ya muslim, tapi muslim itu berbaju adik ke pusat membeli belah dengan pusat berjalan.

Ya muslim, tapi muslim itu yang bersikap keras dengan semua orang tidak sealiran.

Kerana ada muslim yang tidak seperti muslim, sehingga harus dirincikan. Makin dirincikan apa itu muslim, menandakan kerendahan nilai jati diri muslim.

Menjawap dengan Membiarkan

Saya tidak sombong untuk berkongsi. Begitu juga saya terkadang sombong untuk memberi. Sering saya gunakan fatwa hati dalam merespon setiap pertanyaan. Jika saya rasakan, penulisan belum cukup jitu memberi jawapan atau kailnya masih tidak diikat tali, pasti akan turun untuk berkongsi. Saya tidak sombong. Apatah lagi, saya rasakan benar memang dia mahu belajar. Saya pun masih belajar, saya berada di kedudukan mereka.

Mahu belajar

Belajar aqal berbeza dengan belajar cara suap. Jika pertanyaan itu hasil dari malasnya berfikir, saya tetap menjawap. Menjawap dengan cara membiarkan soalan itu tidak dijawap.

Banyak lontaran pandangan ataupun cerita, saya coretkan secara umum. Tidak disebutkan nama si fulan bin si fulan, dan tempat dimana. Harapan saya, agar cerita itu dicanai mengikut kesesuaian masing-masing dengan mengambil ibrah darinya. Namun biasanya tidaklah begitu. Mahu dirincikan, jadilah cerita itu adalah cerita saya bukan cerita untuk semua.

Rajinkan Berfikir, Banyakkan Zikir

Hukamah ada berkata "Orang firasat tinggi, untuk faham cukup sekadar berdehem."

"Dr Amad, boleh ulas lagi tak?," itu dalam bentuk soalan.

Ada juga diulas, dihayun merata rawa (simpulan bahasa Terengganu) yang terkadang saya terfikir, 'jauhnya dari aku maksudkan'. Walaupun tidaklah sering, setidaknya beberapa kali saya harus mengambil nafas yang panjang. Tanda kebosanan.

Bukan bosan memberi, tapi bosan untuk menyuap.

Gabungan beberapa generasi, kami berbincang dan berkongsi. Saya suka ini.

Menyedari kesenjangan pembaca yang melebar, berlatar belakang diri yang berbeza. Saya cuba raikan, semampu saya. Keterbatasan diri sebagai manusia, saya cuba akui. Namun tidak sebagai alasan. Tetap sedaya upaya dipermudah dengan bahasa mudah, mengurangkan satira-satira tinggi, diberikan contoh dan 'dikurangkan' ayat dan nas agama.


Jangan memaksa untuk saya memerinci, kerana lebih terperinci semakin rendah kualiti.

Oleh itu, mungkin dalam nada merayu saya ingin katakan 'baca jangan sekali, baca dengan aqal diberi, hormatilah nilai diri, kerana kita adalah sebaik-baik kejadian ciptaan Ilahi.'

Mahukan kita sama-sama mahu memahami?

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Monday, 14 November 2011

Manual Bercinta: Cinta Tidak Perlu Diungkap (Edisi Kemaskini)


Malam Ku Bermimpi
Ai Dengan Satu Bintang
Berkata-kataku Di Jendela
Ku Lihat Kanda Tersenyum Memandang
Asmara Bergelora Meresap Ke Dada

Malam Ku Terlihat Oh Sekuntumlah Bunga
Baunya Harum Menarik Hati
Tak Sanggup Menahan Rasa Asmara
Meresap Mendalam Menusup Di Jiwa

Sayang Jauh Di Balik Awan
Wajahmu Tetap Berseri-seri
Laksana Bulan Sedang Mengambang
Menawan dan Menggoncang Dalam Kalbu

Oh Angin Bertiup Bawa Daku Ke Sana
Hasratku Ingin Bersama-sama
Tak Tahan Rasa Hati Menderita
Gelora Asmara Selalu Menggoda

Sayang Jauh Di Balik Awan
Wajahmu Tetap Berseri-seri
Laksana Bulan Sedang Mengambang
Menawan dan Menggoncang Dalam Kalbu

Oh Angin Bertiup Bawa Daku Ke Sana
Hasratku Ingin Bersama-sama
Tak Tahan Rasa Hati Menderita
Gelora Asmara Selalu Menggoda

Gelora Asmara~ Hail Amir dan Uji Rashid

Fanaa, itulah perkataan yang tepat apabila berbicara soal cinta. Cinta yang mempunyai dua sisi cerminnya. Cinta yang boleh membangunkan, cinta juga boleh meruntuhkan. Lihat saja lagu klasik tersebut, ia antara lagu kesukaan saya selain dari lagu klasik yang berhantu iaitu Dara Pujaan- L Ramlee.

Cinta itu segalanya indah, tapi ramai jua merasai pahitnya cinta.

Selepas saya menulis beberapa article yang menyentuh serba sedikit tentang isu evergreen iaitu CINTA, membuatkan diri ditempatkan oleh pembaca menjadi salah seorang dari rujukan. Sedangkan nikah pun belum, ayat power dan sakti untuk mencairkan wanita belum lagi digunakan. Dan sekarang satu demi satu ada yang meminta pandangan. Layakkah? Kita berkongsi, ambil yang baik dan sebarkan. Yang buruk, datang ke sini bisik.

Usaha saya hanya kecil, hanya meminjamkan telinga untuk diperdengarkan cerita. Saya serba sedikit cuba untuk menjadi pendengar yang setia, bukan untuk memberikan satu jawapan yang tepat dan jitu. Apatah lagi dapat member solusi satu demi satu masalah cinta.

Kerana cinta adalah persoalan jiwa. Jiwa pula berbeza-beza tempatnya disetiap manusia. Saranan kepada satu individu ini bukan semestinya cocok dengan individu yang lain. Jadi antara senjata yang saya berikan kepada mereka, yang kebanyakkan mereka boleh guna tanpa perlu saya jawap satu demi satu adalah bagaimana untuk menguruskan cinta.

Pujangga pernah berpesan “Berikan kail, jangan diberinya ikan.”

Hadir dalam riang.

Hadir dalam duka.

Hadir dalam keliru.

Hadir dalam blurr.

Itulah warna warni pembaca yang tampil untuk berkongsi cerita dengan saya. Sudah semestinya setiap yang hadir, saya raikan dengan hati yang berbunga-bunga.

Cinta Diungkap, Hati Gelisah

Selepas beberapa article yang menyentuh dan mengupas soal cinta, ada didatangi beberapa insan yang sebahagiannya tidak pernah saya kenal, meminta pandangan tentang masalah mereka hadapi.

Gambar Hiasan

" Amad, anda percaya tentang mimpi tak?," tanya seorang teman maya.

" Mimpi? hurm...nak kata tak percaya, tidak juga. Nak kata percaya, silaplah. Tapi banyaknya tak percayalah. Kenapa tetiba buka bab mimpi ni," saya menjawap dan pada masa sama cuba memberi ruang keselesaan kepada beliau untuk berkongsi rasa.

" Macam ini, saya semenjak dua tiga hari ini, asyik bermimpi seorang lelaki ni je. Saya tak nak, tapi sering termimpi," dia bercerita. Owh, sebelum itu, kawan dunia maya saya ini adalah seorang wanita. Jadi pantas saja yang masuk dalam mimpinya lelaki. Lelaki mimpi lelaki…dizaman seksualiti merdeka ni. Ia kes biru haru!

" Special sangat ke lelaki tu sampai duk angau begitu sekali?," saya bertanya lagi. Cuba mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat dari history taking yang dijalankan.

" Macam ini sebenarnya. Saya ini ada suka seorang lelaki ini. Tapi tahu sahajalah, saya perempuan, bila suka, hanya mampu buat hanya diam je. Pendam rasa sorang-sorang. Itu ok lagi. Tetapi satu hari, sebelum lelaki itu mahu ke luar negara belajar untuk beberapa tahun. Dia datang jumpa dengan saya," beliau bercerita.

Orang menaruh hati tengah memendam rasa, datang sang jejaka pujaan. Mengantuk disorok bantai beb. Indah!

"Apa yang dia cakapkan," tanya saya lagi.

Cuba mendapatkan symptom penyakit ini.

" Dia cakap dia sukakan saya. InsyAllah dia janji selepas habis belajar nanti, dia akan datang cari kembali saya. Dan itulah masalahnya. Selepas itu hati saya tak tenang, asyik teringatkan dia. Sedangkan dia diluar negara, seolah-olah diikat, tapi tanpa berikan keputusan yang pasti," beliau menyambung.

Penantian satu penyeksaan.

Keluar dari kes ini sebentar, ini pesanan terutama untuk muslimat. Jika orang hadir, bertanya soal hati, cubalah menyatakan keputusan itu secepat mungkin dengan berfikir. Jika YA, katakan dengan cepat. Jika TIDAK, katakan dengan cepat. Anda mungkin tidak perasaan dan tidak mengerti, ada lelaki yang tidak keruan hidup tanpa keputusan yang tepat dan cepat.

Jangan seksa mereka dengan penantian yang lama.

" Apa pandangan dan nasihat Amad pada saya? Saya tahu itu silap, tapi macamana nak baiki dan ubah?,"sedih bunyinya.

" Pertama, saya nak sekeh kepala mamat yang cakap sayang tu," saya menjawap.

" Hah, suka hati nak sekeh kepala orang," cepat beliau memberi respon.

" Ops, maaf terlupa pula kepala orang saya nak sekeh itu adalah cik abang tersayang," saya bergurau sebenarnya.

" Sebenarnya, orang yang membuat kesilapan paling besar adalah lelaki itu. Kita ni tidak kira lelaki atau perempuan, rasa suka, rasa minat ke seseorang, untuk itu wajar-wajar saja. Tetapi tindakan lelaki itu adalah amat tidak wajar," saya bagi pandangan.

" Salah lelaki tu? Kenapa? saya tidak faham," dia soal balas.

" Silap paling besar lelaki itu adalah dia mengucapkan rasa sayang dia itu pada anda!."

Sebelum bicara lebih mendalam, ayuh saya samakan persepsi agar kesimpulan pembaca jauh dari yang saya ingin sampaikan. Ini bicara soal insan yang tiada ikatan sama sekali.

Perasaan Wanita, Lelaki Harus Hormati

Adakah salah meluahkan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?

Adakah salah menyimpan rasa sayang apabila sememangnya sudah sayang?

Jangan sekali-kali kita menjadi robot cinta. Persoalan dan bicara soal hati dan perasaan diukur dengan digital.

Hati wanita sebenarnya kompleks, dan akan mudah dipengaruhi oleh perasaan. Bagi mereka yang tidak menaruh harapan kepada seorang lelaki itu, apabila diuji dengan persoalan berkaitan hati, sudah tidak nyenyak tidur, makan tidak kenyang, mandi tidak basah. Inikan pula yang sudah menaruh harapan. Mengantuk disorong bantal.

Tetapi bantal itu bukan bantal biasa, ia bantal fatamorgana. Empuk bicaranya, hakikatnya sensara. Bangun pagi, sakit tengkuk!

Empuknya pada mengusik hati si gadis, sensaranya adalah penantian tidak pasti. Bayangkan, yang dijatuhkan hukuman gantung. Mana lebih sensara, yang tahu tarikh pasti atau yang tarikhnya entah bila. Sensara yang mana?

Anda! Jika minat dan menaruh harapan kepada si gadis, dan merasakan jalan pernikahan itu masih jauh dipandangan mata, jangan sekali-kali gatal meringankan mulut untuk meluahkan perasaan sayang itu. Nak petiklah, nak suntinglah, nak racunlah, nak tanamlah. Mengarut!

Anda mahu pergi jauh, pergilah. Jangan diusik perasaan si gadis dengan luahan itu. Elok-elok si gadis dapat mengawal diri dengan sangkaan hanya bertepuk sebelah tangan, datang mamat mana entah untuk bertepuk sama.

Kita sebagai lelaki mungkin tidak mengapa, masih mampu mengawal diri. Paling tidak, senangkan hati dengan ‘alah jodoh banyak.’ Tetapi tidak bagi mereka. Ketahuilah hakikat sebenar jiwa lelaki dan wanita itu berbeza.

Kita dari Marikh, deme dari Venus.

Lawan Jangan, Layan Jangan

" Dah tu, sekarang dia pun terlepas cakap. Saya pulak dah lama terseksa dengan perasaan ini. Macamana nak buang ni?," tanya beliau.

Buang jangan, manage wajib.

Bagaimana?

Cara menguruskan angau yang tidak berpijak dibumi nyata ini adalah dengan MELUPAKANNYA.

Ustaz Hasrizal pernah berkongsi tentang hal

Cara untuk melupakan cinta bukanlah dengan memikirkan cara melupakannya. Itu bukan lupa, tapi mengingati cinta secara melupakannya!

Sesungguhnya kaedah terbaik untuk melupakan cinta, ialah dengan menyibukkan diri dengan hal-hal lain yang lebih sesuai dengan masanya.

Sibukkan diri dengan pelajaran dan pengajian seoptima mungkin.

Sibukkan diri dengan kerja-kerja persatuan, aktiviti kemasyarakatan dan lain-lain kegiatan yang bersifat “memberi”.

Gambar Hiasan

Tidak lupa juga ingin saya berpesan untuk sekian kalinya, masalah sayang, masalah cinta, masalah rindu adalah masalah jiwa. Kembalikan masalah jiwa ini kepada pemilik segala jiwa. Allah s.w.t. Jangan lepas dari tidak bermunajat kepada-Nya memohon kekuatan. Jika tidak dijawap dalam satu hari, biarlah terus berusaha hatta 100 tahun sekalipun. Doa tetap doa, kerana kita hamba.

Cinta itu harus fikir, fikir itu harus mengunakan aqal, aqal mampu sihat dengan hanya disirami iman.

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.