Tuesday, 1 May 2012

Andai Rezeki Di Mulut Naga

Hitung punya hitung, tinggal lagi 6 bulan saya akan menyelesaikan pendidikan saya sebagai 'budak medik' di Bandung. Selesai satu setengah tahun berada didalam proses klinikal, saya menduduki ujian akhir. Ujian akhir dari segala ujian akhir yang ada. Terbagi kepada dua, iaitu ujian objektif sebanyak 200 soalan, dan ujian OSCE (skill) terdapat 12 station.

Alhamdulillah, saya lulus kedua-dua ujian tersebut. Itu menandakan tiada lagi ujian selesai ini. Namun adakah saya sudah boleh pulang ke Malaysia dan berkhidmat? Tunggu dulu. Menjadi syarat oleh pihak universiti disini, wajib berkhidmat ke luar kota Bandung iaitu ke daerah pinggir, sebagai doktor biasa. Selama 6 bulan, sebelum dibenarkan pulang. Melihat jadual yang diberikan, saya akan dua bulan di klinik desa (yang berlainan) dan 4 bulan di rumah sakit (hospital) daerah. Dan kesemua tempat itu jauh dari Bandung.

Itulah latar belakang 5 minggu, blog ini yang terpinggirkan. Idea itu ada, namun banyak saya coretkan secara ringkas di Facebook. Andai diberi peluang dan ruang, saya akan canaikan kembali coretan ringkas disana dalam bentuk article yang lebih panjang.

Hamba
Tempat saya bertugas yang pertama ini jauhnya dari Bandung, 1 jam lebih perjalanan. Saya berulang alik dengan menaiki motor. Ada masa nyaman dengan suasana dingin pagi Bandung, ada masa terpanggang dek panas mentari ketika pulang disiang hari, ada juga basah kuyup hujan lebat. Cuaca tidak menentu, menguji ketahanan imuniti badan.

Hobi Menaiki Motor

Hobi saya ketika menaiki motor adalah mengelamun sambil mencantumkan puzzle kehidupan. Tadi pagi, sebelum bertolak ke klinik desa. Sempat membaca beberapa berita perkembangan tanahair. Saya suka baca article yang ditulis dan komen-komen yang dibawah. Isunya sekarang, pasti isu 'itulah'. Andai anda tidak tahu isu 'itulah' sudah sampainya anda menghantuk kepala ke dinding. Hehe.

"Bersyukurlah sikit...ingat rezeki yang anda dapat dari...."

Begitulah tulisan seseorang. Penulisan ini sudah banyak dicoret orang. Namun entah kenapa, kali ini cukup menganggu dan menjentik fikiran saya. Sombongnya!

"Rezeki itu datang dari Allah, manusia asbabnya sahaja. Andaikata Allah takdirkan rezeki itu bukan milik kita, yang didalam mulut pun boleh keluar kembali. Andaikata Allah takdirkan rezeki itu menjadi milik kita, dari mulut naga sekalipun boleh masuk ke mulut kita.

Tangan-tangan manusia tidak akan dapat menghalangnya."

Monolog dalaman saya.

Tinggal 1 km sebelum sampai ke klinik, saya singgah ke warung lesehan (warung tepi jalan) untuk bersarapan. Makan bubur. Sambil mengadap sawah padi yang menghijau, saya melayan blues. Fikir dan zikir. Masih tentang hal rezeki ini. Tiba-tiba datang seorang anak kecil, muka berbedak putih, wangi, dan berpakaian sekolah. Baju putih, berseluar maroon. Anak kecil ini mengidap sindrom down.


Gambar Hiasan

Datang ke belakang saya, dan dakap. Sambil tersenyum dan bercakap sunda. Saya hanya tersenyum, mahu saja dicium pipinya. Kerana sangat comel dengan telatah beliau. Ibunya menyusul dari belakang. Rupanya mahu ke sekolah si adik kecil ini.

"Salam...salam....salam sama oom itu," pinta ibunya.

Dihulurkan tangan kepada saya, saya menyambut, beliau menundukkan kepala dan mencium tangan. Selepas saya, adik ini ke penjual bubur dan bersalaman.

Saya meneruskan aktiviti perut. Menyuapkan baki bubur sambil menerawang. Seronok juga andai insan tercinta ada disisi. Dapat bersarapan bersama, sambil melihat sawah menghijau.

Ketika zaujah datang ke Bandung. Makan bebek...
Bapak si penjual bubur, mengambil kerusi dan duduk dihadapan saya. Beliau bercakap sunda yang dapat saya tangkap butir bicaranya,

"Itulah anak. Allah nak bagi rezeki. Kita rasa itu kekurangan, tapi Allah berikan rezeki dari yang tak sangka-sangka. Bapak ada kawan, anak dia sakit macam tu juga. Waktu anak dia hidup, rezeki Allah bagi banyak. Itu dapat, ini dapat. Rezeki ini Allah yang punya. Ibubapa yang anak ada macam ni, kena kuat mental je. Kena tahan kata orang," cerita bapak bubur tu.

Saya hanya diam dan mengutip ibrah dari bapak penjual bubur pinggiran jalan.

"Setidaknya pak, anak yang kayak gini, sudah pasti ahli syurga. Kita masih belum tahu untung nasibnya," saya komentar ringkas. Selesai makan, bayar dan terus ke klinik.



Saya membelek kembali buku "Sehingga Para Pemuda Mengerti" karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan, beliau memetik satu hadis. Hadis yang andaikata kita beriman dengannya, ia mencukupi kehidupan kita segala isi.

"Dan barangsiapa yang mencari keredhaan Allah dengan perkara yang membuat manusia marah, Allah akan mencukupkannya daripada bergantung kepada manusia. Dan barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dengan perkara yang membuat Allah marah, Allah akan menyerahkan segala urusannya kepada manusia" (HR Tarmizi)

Hidup ini, tiada lain yang saya pinta,

Semoga Allah mencukup hidupku dengan maghfirah-Nya dan jangan serahkan urusanku kepada sesama makhluk untuk mencukupkannya.

Ameen Ya Rabb!

No comments: