Friday, 4 May 2012

BERSIH: Antara Rencam Realiti dan Satu Harapan

Menyambung titik-titik antara BERSIH 1.0, 2.0, 3.0, saya memerhatikan trend yang amat mengerunkan.

BERSIH 1.0 dan 2.0, himpunan menyerahkan memorandum kepada YDP Agong. Rakyat berkumpul puluhan ribu di ibukota dengan harapan, pemerintah tertinggi negara sudi memandang hasrat itu. Namun sepi dari respon yang bermakna dari YDP Agong. Saat itu, rakyat yang turun boleh dikatakan masih lembut dan menaruh harapan ada sinar pada hak mereka.

250 ribu rakyat Malaysia pada BERSIH 3.0

BERSIH 3.0 datang lagi selepas tiada respon dari pemerintah tertinggi negara dan perubahan yang diharapkan pada SPR tiada. Harapan itu kelihatan menipis. Saya perhalusi kata-kata CheguBard dalam Malaysiakini, untuk BERSIH kali ini sudah wujud anak-anak muda yang sanggup untuk tinggal di Kuala Lumpur berminggu sehingga tuntutan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil itu ditunaikan. Seperti revolusi rakyat yang popular abad ini iaitu revolusi rakyat Mesir.


Bahkan, diamnya rakyat terhadap polis mula menampak pecah-pecahnya. Tanda perlakukan polis terhadap mereka, mereka tidak lagi mampu menelannya. Jika tidak, masakan ada beberapa insan selepas melihat teman sendiri pecah muka dibelasah, sanggup fight one on one dengan polis di lapangan terbuka hingga jatuh beret polis. Sungguh, ini bukan kebiasaan bagi marhaen.

Indikatornya satu, kepercayaan marhaen terhadap sistem semakin menipis.

Khabar baik untuk setakat ini, jiwa bara anak-anak muda itu masih mampu disejukkan dan diredam dengan hikmah pujukkan orang yang lebih dewasa. Dengan sabar dan sabar. Itu untuk setakat BERSIH 3.0.
Menipis sehingga hilang kepercayaan akan membuatkan negara dan rakyat akan membayar harga yang mahal seperti negara-negara lain di Timur Tengah. Perlukah? Tidak perlu, kerana kita boleh membayar harga yang lebih murah dari itu, iaitu perubahan sistem.

Tuntutan 8 BERSIH tiada yang celanya, dan itulah harga yang murah. Bersihkan pilihanraya, kemaskini senarai pemilih, hapuskan undi pos kerana terdedah dengan manipulasi maksimum, kerakyatan yang diberikan kepada warga asing itu perlu disiasat dan pemberinya harus dihukum dan beberapa lagi tuntutan utama. Apatah lagi, yang menguruskan pilihanraya itu sendiri adalah ahli parti politik tertentu. Moralnya tiada. Semua ini bukan lagi di peringkat cakap kosong, bahkan disertakan bukti sedia ada.

Menyediakan padang yang seimbang bagi dua pihak adalah harga yang murah untuk masa depan negara. Berentaplah di padang rata. Dan paling penting, memberikan rakyat hak mereka kembali. Yang selama ini hilang. Malaysia adalah tanahair kita, tiada yang lebih berhak menentukan untung rugi, jatuh bangun negara kita melainkan rakyat sendiri. Yang ribuan turun, andai mereka adalah pembangkang, ini peluang anda menghukum mereka didalam pilihanraya yang adil dan bersih.

Ini permintaan yang adil. Harga yang murah, iaitu berubah.

Pada pemerintah yang sedia ada, andai mahu melihat ini sebagai rayuan. Ya, ini adalah rayuan.

Ini adalah rayuan, kerana saya yakin 250 ribu yang turun ke jantung ibukota hanya mahu yang terbaik untuk Malaysia.

Generasi baru ini, mereka berhak mendapat Malaysia yang lebih baik.

BERSIH itu sekarang menyusahkan bagi kita, demi kesenangan anak-anak kita. (Gambar Hiasan)

Anak-anak saya, anak-anak pembaca, anak-anak yang turun BERSIH, anak-anak yang tidak turun BERSIH, anak-anak polis termasuklah anak-anak menteri.

Nota kaki 8 tuntutan BERSIH:


1. Bersihkan senarai undi
• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.
• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos
• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.
• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.
• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal
• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari
• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.
• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil
• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.
• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam
Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.

Contohnya :
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.


Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah
Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.
Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.


8. Hentikan politik kotor
BERSIH menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.



.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Tuesday, 1 May 2012

Andai Rezeki Di Mulut Naga

Hitung punya hitung, tinggal lagi 6 bulan saya akan menyelesaikan pendidikan saya sebagai 'budak medik' di Bandung. Selesai satu setengah tahun berada didalam proses klinikal, saya menduduki ujian akhir. Ujian akhir dari segala ujian akhir yang ada. Terbagi kepada dua, iaitu ujian objektif sebanyak 200 soalan, dan ujian OSCE (skill) terdapat 12 station.

Alhamdulillah, saya lulus kedua-dua ujian tersebut. Itu menandakan tiada lagi ujian selesai ini. Namun adakah saya sudah boleh pulang ke Malaysia dan berkhidmat? Tunggu dulu. Menjadi syarat oleh pihak universiti disini, wajib berkhidmat ke luar kota Bandung iaitu ke daerah pinggir, sebagai doktor biasa. Selama 6 bulan, sebelum dibenarkan pulang. Melihat jadual yang diberikan, saya akan dua bulan di klinik desa (yang berlainan) dan 4 bulan di rumah sakit (hospital) daerah. Dan kesemua tempat itu jauh dari Bandung.

Itulah latar belakang 5 minggu, blog ini yang terpinggirkan. Idea itu ada, namun banyak saya coretkan secara ringkas di Facebook. Andai diberi peluang dan ruang, saya akan canaikan kembali coretan ringkas disana dalam bentuk article yang lebih panjang.

Hamba
Tempat saya bertugas yang pertama ini jauhnya dari Bandung, 1 jam lebih perjalanan. Saya berulang alik dengan menaiki motor. Ada masa nyaman dengan suasana dingin pagi Bandung, ada masa terpanggang dek panas mentari ketika pulang disiang hari, ada juga basah kuyup hujan lebat. Cuaca tidak menentu, menguji ketahanan imuniti badan.

Hobi Menaiki Motor

Hobi saya ketika menaiki motor adalah mengelamun sambil mencantumkan puzzle kehidupan. Tadi pagi, sebelum bertolak ke klinik desa. Sempat membaca beberapa berita perkembangan tanahair. Saya suka baca article yang ditulis dan komen-komen yang dibawah. Isunya sekarang, pasti isu 'itulah'. Andai anda tidak tahu isu 'itulah' sudah sampainya anda menghantuk kepala ke dinding. Hehe.

"Bersyukurlah sikit...ingat rezeki yang anda dapat dari...."

Begitulah tulisan seseorang. Penulisan ini sudah banyak dicoret orang. Namun entah kenapa, kali ini cukup menganggu dan menjentik fikiran saya. Sombongnya!

"Rezeki itu datang dari Allah, manusia asbabnya sahaja. Andaikata Allah takdirkan rezeki itu bukan milik kita, yang didalam mulut pun boleh keluar kembali. Andaikata Allah takdirkan rezeki itu menjadi milik kita, dari mulut naga sekalipun boleh masuk ke mulut kita.

Tangan-tangan manusia tidak akan dapat menghalangnya."

Monolog dalaman saya.

Tinggal 1 km sebelum sampai ke klinik, saya singgah ke warung lesehan (warung tepi jalan) untuk bersarapan. Makan bubur. Sambil mengadap sawah padi yang menghijau, saya melayan blues. Fikir dan zikir. Masih tentang hal rezeki ini. Tiba-tiba datang seorang anak kecil, muka berbedak putih, wangi, dan berpakaian sekolah. Baju putih, berseluar maroon. Anak kecil ini mengidap sindrom down.


Gambar Hiasan

Datang ke belakang saya, dan dakap. Sambil tersenyum dan bercakap sunda. Saya hanya tersenyum, mahu saja dicium pipinya. Kerana sangat comel dengan telatah beliau. Ibunya menyusul dari belakang. Rupanya mahu ke sekolah si adik kecil ini.

"Salam...salam....salam sama oom itu," pinta ibunya.

Dihulurkan tangan kepada saya, saya menyambut, beliau menundukkan kepala dan mencium tangan. Selepas saya, adik ini ke penjual bubur dan bersalaman.

Saya meneruskan aktiviti perut. Menyuapkan baki bubur sambil menerawang. Seronok juga andai insan tercinta ada disisi. Dapat bersarapan bersama, sambil melihat sawah menghijau.

Ketika zaujah datang ke Bandung. Makan bebek...
Bapak si penjual bubur, mengambil kerusi dan duduk dihadapan saya. Beliau bercakap sunda yang dapat saya tangkap butir bicaranya,

"Itulah anak. Allah nak bagi rezeki. Kita rasa itu kekurangan, tapi Allah berikan rezeki dari yang tak sangka-sangka. Bapak ada kawan, anak dia sakit macam tu juga. Waktu anak dia hidup, rezeki Allah bagi banyak. Itu dapat, ini dapat. Rezeki ini Allah yang punya. Ibubapa yang anak ada macam ni, kena kuat mental je. Kena tahan kata orang," cerita bapak bubur tu.

Saya hanya diam dan mengutip ibrah dari bapak penjual bubur pinggiran jalan.

"Setidaknya pak, anak yang kayak gini, sudah pasti ahli syurga. Kita masih belum tahu untung nasibnya," saya komentar ringkas. Selesai makan, bayar dan terus ke klinik.



Saya membelek kembali buku "Sehingga Para Pemuda Mengerti" karangan Dr Abdullah Nasih Ulwan, beliau memetik satu hadis. Hadis yang andaikata kita beriman dengannya, ia mencukupi kehidupan kita segala isi.

"Dan barangsiapa yang mencari keredhaan Allah dengan perkara yang membuat manusia marah, Allah akan mencukupkannya daripada bergantung kepada manusia. Dan barangsiapa yang mencari keredhaan manusia dengan perkara yang membuat Allah marah, Allah akan menyerahkan segala urusannya kepada manusia" (HR Tarmizi)

Hidup ini, tiada lain yang saya pinta,

Semoga Allah mencukup hidupku dengan maghfirah-Nya dan jangan serahkan urusanku kepada sesama makhluk untuk mencukupkannya.

Ameen Ya Rabb!

Sunday, 25 March 2012

Manual Bercinta: Cerita Lada Merah



“Teori saja, bolehlah….bila lagi?,” ditoyoh kawan dengan sindiran. Dan itu semua biasa, apatah lagi antara obsesi adalah berkongsi kebaikan berkaitan dengan rumahtangga.

Perkongsian itu dibuat ketika menjawat jawatan Bujang Senang. Jadi senanglah dipandang sebelah mata. Budak mentah, pandai berteori , masuk terlebih dahulu ke dalam realiti. Saya tidak marah, tidak terasa, kerana itu ‘kekurangan’ yang menunggu masa sesuai untuk diatasi.

“InsyAllah, teori memang teori. Tunggu untuk direalisasi, jadi doakan kami," jawap saya dengan sindiran itu.

Membelek kalendar, rupanya hampir 2 bulan saya menjadi suami kepada si bidadari ini.

"Aku terima nikahnya Sharifah Nurul Hidayah Bt Syed Murzaki dengan mas kahwin RM300 tunai."

Sah?

Sah!

Sah!

Menyedari Kami Berbeza

Paksaan itu tidak berpunca dari si dia, melainkan harus bermula dari saya sendiri. Saya memaksa diri mengenali insan bernama wanita. Tidak malu dan segan saya ingin kongsikan betapa berbezanya kami.

Perbezaan itu saya sedari antaranya ketika berbincang soal warna baju nikah.

"Akhi, ini waktu nikah, nak pakai baju apa? Nak warna putih atau cream?," tanya bekas tunang.

"Erm, memang ada beza ketara ek warna dua tu?," saya tanya balas. Bertanya bukan untuk bermanja, tapi memang tak tahu beza antara dulu. Maksud saya tidak jauh beza.

Dia terdiam.

"Ok, fine. Ini memang entiti berbeza," bisik dalam hati. Selepas berbincang lagi, kedua-dua warna saya setuju.

Cerita Lada Merah

Sehari selepas diijab qabulkan, saya terus pulang ke Bandung. Kerana cuti yang diambil hanya dua hari, dan tiada pilihan melainkan kembali masuk bertugas. Jika sebelum ini pulang bersendirian, kali ini saya membawa sama zaujah ke Bandung. Merangkap honeymoon singkat kami.

Sempat diusik oleh Ustaz Hasrizal sebelum berlepas ke Bandung "Wah honeymoon di Takubang Perahu, habis meletup-letup gunung berapi tu nanti." Hehehe.

Masa yang kami ada untuk berkenalan dan mencipta kenangan hanya 1 minggu. Singkat. "Biar singkat, tapi berkualiti untuk kita,"pesan saya pada beliau. Solat jemaah sama-sama, tas'mi al-quran bersama-sama hinggalah masak bersama-sama.

Rehat tengahari, sering saya berkejar pulang ke rumah agar dapat menolong beliau masak. Kerana saya mahu mengenalinya. Bunyinya agak
cliche bukan? tak mengapa kerana memang saya memaksudkannya. Hehehe.

Dup dap dup dap...

"Abang, ni nak kena letak lada merah ke tidak," tanya zaujah saya tercinta. Saya tahu, dia tahu saja perlu letak ke tidak, tapi saja untuk bertanya. Nak bermanja. Barangkali. Ketika itu kami sedang menyediakan juadah bihun.

"Lada merah? Kalau letak, bukan tambah rasa pedas pun. Lainlah letak cili padi. Jadi, letak pun ok, tak letak pun ok. Terserah nur lah,"jawap saya. Tangan masih ralit mengacau bihun didalam kuali.

Selepas saya memberikan feedback seperti itu, terus dia memotong lada merah. Dan diletakkan ke dalam bihun. Setengah jam selepas itu, bihun kami siap. Dan hasilnya saya menambah dua kali. Sedap satu hal, menarik perhatian satu hal.

Rupanya lada merah yang dicampak masuk bukan untuk memberi rasa pedas, tapi membangkitkan nafsu selera makan. Saya bila teringat kembali bab ini, pasti tersenyum sendiri. Berbeza cara kami pandang sesuatu hal.

Ya, kami berbeza. Namun patutkah perbezaan itu menjadi masalah bagi kami?

Men Are From Mars, Women Are From Venus

Saya dikenalkan idea-idea buku Men Are From Mars, Women Are From Venus hasil penulisan John Gray oleh Sifu, Ustaz Hasrizal yang juga mencanai kembali idea itu dengan mendekatkan dengan realiti sendiri.


"Men mistakenly expect women to think, communicate, and react the way men do; women mistakenly expect men to feel, communicate, and respond the way women do. We have forgotten that men and women supposed to be different," Men Are From Mars, Women Are From Venus, John Gray.

Jauh sebelumnya, Imam Al-Ghazali menyentuh perbezaan ini dengan sedikit konotasi berbeza andai saja kita membacanya secara lateral. " Lelaki itu 9 akal dan 1 nafsu. Manakala perempuan pula 9 nafsu dan 1 akal."

Usahkan orang lain, saya sendiri aneh membaca ungkapan ini. Bab nafsu, secara realiti kita tidak perlu khilaf, lelaki kuatnya. Apatah lagi, banjiran perempuan di universiti, dengan lelaki memenuhkan pusat serenti. Nilaian mudah akal. Jadi dimana kebenaran ungkapan imam besar dalam sejarah Islam ini?

Pertanyaan itu terjawap selepas membaca olahan oleh Ustaz Hasrizal. Rupanya hakikat sebenar ungkapan itu adalah "lelaki itu 9 logik dan 1 emosi. Manakala perempuan pula 9 emosi dan 1 logik."

Apa yang membentuk pemikiran lelaki adalah logik. Logik yang berfungsi ketika saat memerlukan keputusan segera namun harus tepat. Jika sahaja, emosi menguasai, nescaya akan berakibatkan fatal.

Luarbiasa kebijaksanaan Allah s.w.t menganugerahkan kuasa talak kepada lelaki dan tidak kepada wanita. Bayangkan andai kuasa itu diberikan kepada wanita, berselisih faham saja, sebanyak bintang dilangit ditalaknya. Tidak perlu membacanya dalam nada sexiest, kerana kekurangan logik pada wanita itu diimbangkan dengan emosi.

Logik semata-mata didalam rumahtangga, akan menyegerakan kemusnahan rumahtangga itu. Kerana gersang emosi didalam pengurusannya. Dan kekuatan ini ada pada wanita.

Ayuh angkat tangan bagi lelaki yang sanggup?! Saya berani katakan, kesemua lelaki tidak sanggup. Siapa sanggup bangun awal pagi menyiapkan sarapan, menyiapkan anak-anak untuk ke sekolah, pergi ke pejabat dari pagi hingga ke petang, pulang membasuh baju, mengemas rumah, menyiapkan juadah makan malam, menidurkan anak-anak.

Semua itu hanya mampu dilakukan oleh wanita. Makhluk Allah yang sarat dengan emosi, dan kerana emosi itulah mereka mampu bertahan melakukan semua itu. Dengan fitrah itulah, Allah memberi taqlifan mendidik anak-anak kepada si ibu. Kerana ibu lebih dekat dengan mereka.

Perjalanan Masih Jauh

Emosi yang tidak dipagari logik, akan hidup secara liar. Dan keberadaan emosi yang tidak diraikan akan mengakibatkan hubungan itu gersang.

Peringatan buat suami, raikan dan terimalah emosi isteri. Bagi si isteri, binalah logik didalam diri dengan mengurangkan emosi apabila diminta solusi oleh suami. Ketahuilah, lebih sakit otak si suami, apabila solusi diberikan dalam bentuk tangis.

Tiada yang lebih dekat dengan perkongsian ini melainkan diri saya sendiri dan isteri. Masih banyak perlu kami pelajari, mengenal satu sama lain, mengetahui perbezaan, dan meraikannya.

Izinkan saya belajar mengenai dia.


.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Tuesday, 6 March 2012

Sindrom TGTP

"Jib, roti telur satu, teh tarik satu. Tarik panjang-panjang deh," Ramly memesan minum pagi. Sambil ditarik bangku ke belakang. Untuk duduk.

"Erm...sama jelah. Roti telur satu, teh tarik satu. Kurang manis," pesan Zainal.

Waktu awal pagi, kesempatan itu digunakan untuk mengalas perut untuk aktiviti sepanjang pagi menunggu ke tengahari.

"Bos, tahu tak kelmarin? ada kemalangan kat Felda Cendawan Kembang. Teruk jugak. Kereta terlanggar ba alif ba ya. Hujan barangkali malam semalam, jalan pun tak berapa comel. Memang tak nampak la hamba Allah tu duk melintas," cerita Ramly.

Gambar hiasan

"Aku dengar jugak. Tapikan, kemalangan tu boleh elak. Kalau dia check break baik-baik. Ini laju satu hal, kena pula break tak berapa nak makan, hujan lagi. Memang cukup rempah ratus la nak jadi ke asbab accident tu, tapi alhamdulillah la orang kat dalam sikit je kena, "tambah Zainal.

"Itulah pasal. Engko cakap macam tu, aku rasa cuak pulak. Dah la tayar kereta aku lama dah tak tukar. Servis kereta? lagi la. Nampak gaya memang kena melabur sikit ke 'kuda perang' aku tu,"Ramly menyatakan kebimbangan.

Bla...bla...rancak pula bicara dua teman rapat ini. Sementara tunggu roti canai mereka sampai.

"Aah la, aku ada dengar jugak. Tapikan kereta accident dengan babi tu kena samak tak?,"tanya Jib. Sambil menghidangkan juadah sarapan pagi pada pelanggannya.

Brrrrrrr!

Sindrom TGTP...sindrom tak get the point!

Ada sesiapa yang mengidapnya?

Itu tiada ubatnya.

Monday, 16 January 2012

Teguran Dan Doa Kepada Pak Dokter

Hari itu hari Ahad, saya seperti biasa bertugas di bagian Emergency Surgery. Awal paginya, seakan menjanjikan prognosis yang baik hingga ke petang. Pesakit yang harus saya jaga hanya satu orang. Mengikut hasil history taking, dan pemeriksaan lanjut, menjurus kepada Acute Appendicitis. Dan direncanakan untuk operasi tengahari itu.

Sambil menyelesaikan tanggungjawab pada pesakit itu, saya bantu teman-teman yang lain juga. Ada yang memerlukan bantuan untuk menghantar pesakit untuk X-ray yang kebanyakkannya cedera akibat kemalangan, ada yang perlu dimasukkan ubat. Alah, itu rutin biasa kami sebagai dokter muda.

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari.

Emergency kami mendapat serangan maghrib. Jika banyak tentera didunia mengunakan taktik serangan fajar bagi melumpuhkan musuh, emergency kami mendapat deretan pesakit usai sahaja masuk maghrib. Jadi riuh rendah ruang itu.

"Masuk ubat ni." Biasanya bagi kes kemalangan, akan dimasukkan antibiotik dan penahan sakit

"Pasang splint (kayu lurus yang digunakan untuk ikat kaki yang patah)."

"Collar neck ambil yang kecil." Apabila kita curiga akan trauma pada kepala, dipasang untuk melindungi bagian cervical.

"Ini dihantar RO (x-ray)." Ini procedur biasa untuk geng patah-patah.

"Siapa mahu jahit luka. Ayuh."

Mujurlah, tugas hanya sampai jam 7 malam, dan diserahkan kepada shift berikutnya.

Kepenatan

Saya mendapat SMS malam ini, rutin seperti biasa akan diadakan solat berjemaah bersama teman-teman lain. Saat itu, kami dapat solat bersama, mendengar sedikit tazkirah, makan dan berbual bersama. Untuk 6 hari sebelumnya, sukar untuk bertemu kerana masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Saya sendiri saja, keluar gelap, pulangnya gelap. Sesampai ke rumah, sudahpun kepenatan. Apa lagi, tidurlah.

Teguran Dan Doa Orang Tua

Saya pulang ke rumah selepas on-call ketika waktu sudah pun masuk Isyak. Tergesa-gesa pulang, dengan harapan dapat menyempatkan diri untuk solat berjemaah dengan teman-teman. Sampai saja ke rumah, bergegas mengambil wuduk dan dengan baju on-call berlari anak ke rumah teman.

Dalam perjalanan, berselisih dengan seorang pakcik tua membawa beg plastik. Berisi kitab pengajian barangkali. Saya tidak menangapi kerana mahu mengejar solat. Beberapa langkah melepasi beliau, telinga saya menangkap suara panggilan dari belakang.

"Pak dokter...pak dokter," rupanya pakcik tua itu memanggil.

Saya mematikan langkah, dan menoleh ke belakang.

"Laa...bapak. Kumaha damang (apa khabar dalam bahasa Sunda)?,"saya segera dapat menangkap siapa yang menegur ini. Dia ahli qariah masjid berhampiran rumah saya. Cuba bermesra dengan mengunakan bahasa Sunda yang mudah. Memberi nilai tambah bagi ikatan silaturahim. Cuba orang Sunda cakap Terengganu, pasti saya kagum. Ye dok? Itulah saya cuba lakukan.

"Alhamdulillah damang (baik). Pak dokter, udah beberapa hari enggak solat Subuh ke masjid. Lagi sibuk ya sekarang? Lagi dibagian mana doc?," tanya pakcik itu.

Zuppp!

Pertanyaan itu ibarat pisau menikam langsung tembus ke jantung. Amat ampuh membuatkan saya tersedar untuk bermuhasabah. Saya pasti, pertanyaan itu tidak ditanyakan kepada pemuda kampung ini yang bertatoo, ralit menghisap rokok, tidak ambil peduli azan solat. Tapi itulah pertanyaan diberikan kepada saya. Memang, masjid disini, tolak golongan RTM (rehat tunggu mati), golongan muda majoriti dari pelajar Malaysia yang rutin solat berjamaah disana. Jadi pertanyaan itu, ibarat teguran sayang dari Allah melalui dia kepada saya.

"Erm..lagi di bedah pak. Seminggu ini, agak padat dikit. Keluarnya gelap, pulangnya gelap," itulah realiti rutin kehidupan saya sekarang. Sambil hati mengatakan, ia masih sebatas ALASAN. Alasan yang sememangnya alasan. Tapi hati menolaknya, kerana tahu untuk seorang hamba, untuk tunduk menyembah wajib tanpa alasan!

"Owh, ini lagi mau kemana pak dokter?."

"Lagi ada solat jemaah ama teman-teman lain."

"Ok, selamat ya pak dokter. Semoga pak dokter sukses dunia akhirat."

Doa terakhir beliau ini amat mengujakan hati. Ya, malam itu saya penat pulang dari on-call. Tapi mendengar doa sebegitu, dari insan yang entah siapa sebelum ini, ibarat mendapat seteguk air dipadang pasir yang gersang. Amat mendamaikan hati, hilang segala penat yang ada.

Dakar Rally (Gambar Hiasan)

Tiada siapa tahu, mungkin saja doa pakcik ahli masjid ini didengar Allah. Jadi tiada lain yang mampu saya buat melainkan.

"Amin Ya Rabb!." Makbulkanlah doa beliau....

Berdoalah kepadaKu, niscaya akan Aku perkenankan bagimu (Surah Ghofir: 60)

Hari itu, muhasabah diri peringat tertinggi...Ya Allah, saksikanlah.

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Friday, 30 December 2011

Jemputan Perkahwinan Ahmad Fahmi & Sh. Nurul Hidayah

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

بسم الله الرحمن الرحيم

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Firman Allah s.w.t ada menyebut,

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri (jodoh) dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.”

[Surah Ar-Rum: 21]

Justeru dengan rasa rendah diri dan penuh kesyukuran, saya Ahmad Fahmi Bin Sulaiman ingin berkongsi kegembiraan dengan keluarga, murabbi, sahabat dan kenalan untuk melaksanakan sunnah Rasulullah s.a.w ini pada 4 Februari 2012, 9.00 pagi dengan muslimah pilihan hati Sh. Nurul Hidayah Binti Syed Murzaki di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor (Rumah pengantin perempuan)

Majlis Walimatul Urus pihak Pengantin Perempuan, insyaallah akan berlangsung pada;

Tarikh: 4 Februari 2012, Sabtu
Tazkirah ringkas dari Ustaz Hasrizal Abdul Jamil: 11.00am – 12.00pm
Jamuan: 12.00 pm- 4.00 pm
Tempat: Balai Masyarakat BK2/10, Bandar Kinrara, 47180 Puchong, Selangor


Bagi kami berdua, tiada yang kami dambakan melainkan doa dan restu dari kalian. Kehadiran keluarga,murabbi, sahabat dan kenalan sangatlah dialu-alukan untuk memeriahkan walimahtul urus ini.

Terbang tinggi, si burung merpati,
Hinggap di dahan di tengah hari.
Munajat hamba, tenang di hati,
Doa dipohon, redhaNya di cari.

Akhirul kalam, moga redha Allah pada kami berdua, kedua belah keluarga, majlis dan kalian juga.

Wassalamualaikum wbt.

Nota 1: Bagi yang berhajatkan jemputan dalam bentuk kad undangan pernikahan, boleh hubungi Ahmad Fahmi atau Sh. Nurul Hidayah.

Nota 2: Bagi sahabat (Ahmad Fahmi) termasuk juga sahabat (Sh. Nurul Hidayah) yang tidak berkesempatan untuk menghadiri majlis dipihak perempuan, InsyAllah majlis walimah di pihak pengantin lelaki, akan diadadakan pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti di kampung halaman, Marang, Terengganu.

Nota 3: Mohon doanya "Semoga Allah memberkatimu dan melimpahkan kerberkatan-Nya ke atasmu serta menempatkan kebaikan di antara kamu berdua" [Riwayat Abu Daud, Ahmad Ibnu Majah, Al-Hakim]

Nota 4: Siapa Sh. Nurul Hidayah yang menjadi calon isteri saya? Beliau adalah penulis blog Sinar Islami

Friday, 23 December 2011

Metropolitan Jakarta dan PERMAI

"Apa harapan enta?," tanya saya kepada seorang teman. Orang kuat PERMAI, yang pertama kali diadakan di Jogja.

"Ana harap ia bukan PERMAI yang terakhir, dan jika boleh. Kita rotasi giliran PERMAI. Antum dari Bandung siap tak nak buat PERMAI?," jawap teman itu. Mahu melepaskan baton dari Jogja ke Bandung.

"InsyAllah, tiada masalah untuk itu. Sekarang kami bertandang ke Jogja, nanti kalian pula ke Bandung. Tidak hanya pengisian yang dapat, dapat juga berjalan-jalan mengenal tempat orang lain.

Jika di Jogja, Ustaz Hasrizal membahas tajuk 7 Habits of Highly Effective Muslim, di Bandung pula mengupas Maza Ya'ni Intima'i lil al-Islam.

Hari ini, sahabat-sahabat di Jakarta pula meneruskan legasi itu. Legasi bukan sekadar pelengkap jadual, penerus tradisi melainkan bertujuan memberi impak kepada ummat menerusi tenaga-tenaga muda di perantauan. Pilihan tajuk kali ini agak provokasi buat sesetengah orang.

Baitul Muslim.

Saya? saya senyum je. (^_^)

Selamat berprogram buat semua!