Monday 16 January 2012

Teguran Dan Doa Kepada Pak Dokter

Hari itu hari Ahad, saya seperti biasa bertugas di bagian Emergency Surgery. Awal paginya, seakan menjanjikan prognosis yang baik hingga ke petang. Pesakit yang harus saya jaga hanya satu orang. Mengikut hasil history taking, dan pemeriksaan lanjut, menjurus kepada Acute Appendicitis. Dan direncanakan untuk operasi tengahari itu.

Sambil menyelesaikan tanggungjawab pada pesakit itu, saya bantu teman-teman yang lain juga. Ada yang memerlukan bantuan untuk menghantar pesakit untuk X-ray yang kebanyakkannya cedera akibat kemalangan, ada yang perlu dimasukkan ubat. Alah, itu rutin biasa kami sebagai dokter muda.

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan ditengah hari.

Emergency kami mendapat serangan maghrib. Jika banyak tentera didunia mengunakan taktik serangan fajar bagi melumpuhkan musuh, emergency kami mendapat deretan pesakit usai sahaja masuk maghrib. Jadi riuh rendah ruang itu.

"Masuk ubat ni." Biasanya bagi kes kemalangan, akan dimasukkan antibiotik dan penahan sakit

"Pasang splint (kayu lurus yang digunakan untuk ikat kaki yang patah)."

"Collar neck ambil yang kecil." Apabila kita curiga akan trauma pada kepala, dipasang untuk melindungi bagian cervical.

"Ini dihantar RO (x-ray)." Ini procedur biasa untuk geng patah-patah.

"Siapa mahu jahit luka. Ayuh."

Mujurlah, tugas hanya sampai jam 7 malam, dan diserahkan kepada shift berikutnya.

Kepenatan

Saya mendapat SMS malam ini, rutin seperti biasa akan diadakan solat berjemaah bersama teman-teman lain. Saat itu, kami dapat solat bersama, mendengar sedikit tazkirah, makan dan berbual bersama. Untuk 6 hari sebelumnya, sukar untuk bertemu kerana masing-masing sibuk dengan tugas masing-masing. Saya sendiri saja, keluar gelap, pulangnya gelap. Sesampai ke rumah, sudahpun kepenatan. Apa lagi, tidurlah.

Teguran Dan Doa Orang Tua

Saya pulang ke rumah selepas on-call ketika waktu sudah pun masuk Isyak. Tergesa-gesa pulang, dengan harapan dapat menyempatkan diri untuk solat berjemaah dengan teman-teman. Sampai saja ke rumah, bergegas mengambil wuduk dan dengan baju on-call berlari anak ke rumah teman.

Dalam perjalanan, berselisih dengan seorang pakcik tua membawa beg plastik. Berisi kitab pengajian barangkali. Saya tidak menangapi kerana mahu mengejar solat. Beberapa langkah melepasi beliau, telinga saya menangkap suara panggilan dari belakang.

"Pak dokter...pak dokter," rupanya pakcik tua itu memanggil.

Saya mematikan langkah, dan menoleh ke belakang.

"Laa...bapak. Kumaha damang (apa khabar dalam bahasa Sunda)?,"saya segera dapat menangkap siapa yang menegur ini. Dia ahli qariah masjid berhampiran rumah saya. Cuba bermesra dengan mengunakan bahasa Sunda yang mudah. Memberi nilai tambah bagi ikatan silaturahim. Cuba orang Sunda cakap Terengganu, pasti saya kagum. Ye dok? Itulah saya cuba lakukan.

"Alhamdulillah damang (baik). Pak dokter, udah beberapa hari enggak solat Subuh ke masjid. Lagi sibuk ya sekarang? Lagi dibagian mana doc?," tanya pakcik itu.

Zuppp!

Pertanyaan itu ibarat pisau menikam langsung tembus ke jantung. Amat ampuh membuatkan saya tersedar untuk bermuhasabah. Saya pasti, pertanyaan itu tidak ditanyakan kepada pemuda kampung ini yang bertatoo, ralit menghisap rokok, tidak ambil peduli azan solat. Tapi itulah pertanyaan diberikan kepada saya. Memang, masjid disini, tolak golongan RTM (rehat tunggu mati), golongan muda majoriti dari pelajar Malaysia yang rutin solat berjamaah disana. Jadi pertanyaan itu, ibarat teguran sayang dari Allah melalui dia kepada saya.

"Erm..lagi di bedah pak. Seminggu ini, agak padat dikit. Keluarnya gelap, pulangnya gelap," itulah realiti rutin kehidupan saya sekarang. Sambil hati mengatakan, ia masih sebatas ALASAN. Alasan yang sememangnya alasan. Tapi hati menolaknya, kerana tahu untuk seorang hamba, untuk tunduk menyembah wajib tanpa alasan!

"Owh, ini lagi mau kemana pak dokter?."

"Lagi ada solat jemaah ama teman-teman lain."

"Ok, selamat ya pak dokter. Semoga pak dokter sukses dunia akhirat."

Doa terakhir beliau ini amat mengujakan hati. Ya, malam itu saya penat pulang dari on-call. Tapi mendengar doa sebegitu, dari insan yang entah siapa sebelum ini, ibarat mendapat seteguk air dipadang pasir yang gersang. Amat mendamaikan hati, hilang segala penat yang ada.

Dakar Rally (Gambar Hiasan)

Tiada siapa tahu, mungkin saja doa pakcik ahli masjid ini didengar Allah. Jadi tiada lain yang mampu saya buat melainkan.

"Amin Ya Rabb!." Makbulkanlah doa beliau....

Berdoalah kepadaKu, niscaya akan Aku perkenankan bagimu (Surah Ghofir: 60)

Hari itu, muhasabah diri peringat tertinggi...Ya Allah, saksikanlah.

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.