Perbincangan mengenai inai rambut telah lama dikupas oleh para sarjana Islam dalam tulisan mereka. Bahkan perkara ini didapati berlaku pada zaman baginda Rasulullah S.A.W. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
Dibawa datang Abu Quhafah (ayah Saidina Abi Bakar As-Siddiq) kepada Rasulullah pada hari pembukaan kota Mekah dalam keadaan rambut dan janggut yang keputihan dengan uban. Lalu baginda Rasulullah bersabda kepada para sahabat: ubahlah uban tersebut dengan sesuatu (inai) dan jauhilah daripada warna hitam. (Sahih Muslim: 5476)
Imam Bukhari juga meriwayatkan dalam sahihnya pada bab Al-Khidhab (Inai) daripada Abi Hurairah R.A, baginda Rasulullah S.A.W bersabda:
Sesungguhnya kaum Yahudi dan Nasrani tidak menginai rambut mereka, maka hendaklah kamu menyalahi mereka. (Sahih Bukhari: 5899)
Sejarah juga menunjukkan bahawa Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khatab dan sahabat-sahabat yang lain pernah menginaikan rambut. Bagaimana pun ada juga sebahagian sahabat tidak menginaikan uban mereka seperti Saidina Ali bin Abi Thalib, Ubai bin Kaab, Anas bin Malik dan lain-lain.
Jadi, jelaslah bahawa menginai rambut dan janggut pernah dilakukan oleh Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda. Cuma yang patut kita soalkan, apakah sebab mereka menggunakan inai?
Daripada penelitian terhadap hadis dan kisah yang menceritakan perihal inai, kita dapati penggunaan inai bertujuan:
1.Menutup keputihan uban yang memburukkan pandangan serta tidak kemas. Ini jelas daripada hadis yang menceritakan Abi Quhafah (ayah Saidina Abi Bakar), digambarkan oleh perawi hadis ubannya umpana Thaghamah (الثغامة) sejenis pokok yang putih bunga dan buahnya, menunjukkan kepada rupa yang tidak kemas.
2.Menyalahi perlakuan dan keadaan orang Yahudi dan Nasrani yang tidak menginaikan uban mereka.
3.Sebagai sejenis perubatan. Imam Tirmizi meriwayatkan daripada Ummi Rafi’:
Tidaklah mengenai Rasulullah luka atau kecederaan, melainkan baginda menyuruhku meletakkan inai di atasnya. (Al-Jami’ At-Tirmizi: 2054)
4.Sebagai perhiasan untuk wanita kepada suaminya.
5.Menggerunkan orang kafir dalam peperangan melawan mereka.
Adapun penggunaan inai yang popular di kalangan muda mudi sekarang, tidak lain hanyalah sebagai satu trend fesyen dan adaptasi budaya barat. Tidak ada nilai Islamik serta tujuan syarie seperti yang dilakukan oleh sahabat-sahabat Rasulullah dan para salafussoleh.
Masyarakat perlu faham bahawa dalam kaedah fiqh, budaya dan adat perlu diambil kira dalam penentuan hukum “العادة محكمة” (Adat itu diambil kira dalam menetapkan hukum). Begitu juga “Hukum berubah mengikut perubahan tempat dan masa”. Oleh itu jika penggunaan inai pada rambut dgn tujuan bergaya dan mengikut fesyen barat amat tidak sesuai dengan ruh Islam. Bahkan jika bertujuan untuk mengabur penglihatan orang yang melihatnya, menyebabkan orang menyangkanya muda dan cantik, hukumnya adalah haram. Ini boleh berlaku terutamanya bagi tujuan bertunang dan kahwin dengan mengaburi mata pasangannya. Begitu juga haram bagi wanita dengan tujuan berhias dan bercantik-cantik di depan bukan mahramnya.
Dalam masalah ini Imam Ibn Hajr Al-Asqalani berkata dlm mensyarahkan hadis Bukhari:
))فَمَنْ كَانَ فِي مِثْل حَال أَبِي قُحَافَة اُسْتُحِبَّ لَهُ الْخِضَاب لِأَنَّهُ لَا يَحْصُل بِهِ الْغُرُور لِأَحَدٍ ، وَمَنْ كَانَ بِخِلَافِهِ فَلَا يُسْتَحَبّ فِي حَقّه ، وَلَكِنَّ الْخِضَاب مُطْلَقًا أَوْلَى لِأَنَّهُ فِيهِ اِمْتِثَال الْأَمْر فِي مُخَالَفَة أَهْل الْكِتَاب ، وَفِيهِ صِيَانَة الشَّعْر عَنْ تَعَلُّق الْغُبَار وَغَيْره بِهِ ، إِلَّا إِنْ كَانَ مِنْ عَادَة أَهْل الْبَلَد تَرْك الصَّبْغ وَأَنَّ الَّذِي يَنْفَرِد بِدُونِهِمْ بِذَلِكَ يَصِير فِي مَقَام الشُّهْرَة فَالتَّرْك فِي حَقّه أَوْلَى((
= Sesiapa yang keadaannya seperti Abi Quhafah, digalakkan menginaikannya kerana ia tidak dapat menipu (mengaburi) sesiapa. Dan sesiapa yang keadaan tidak sedemikian, tidak digalakkan baginya inai. Tetapi menginai secara umumnya adalah lebih baik kerana mengikut arahan Rasulullah pada menyalahi ahli kitab. Ia juga menjaga rambut daripada berhimpun debu dan lainnya pada rambut. Kecuali jika adat sesuatu tempat itu ialah tidak menginaikan rambut, dan orang yang menginai rambutnya menjadi masyhur dan terkenal, ketika itu tidak menginai adalah lebih baik.
(Fathul Bari: 10/501, cetakan pertama Dar Misr 2001)
Begitu juga makhruh jika berinai itu dengan tujuan mengaburi mata orang ramai walaupun dengan tujuan baik seperti meniru ulamak dan orang soleh:
))نَعَمْ إنْ فَعَلَهُ تَشَبُّهًا بِالصَّالِحِينَ وَالْعُلَمَاءِ وَمُتَّبِعِي السُّنَّةِ مِنْ غَيْرِ نِيَّةٍ صَحِيحَةٍ كُرِهَ قَالَهُ فِي الْمَجْمُوعِ((
= Jika melakukannya (inai) dengan tujuan menyerupai dengan orang soleh dan ulamak dan pengikut sunnah tanpa niat yang betul, maka hukumnya makhruh, seperti yang dikatakan (Imam Nawawi) dalam kitab Majmu’. (Asna Matholib: 3/368, cetakan pertama Dar Kutub Ilmiah 2001)
Imam Ghazali juga mengatakan: Memutihkan rambut dengan seumpama beleran dengan tujuan memperlihatkan ketuaan, rupa ulamak (syeikh) dan orang soleh supaya dihormati adalah makhruh hukumnya. (Lihat Ihya’ Ulumuddin: 1/211, cetakan pertama Maktabah Iman, Mesir 1996)
Hukum menginai tangan dan kaki:
Dibenarkan bagi wanita yang telah berkahwin menginaikan tangan dan kaki dengan tujuan berhias untuk suami, bukannya untuk dipamerkan kepada orang yang bukan mahram. Manakala wanita yang belum berkahwin tidak dibenarkan kerana boleh mendatangkan fitnah kepada dirinya dan masyarakat. Lelaki pula diharamkan menginaikan tangan dan kaki kecuali bagi tujuan perubatan, kerana perbuatan tersebut menyerupai wanita dan tidak sesuai dengan fitrah lelaki. (Lihat Majmu’: 1/362 cetakan Dar Fikr, Beirut 2005)
Di samping itu, perlu diingat bahawa penggunaan inai yang dibenarkan adalah daripada bahan yang suci dan tidak meninggalkan jirim yang menutup rambut atau kulit sehingga menghalang air. Bahan yang dibenarkan adalah seperti daun inai dan lain-lain yang hanya meninggalkan kesan sahaja.
Kesimpulan:
1.Menginai rambut dan janggut yang beruban dengan warna merah atau kuning adalah sunnah dengan niat menyalahi Yahudi dan Nasrani.
2.Haram menginaikan rambut dengan warna hitam pada pendapat yang kuat di sisi Mazhab Syafie kerana hadis yang terdahulu kecuali untuk berjihad fi sabilillah. Ia dapat menggerunkan musuh apabila melihat orang Islam umpama pemuda-pemuda yang gagah melihatkan kepada rambut mereka yang hitam.
3.Menginai rambut dengan tujuan yang tidak syarie seperti meniru artis, mencari glamor, menipu pandangan orang ramai dan mengikut budaya barat yang menyalahi etika adat dan agama adalah ditegah oleh Islam. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Umar:
((مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ)) = Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, dia adalah daripada mereka (Abu Daud: 4026)
4.Harus bagi wanita yang berkahwin menginaikan tangan dan kaki untuk suami. Perkara tersebut diharamkan bagi wanita yang belum berkahwin dan lelaki kecuali untuk tujuan perubatan.
5.Bahan yang digunakan untuk menginai hendaklah daripada bahan yang bersih dan tidak meninggalkan jirim pada rambut atau kulit agar tidak menghalang air bagi tujuan berwuduk dan mandi.
Peringatan: Bagi sesiapa yang ingin menginaikan rambut, mereka perlu tanya hati dan iman pada diri: Adakah perbuatanku ikhlas dan sesuai dengan tuntutan agama? Atau hanya mencari populariti dan mengikut arus fesyen terkini? Jika ingin berinai, biarlah mengikut aturan syariat. Kita tidak patut mengenepikan pandangan adat budaya masyarakat kita. Janganlah menggunakan hukum agama dan pandangan ulamak sebagai lesen untuk mengikut kehendak hawa nafsu dan keinginan diri. Ketahuilah bahawa Allah taala mengetahui apa yang ada di dalam hati hambanya. Wallahu a’lam…
Mahadi bin Mohammad
Syariah, Universiti Mu'tah, Jordan
____________________________________________________________
Komen Amad: Kadang-kadang kita sering mengutamakan pandangan orang melebihi pandangan dan tuntutan Allah… Selama ini kita lihat orang yang berhidung mancung dengan rambut berwarna perang,sekarang kita dapat lihat hidung sikit nak sama dengan cawan dengan bangga mewarnakan rambut.Senario bukan sahaja dapat dilihat pada kaum wanita tetapi juga lelaki… Lelaki boleh mewarnakan rambut dengan syarat bila panggilan JIHAD berkumandang kalian kedepan ya.. Syukran Akh Mahadi..
.:Amad ingatkan just in case kalian terlupa:.
7 comments:
jadi jangan marah adik nta ye? dia muda lagi dan tak sepatutnya beruban dengan banyak jadi diperbolehkan die untuk berinai rambut dengan bukan warna hitam. kerana untuk menutup uban die sememangnya die tak boleh dengan warna hitam, kerana hitam akan menghilangkan 'rasa semakin tua'....
hitam hanya untuk perang, kita kene takutkan musuh dengan 'rambut orang-orang muda'. hehe....
cuma, masalahnya sekarang menginai rambut dikalangan orang melayu terlalu asing. dan kalau ade pon, trend mat2/minah2 lepak. jadi, kesimpulannya, nak berinai rambut janganlah obvious sgt warna nye (terang benderang warna yang 'asing')...amik warna up sket dr hitam, asal bukan hitam sudeyyyyhhhh~~ hehe.=p
Radzi-Tiada kaitan dgn mana-mana individu mahu pun adik sape2...serius. Warna hitam,warna org muda pe..apa-apa pun berbalik pada niat.Berinai,utk menunjuk haram di sisi agama...niat dan niat..erm
Huduh weh rambut kaler2...lagi2 kaler pink mcm langsir sorang tu..huduh...huduh...
Mohsein- Langsir tiada kaitan dengan article...dah tuan rumah nak kasi,amik le..kalu br pilihan nak amik itam,angker skit.Ala-ala black metal gitu...haha.
perempuan yang belum berkahwin haram eh ?
ermm..
Saljihitam- Kalau muda-muda dah beruban, silakanlah. =)
erk. ehehe. maksud saye berinai bagi yang belum berkahwin.. heheh
Post a Comment