Friday 19 August 2011

Ramadan: Keimanan Bersyarat



"Luar biasa tanda Allah berikan...ini sebagai peringatan buat kita manusia bahawa Allah sedang melihat kita!," kata seorang insan 'tersedar' selepas melihat objek yang menyerupai mata dibentuk awan didada langit.

"Masyallah...Ini kekuasaannya. Tak pernah lagi budak kecil lahir dengan kalimah Allah di telinga," terpegun melihat gambar bayi.

Jika sebahagian dari kita terlopong melihat kemunculan imej yang disebut lafz al-jalalah "Allah" dibeberapa tempat dan kejadian. Saya pula melopong aneh melihat orang terlopong melihat imej itu. Kenapa begitu?

Di langit, pokok, batu, bunyi bawah tanah, lembu kambing, sarang lebah...saya tidak faham mengapa kesedaran mahu dihadirkan semata-mata itu.




Apakah ini semua keajaiban?

Kata alim ulama berkenaan hal ini, lafz al-jalalah mungkin keajaiban petanda dari Allah tetapi mungkin ia sebatas sangkaan semata-mata.

Namun yang pasti, trend ramai dari masyarakat kita, dengan muncul imej sebegitu barulah sedar hakikat adanya Allah s.w.t. Baru terbuka mata melihat Allah. Akal baru mahu berfikir kekuasaan-Nya. Harus ada hari tertentu, tanda tertentu, kejadian tertentu barulah mahu kenal Allah. Kita meletakkan syarat untuk beriman. "Berikan tanda, baru aku beriman!." Yang mungkin tanda itu benar atau hanya sangkaan semata-mata.

Sedangkan setiap hari kita bernaung pada langit yang sama, pohon melambai-lambai, denyut jantung diri berdenyut seperti biasa. Kesemua yang biasa itu kita gagal menangkap signal ketuhanan dengan mengambil sikap menunggu kejadian yang luar biasa. Barulah mahu bergerak untuk mempercayainya.

"Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: "Hai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, karena itu kamu disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya ". (Al-Baqarah: 55)

Berikan kami tanda, baru kami mahu beriman. Itulah sikap Bani Israel bila diseru untuk tunduk kepada Allah s.w.t oleh Nabi Musa a.s. Dan itulah juga sikap sebagian dari kita bukan! Penyakit sikap yang sama diimani oleh kaum Bani Israel.

Iman akan datang selepas diberikan terlebih dahulu tanda. Tanda yang mampu dikesan oleh deria mata, rasa, telinga. "Tiada tanda itu, maaf tiadalah iman untuk-Mu." Tanda kehadiran dan kekuasaan Allah yang diberikan luar dari deria manusia, kita tidak mampu menghadirkan keimanan.

Hatta meletakkan syarat, hanya mahu percaya selepas melihat itulah petanda betapa rendahnya iman kita. Kita lupa melihat kejadian diri ini yang biasa, yang secara hakikat adalah kejadian yang luarbiasa.


Kisah Ruben mencari fitrah diri

Tanda paling dekat itu ada pada batang tubuh kita sendiri.

Rumah yang besar, mampu dimasukkan dengan mengunakan kedua bola mata yang kecil. Pengaliran darah yang diatur secara tepat oleh jantung tanpa perlu ditekan suis ON OFF. Lubang hidung yang mengadap kebawah itu sendiri tanda kekuasaan. Bagaimana jika mengadap ke atas? Hujan datang...

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal; (Ali-Imran: 190)

Apabila semua itu kita gagal menangkap signal Allah...persoalkan kembali urusan IMAN diri!

Saturday 6 August 2011

Cerpen Ramadan: Sahur Sang Bidadari


"Assalamualaikumwarahmatullah....Assalamualaikumwarahmatullah,"perlahan suara bergetar keluar dari bibir. Menyudahkan munajat seorang hamba, tekun bersimpuh diatas sejadah. Sesekali, tangan hinggap ke bahu untuk memicit penat. Kesannya tugas di hospital tetap dibawa pulang ke rumah. Tanggungjawab dan rutin kehidupan Dr Ahmad. Tidak dapat dipisah tidak.

Remang-remang cahaya kamar antara nampak dan tidak. Sengaja dimatikan lampu utama kamar, dengan dibiarkan pintu kamar terbuka sedikit. Biar cahaya ruang tamu menerobos masuk ke dalam memberi sinar.

Digerakkan tangan untuk mencapat tasbih dipinggir, seakan mahu terus hanyut dalam munajat, mahu terus didakap rahmat Ilahi, dengan jiwa harapan moga-moga mendapat pengampunan dan margfirah Tertinggi.

Tok...tok...tok!

"Assalamuaikum," lembut benar suara yang memberikan salam.

"Waalaikumusalam," jawap Dr Ahmad perlahan.

"Afwan abang ganggu. Abang dah selesai solat ke? Kalau sudah, jom sahur. Kali ni kan, nur masak spesial buat abang tau," kata Nur. Nur adalah isteri Dr Amad. Dibangunkan Dr Ahmad untuk bangun solat malam, dan beliau ke dapur untuk menyiapkan juadah sahur buat sang penakluk hatinya itu.

Gambar Hiasan

"Owh, sayang...takpa. Abang dah habis solat pun. Ngomong-ngomong, semalam katanya sudah masak spesial, semalam semalam pun dah spesial, semalam semalam semalam pun dah spesial. Sokmo masak spesial, habis la abang nanti," Dr Ahmad bercanda. Gurauannya bercampur antara bahasa Indonesia dan Terengganu. Indonesia kerana beliau adalah lulusan perubatan dari sana, dan Terengganu asli asalnya.

Si bidadari itu tersenyum, manis sekali.

Tasbih diletakkan dipinggir, dan sejadah dilipat kemas. Belum sempat beliau bangun, sang bidadari merapat, dan dirangkul tangan suaminya. Dituntut keluar untuk sahur bersama.

"Nur, semalam nur perasan tak? Bulan tu hilang separuh cantiknya,"tanya si suami.

"Ye ke abang? Tak tahu pulak nur. Pergi mana separuh lagi tu?,"si isteri bertanya kembali. Tulus benar soalannya.

7 Ramadhan, kecantikan separuh purnama

"Separuh lagi kecantikkan bulan tu ada pada awak," Dr Ahmad menyudahkan teka-teki. Dipujinya bidadari hati itu.

"Abang ni...!," sambil mencubit lembut lengan suaminya. Pipi memerah tanda malu.

Dr Ahmad duduk di kerusi, dalam pada itu Nur ralit memasukkan nasi, lauk pauk kedalam pinggan suaminya terlebih dahulu. Selesai urusan suaminya, baru diisi pinggan empunya diri. Nur betul-betul mahu memaknai erti hidup pada memberi.

"Ehem...amboi abang, tersenyum panjang je. Duk fikir apa tu?,"Dr Ahmad ditegur Nur bila melihat suaminya mengelamun dan tersenyum sendiri.

"Hehe...takdalah sayang, abang cuma teringat kisah abang sahur dulu. Zaman bujang-bujang. Dulu Nur tak datang pinang abang lagi, jadi abang sahur sesorang je."

"Ish, ada pulak Nur yang pinang dia,"jawap Nur.

"Dulukan Nur, abang pernah buat status pasal bidadari dan sahur. Abang kata beza orang bujang sahur dengan orang yang sudah berkeluarga sahur, hanya sahurnya orang lelaki yang sudah berkahwin tu dibuat oleh bidadari. Dan bagi yang bujang tak dapat bidadari, pastikan dapat bidadari-bidadari di akhirat nanti," cerita Dr Ahmad tentang kisah dulu-dulu.

"Hurm...sedaplah tu nanti dapat banyak bidadari,"mendatar saja suara Nur. Merajuk. Comel.

Gambar Hiasan

"Sedap? itukan sudah janjinya Allah. Tapi untuk Nur, Nur jadi ketua bidadari abang nanti," Dr Ahmad masih mahu memancing perbualan.

"Ye la, memang jadi ketua. Tapi kena kongsi juga...,"kata Nur. Cemburu. Sememangnya fitrah insan begitu.

"Sayang, itulah hebatnya syurga di akhirat nanti dibandingkan dengan dunia. Kenikmatan dan keindahahnya syurga nilainya infiniti, sehingga kita tidak mampu untuk cemburu atau bersedih. Semuanya keindahan dan kegembiraan. Jadi sebelum hingga ke situ, jom kita bina syurga didunia agar syurga di Sana menjadi milik kita berdua. Nak tak sayang?," tanya Dr Ahmad.

"Nak...terima kasih abang."

"Itu yang akhirat, kenikmatan di dunia ini pun sudah cukup banyak. Abang dapat jadi suami Nur pun, ibarat mendapat bidadari sebelum bidadari. Dah la solehah, comel pula tu...suka..suka,"Dr Ahmad menyebut 'suka' dengan nada kanak-kanak. Memang romantik.

"Hidup Nur ni kan abang, hanya mengharap redha Abang je. Sebab Nur tahu, redha Allah itu terletak redhanya suami pada Nur. Jadi Nur minta maaf kalau buat Abang terasa ke apa,"lirih Nur.

"Mulai abang lafazkan 'aku terima nikahnya', sejak itu abang redha segalanya buat Nur."

Sambil itu, tangan cuba mencapai gelas dipinggir pinggan. Mahu minum seteguk dua.

"Hurmm...kenapa tak berapa manis air ni?," tanya Dr Ahmad.

"Apa? betul ke abang," kelam kabut si Isteri mengisi gelas. Dengan Bismillah, beliau meneguk air itu.

"Biasa je abang. Tadi Nur letak gula sama dengan sukatan yang dulu-dulu,"terang Nur.

"Betul, air ni kurang manis. Sebab manisnya ada kat si pembuat air. Gotcha once more! Hehehe,"Dr Ahmad menyakat. Masih terus bercanda, menambah rencah kasih dan sayang.

Bidadari menarik muka, dan perlahan-lahan pipinya merah. Malu...

Dr Ahmad mengambil gelas yang diminum Nur, dihabiskan air yang berbaki dengan minum pada tempat isterinya minum. Sunnah Nabi.

Sreeet!

"Eh Nuha, kenapa sayang? Meh sini kat Abah meh."

Nuha Sakinah anak pertama Dr Ahmad dan Nur. Anak kecil itu muncul di muka pintu sambil menjinjit teddy bear kesayangannya. Si genit itu datang ke arah Abahnya, dan 'muaah' Dr Ahmad mencium ubun-ubun anak kesayangannya itu. Tapi anaknya masih masam mencuka.

Gambar Hiasan

"Kenapa ni sayang? Cerita kat umi meh," pujuk Nur kepada anaknya itu.

"Abah umi bangun sahur tak kejutkan Nuha pun. Nuha pun nak sahur, nak puasa juga," jelas si genit itu. Punca rajuk hati.

"Maafkan Abah dan Umi ye sayang. Bab puasa tu, sebelum tu Abah nak tanya. Solat Nuha lengkap tak?."


Wardina mendidik anak berpuasa

"Nuha solat penuh Abah. Lagipun Abah Umi pernah kata orang tak solat ni, orang pertama Allah azab nanti. Nuha nak jadi anak solehah, jadi Nuha solat," petah benar anak kecil ini berkata-kata.

"Ok, kerana Nuha solat dengan sempurna, hadiahnya Abah dan Umi benarkan Nuha sahur dan puasa. Tapi dengan satu syarat, kalau Nuha tak larat sangat, bagitahu Abah dan Umi ya. Boleh,"Dr Ahmad letakkan 'peraturan mainnya'.

"Boleh abah! Sayang Abah...sayang umi," gembira nada Nuha.

"Allahumma baarik llanaa fiima razaqtanaa waqinaa adzaa ban-naar"
Maksudnya: Ya Allah, berkatilah rezeki yang engkau berikan kepada kami, dan peliharalah kami dari siksa api neraka

"Syukur pada-Mu Ya Allah, mendatangkan aku syurga sebelum syurga,"bisik hati kecil Dr Ahmad.

Nota 1: Cerpen ini punyai aturan mudah. Tiada kaitan yang hidup atau yang menulis. Tapi azamnya mahu keluarga begitu. Doakan!

Nota 2: Bagaimana cerpen ni? nak diteruskan ke?

Monday 1 August 2011

Nota Ringkas Ramadan: Berniat Tanpa Sedar


Derih: Aiseh, tadi tak sempat niat puasa la, macamana la puasa aku ni?

Sobri: Dah tu tadi pagi sahur ke tak?

Derih: Dah sahur tadi, dengan keluarga. Tapi itulah masalahnya tak sempat niat.

Sobri: Sahur tadi pagi tu untuk apa?

Derih: Engko ni, mestilah sahur untuk puasa. Isi perut buat bekal seharian.

Sobri: Tu tahu sahur untuk puasa. Jadi apa yang masalahnya?

Derih: Ye la, tahulah sahur untuk puasa. Tapi aku tak buat yang sahaja-sahaja tu. Aku lupa. Sah ke tidak puasa ni ek?

Sobri: Ini ramai tak dapat nak bezakan. Antara lafaz niat dan niat. Apa yang dikatakan lafaz niat, yang sahaja-sahaja tu, yang terkeluar dari bibir. Adapun niat, apa yang terlintas dihati. Jadi sebenarnya isu sah atau tidak puasa tidak timbullah. Dah sahur, mestilah niat untuk bekal perut buat puasa.

Derih: Terus, tak payahlah ek lafaz niat macam Ustaz-ustaz kita ajar kat sekolah.

Sobri: Bukan tak payah, bagusnya buatlah. Sebab apa yang dilafazkan pada mulut, cepat terlintas dihati. Lagipun, entah kenapa bagian nusantara ni kuat bebenor was-wasnya. Jadi lafaz niat diajar oleh tok-tok guru bagi memudahkan geng was-was ni. 'Berhalus' tok-tok guru kita kat kampung bab ni. Tapi, tidaklah seharusnya, wajibnya begitu, tidak boleh tidak. 'Tak sahaja-sahaja, tak sah'. Itu salah.

Derih: Alhamdulillah, kira sah la ni kan.

Sobri: Sah...InsyAllah. Bukankah Allah itu Maha Mengerti segala sesuatu.

Nota 1: InsyAllah, untuk Ramadan kali ini. Saya akan cuba menambah bilangan update blog dengan catatan ringkas berkisar Ramadan.

Nota 2: Article berkaitan ramadan. 'Ramadan: Berani Hidup vs Berani Mati'

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.