Saturday 30 July 2011

Ramadan: Berani Hidup vs Berani Mati

Pesakit yang datang, diambilnya riwayat kesihatan (history taking) dan juga dilakukan pemeriksaan kesihatan yang berkenaan. Itu rutinnya bila bertugas di hospital mahupun di klinik, namun untuk kali ini tugas saya berbeza sedikit, kerana sekarang bertugas di department family medicine atau popular disini dipanggil kedokteran keluarga.

Bukan saja ubat dan rawatan diberikan, saya akan mengikuti pesakit pulang ke rumah untuk melihat dan menilai faktor penyebab terjadinya penyakit itu. Aspek individu, keluarga dan persekitaran diambil kira secara holistik. Selepas faktor risiko diketahui, sebagai doktor keluarga, saya akan memberikan beberapa cadangan bagi memperbaiki, mengurang dan menghilangkan faktor risiko itu. Itulah family medicine!

Berani Hidup vs Berani Mati

Saya mendatangi rumah seorang pakcik tua yang menjadi pesakit saya. Beliau menderita penyakit darah tinggi dan kencing manis. Selepas melihat dan menilai faktor risiko yang boleh memperberatkan penyakitnya, saya memberikan cadangan untuk memperbaiki cara hidup yang meliputi diet dan bersukan. Sudah semestinya disesuaikan dengan penyakit dan umurnya.

"Bapak, sekarang ni tekanan darahnya tinggi. Ubatnya dimakan secara rutin?," saya bertanya selepas dilakukan pemeriksaan kesihatan, didapati tekanan darah masih tinggi.

"Ubatnya rutin doc," jawap pakcik itu ringkas.

Saya masih mempertimbangkan beberapa faktor lain yang boleh menyebabkan darah masih tinggi walaupun dimakan ubatnya secara rutin sesuai yang dianjurkan doktor.

"Emang, makan ubatnya rutin. Tapi makan yang 'bukan ubat' rutin juga doc. Ya ampun," celah isterinya didapur. Kelakar juga mendengarnya. Membebel. Beliau datang dari dapur dan duduk disebelah.

Saya bertugas di Posbindu di desa. Di Posbindu, kesehatan golongan lanjut usia diperiksa dan diberi rawatan.

"Bapak, jika sudah keadaannya begini. Makannya harus dijaga. Yang manis, yang masin itu seharusnya dikurangkan. Ambil gula yang khusus buat pesakit DM, terus merokok itu dikurangkan. Jika bisa, hentikan,"saya memberi penerangan dengan harapan penerangan ini tidak termasuk dalam kategori bebelan.

"Itu masalahnya. Ubat dimakan, makannya enggak dijaga. Sudah puas saya nasihatkan, masak dirumah juga yang bagus-bagus untuk kesihatannya. Tapi dia tidak makan. Suka yang manis, masin. Enak katanya," isteri menceritakan perihal diet suaminya.

Suami disebelah, senyum sumbing. Menidakkan itu bohong, mengiyakan itu mengaibkan.

Beliau memilih berani untuk sakit dan berani untu mati. Berani mati! Justifikasinya, kita serah kepada Allah. Untuk kita, adalah zikir dan fikir.

Transformasi Diri di Madrasah Ramadan

Entah kenapa, untuk seruan dan perintah Allah yang lain seperti solat, menutup aurat, menjaga akhlak, ada sesetenga dari kita sering berdalih 'tidak sampai seru' 'segan dengan kawan' 'apa orang kata nanti' 'sibuk dengan kerja'. Senang cerita, banyak alasan sebanyak songehnya.

Namun, tidak untuk berpuasa di bulan Ramadan. Walaupun sama wajibnya seperti tuntutan lain, songehnya tiada untuk puasa. Justeru tidak pelik kita dapat jumpa, puasa tapi tidak solat, puasa tapi tidak tutup aurat, puasa tidak menjaga pergaulan.

Gambar Hiasan

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas dirimu, sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelum kamu, mudah-mudahan dengan puasa itu kamu bertaqwa” (Al-Baqarah, ayat 183)

Bulan yang dinanti dan disyukuri, hadir dengan jutaan rahmat yang tidak bertepi, kebaikan tidak termimpi, kemulian tanpa henti, memacu insan mengubah diri mendapatkan taqwa tertinggi. Itulah Ramadan yang datangnya menjadikan perasaan ini bercampur baur.

Satu pasaraya yang besar telah menawarkan potongan harga yang cukup luar biasa, tidak lagi 10% namun sekarang 50% bagi setiap barangannya. Ini sudah pasti mendatangkan adrinaline rush kepada semua. Untung bagi pembeli, untung juga buat penjual semestinya.

Allah datang dengan tawaran lebih dari itu, dengan tanpa mengambil untung sedikit pun. Kerana keuntungan itu tidak diperlukan bagi Sang Khaliq ini. Dia pemilik sekalian Alam. Kita tunduk menyembah, Dia bertambah sayang. Kita ingkar, Dia tidak terjejas apa-apa. Sedikit pun tidak.

Wahai sekalian manusia. Telah datang kepada kamu Ramadhan. Bulan yang penuh keberkatan. Bulan yang difardhukan ke atas kamu oleh Allah ‘Azza wa Jalla puasanya. Di bulan itu pintu Syurga dibuka, pintu neraka Jahim ditutup dan para Syaitan dirantai. Padanya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang terlepas peluang meraih rahmat ini, maka sesungguhnya dia itu hakikatnya diharamkan dari rahmat Allah. [Hadith riwayat al-Nasaai]

Bukan sahaja dijanjikan akan dilipat gandakan bagi setiap amal kebaikan, keberkatan datang tidak berkunjung surut. Tidak sekadar itu, dirantainya Syaitan yang selama ini berpotensi menyesatkan diri, dibuka pintu Syurga dan ditutup pintu Neraka. Ini bukan lagi tawaran durian runtuh, tidak tergambar dek akal. Cukup luar biasa, sesuai dengan sifat-Nya. Yang Maha Esa!

Dengan deretan tawaran, itupun masih tidak mendatangkan minat kita untuk 'berbelanja sakan'. Itu tandanya iman yang bermasalah. Pahala dosa, syurga neraka bukan soal menarik minat petanda jiwa terputus dari rahmat Allah. Kedegilan dan kesombongan seorang hamba.

Hamba yang sombong, sebelum datang soalan BOLEHKAN? datangkan dulu soalan LAYAKKAH?!

Madrasah Ramadan

Seorang yang tidak makan kerana tiada makanan, itu tidak mendidik diri dengan nilai didikan. Seorang yang tidak minum kerana tiada minuman, itu tidak melatih diri dengan nilai latihan. Namun apabila makanan dan minuman terhidang didepan mata, yang pertimbangannya boleh atau tidak, kita memilih untuk tidak, disitulah wujud nilai TARBIYAH.

Eat, stop! Allah first
Drink, stop! Allah first

That's tarbiyah.

Saat dan ketika itu, kita mengubah dari menjadi hamba kepada nafsu diri dengan tunduk menyembah kepada Allah s.w.t dengan jiwa sebenar-benarnya hamba. Itulah TAQWA.

Ramadan bulan latihan menuju kemenangan, bukan bulan kemalasan menuju kebinasaan.

11 bulan sebelum ini, adalah cerminan 'keberhasilan' Ramadan kita untuk sebulan sebelum itu.


Suburkan Ramadan, perkemaskan ibadah, perbanyakkan amalan, buang sifat tercela menuju gerbang taqwa. Titik trasformasi dengan usaha berani hidup.

Marhaban Ya Ramadan...

Nota 1: Ulang tahun ke-4 untuk blog ini. Terima kasih atas dukungan dan sokongan.

Nota 2: Amad dan keluarga, mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan buat semua.

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

Sunday 24 July 2011

Reti Berbahasa Agar Kita Reti Bahasa

"Amad, sj nk tnya...skunk blaja kt Bndg ato dah keje?," soalan menerjah di Inbox.

"Nie mcmna nk reply? Boley Dr Amad respon sket. Sy x reti nk jwp soklan member itew," permintaan yang disampaikan.

Mungkin dulu saya lebih suka mengabaikan cacarmerbanya bahasa ditambah sakit mata dan hati bila membaca. Tersering saya mengambil pendekatan proaktif bernada positif memberi dengan memberikan jawapan terhadap soalan dan perbicaraan dengan mengunakan bahasa yang benar.

Dengan harapan, moga-moga dengan baca jawapan yang saya berikan, mereka mengubahsuai pengunaan bahasa. Setidaknya bila berkomunikasi dengan saya, apa jua mediumnya.

Jika dalam bahasa Melayu, gunalah bahasa Melayu yang benar.
Jika dalam bahasa Inggeris, gunalah bahasa Inggeris yang benar.
Jika dalam loghat Terengganu, gunalah loghat Terengganu yang benar.

Kunci keseluruhan penulisan kali ini adalah pengunaan bahasa yang benar.

Obses Dengan Bahasa

"Itu pun nak ambil pusing, jawap sajalah," kata teman.

Dia tahu, saya agar bertegas dan keras kepala dalam pengunaan bahasa. Namun saya yakin, prinsip bertegas dengan bahasa adalah tuntutan buat diri, permintaan buat teman bahkan ia kewajipan bagi seorang yang hidup berpaksikan agama. Hingga ke tahap itu.

"IMAN ini organisasi rasmi. Tapi serabut mata tengok bila penulisan, iklan, video dan slide ada mengunakan singkatan kata. Kita bukan duk taip SMS, gunakan bahasa yang betullah. Orang luar, organisasi luar kita boleh menerimalah, ini biro agama. Kita mahu jual 'agama' pada ramai. Jangan sampai kita tidak reti berbahasa, orang kata IMAN tak reti basa!," saya membebel dalam post-mortem program.

"Ape ke bende la tulis gining. Kecik besor, kecik besor. Serabut mata nengok ye. Tu dok tamboh tulisang campur aduk sekali. Tulis molek gop!," saya menegur adik secara terus. Siapa tak sayang adik, dan mengajar dia mengunakan bahasa yang benar adalah contoh hitam diatas kertas putih. Tanda sayang.

Sering juga saya lebih suka memilih untuk membetulkan soalan berbanding menjawap soalan yang ditanya.

"Dr Amad, ape hkm ckr bulu kning? Tlg expln plz. Thanx."

Jawapan saya terhadap hukum itu adalah:

Dr Amad, apa hukum mencukur bulu kening? Tolong jelaskan. Terima kasih.

Terasa? bagus itu tanda kita masih punya rasa.

Bahasa Al-Quran

Menulis dan mengeja dengan bahasa yang benar dan betul amatlah saya tekankan penulisan. Saya bukanlah pakar bahasa, apatah lagi tahu ketidakmampuan untuk berbahasa melayu tinggi dan bersastera. Dan tidak perlu untuk saya dan teman-teman ke tahap itu. Namun bukan menjadi sebab kita berbahasa rendah, cacamerba pada ejaan, hancur dalam penulisan.

Saya menulis lebih kurang 4 tahun, azam pertama ketika menulis article pertama di blog ialah saya mesti menulis dengan bahasa yang benar. Setidaknya, jika impian saya untuk menerbitkan buku pribadi, editor tidak menyumpah seranah.

Mendekati penulisan orang lain terutama di blog, entah kenapa fitrahnya saya lebih suka membaca blog yang tidak Islamic berbanding beberapa blog Islamic. Kalahnya mereka dari segi tempelan deretan nas dan dalil, namun mereka juara dari segi pengunaan bahasa yang benar. "Itu lebih mendekati Islam,"kata saya. Dalil dan nas yang dipetik dari Al-Quran dan hadis itu maha benar, namun kebenaran dalil itu dicemari oleh penulisan yang cacamerba dalam pengunaan bahasa.

Bukan cerita bahasa SMS (Gambar Hiasan)

Puan Ainon, Sifu PTS pernah membalas apabila ada penulis menghantar email dengan bahasa yang tunggang-langgang kepada beliau

"Gaya bahasa macam gaya bahasa saudara ini tidak digunakan dalam Al-Quran, mahu pun dalam sunnah Nabi Muhammad s.a.w. Semua ejaan dalam Al-Quran adalah ejaan sempurna, dan Nabi Muhammad s.a.w tidak bercakap mengunakan bahasa macam bahasa budak belum matang dan rendah taraf pendidikannya."

Trend Vlogger

Jika saya menyebut Mat Lutfi atau Anwar Hadi, pasti ramai yang kenal dan menyukai penampilan dan cara penyampaian 'ideologi' mereka menerusi rakaman video yang yang muat naik di Youtube. Saya tidak segan untuk mengakui saya antara peminatnya.


Anwar Hadi menyentuh trend ini di video beliau

Ramai memilih penyampaian yang 'lawak' sebagai sebab untuk menonton video itu, saya memilih untuk melihat kepada inti isu yang mereka sampaikan dan pengunaan loghat mereka gunakan. Mereka amatlah pekat dalam loghat utara dan itulah keistimewaannya disamping penguasaan bahasa Inggeris yang cukup luarbiasa.

Mengikuti Contoh

"I take off jam 910 morning. Hopefully dapat see you all tengahari nantilah. We lunch kat hotel," sekadar rangkuman bicara pemimpin dengan mahasiswa. Maklum saja, Bandung ini ramai pimpinan suka bertandang.

Pemimpin borek, rakyat rintik!

Saya tidak mengharap lebih.

Insan yang reti bahasa bermula dari reti berbahasa. Mahu reti berbahasa bukan cerita lalang yang boleh tumbuh tanpa dijaga dan dibaja. Ia kembali akhirnya kepada cerita sikap diri, cerita iman dan cerita taqwa. Sejauhmana kita berbahasa yang benar terhadap Sang Khaliq.

Bukan lalang (Gambar Hiasan)

Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga,
Yang molek itu budi,
Yang indah itu bahasa.

Bahasa jiwa bangsa, saya memaksudkannya!

Nota 1: Ini bukan bab penulisan singkat di SMS, itu kita tiada khilaf mengenainya.

.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.