Satu siaran demi siaran ditukar. Dari Animal Planet hingga ke Discovery Channel. Semua tidak kena dengan selera. Serba tidak kena, selagi hajat satu ini tidak disampaikan. Ketika itu di ruang tamu hanya tinggal berdua. Abah dan saya. Ini adalah saat yang paling tepat untuk menyampaikan hajat dihati. Abah seperti biasa, larut dalam bacaa bukunya. Mengisi masa lapang setelah seharian di pejabat.
"Abah, Ami nak cakap sikit boleh?."
"Aah...apa ye?." Sambil Abah meneruskan bacaan.
"Ami ingat nak buat majlis bertunang. Abah setuju tak?," saya nyatakan hasrat hati. Memang tak reti berbasa basi, apatah lagi mahu berpantun berpuisi.
"Nak bertunang ke?," soalan dijawap dengan soalan. Biasalah, Abah. Semua anak kenal dengan karekter beliau. Jika semua lancar dari kecil, masakan saya bergolek-golek macam kucing nak beranak.
Tidak mudah bagi saya menyatakan hasrat hati yang paling 'rahsia' kepada Abah. Selama ini hal-hal begini, jarang disentuh kami dan jarang pula Abah Ibu berbicara tentangnya.
"Ye Abah...Ami nak bertunang. Tapi Ami serah ke ibu abah buat keputusan. Ami hanya sampaikan hasrat je. Ibu abah terima, Ami ok. Ibu Abah tak terima pun Ami tak ada masalah," saya meneruskan kata. Pasrah sebenarnya.
Jika kita mencuba ia mempunyai dua keputusan, berjaya atau gagal. Namun kita tidak mencuba pasti gagal, berjaya tidak mungkin.
Jadi tidak rugi saya mencuba.
"Ami tinggal berapa tahun lagi nak habis? Sharifah berapa tahun lagi nak habis?," Abah bertanya. Belum berikan kata putus.
Abah sudah tahu siapa gerangan gadis itu. Bahkan jauh sebelum itu lagi, ketika Abah menghantar adik perempuan ke Mesir, gadis itu yang membawa Abah pusing bandar Kaherah. Secara tidak rasmi, kami telah pun bertunang. Kedua keluarga bersetuju, cuma belum diberikan 'tanda'. Ralit adat di masyarakat perlu diraikan juga.
'Tanda' boleh datang dalam bentuk, keluarga datang bertandang, berbicara ringkas antara dua keluarga, menyarungkan cincin dan menetapkan tarikh pernikahan.
Ketika Abah di Mesir, dari penilaiannya dia gembira. Gembira dengan sosok gadis yang menjadi pilihan saya.
Bagaimana dengan ibu? Sebelumnya lagi dia sudah pernah bersembang lewat telefon bertanya khabar. Membina keserasian, dan Alhamdulillah tiada masalah.
"Ami dalam 2 tahun lagi, kalau Sharifah dalam 2 1/2 tahun," jawap saya.
"Ok boleh...tapi dengan satu syarat. Nikah selepas habis belajar. Boleh terima syarat tu?,"tanya Abah.
"Ok, InsyAllah,"saya menyangupi syarat itu. Dan saya sendiri sudah ada backup plan untuk tackle soal 'nikah selepas belajar'.
"Bila nak bertunangnya?,"tanya Abah.
"Minggu depan boleh tak? Tapi Abah Ibu la yang hubungi walid dan umi dia,"saya mengusulkan tarikh.
"Ok, nanti abah tanya walid dia. Boleh ke tidak. Ami siapkan duit beli barang bertunang,"arah Abah.
Bertunang
"Ukhti, saiz cincin berapa? Nak belikan cincin tunang." Saya menghantar SMS kepada gadis itu untuk mengetahui berapa ukuran saiz cincinnya.
Ibu bersama dua orang menantunya |
Bila ibu tahu saiz cincin bakal menantu dia, spontan "Ooo...kecik ye jari. Tak jauh beza dengan Aisyah (Aisyah itu 'kakak ipar' saya yang sama umur dengan tunang bahkan mereka kawan baik)."
Kami bertolak ke Selangor hanya satu kereta saja. Bukan majlis pernikahan pun, cuma meraikan adat saja. Jadi tidak perlu bawa rombongan satu kontena.
"Makcik, saya perlu pergi ke rumah ke?," saya SMS umi kepada bakal tunang. Masih mengunakan kata ganti nama 'makcik' kerana segan amat untuk memanggil umi. Malu tebal walau muka brutal.
Juga di masyarakat, biasanya majlis pertunangan itu si lelaki akan menyorok dalam kereta, dengan menunggu hasil 'umpatan' diatas rumah. Biasanya...
"Aah...Ami mari la sekali masuk dalam majlis. Pakai baju warna peach, sama warna dengan Hidayah," 'makcik' beri SMS balas. "Wah, sungguh sporting bakal ibu mertuaku ini." Makcik sudah memanggil saya mengunakan nama 'manja', kerana memang saya dengan beliau amat rapat.
Majlis pertunangan. Ibu menyarung cincin kepada bakal menantunya. |
Majlis berjalan lancar dan cukup harmoni. Dan seperti yang dijanji oleh saya, pertunangan itu diikat selama 2 tahun. Namun sebelum itu, 'pakcik' ada mengatakan "Ikut saya, malam ini juga nak nikahkan mereka. Tapi sudah itu permintaan dari Tuan Haji (merujuk kepada Abah) kami tiada masalah untuk bersetuju."
Dua Tahun Bertunang
Secara kasarnya, hubungan kami dua tahun dalam fatrah bertunang ini tiada masalah. Ketiadaan masalah itu dibantu dengan jauhnya jarak antara kami berdua. Satu di benua Afrika, satu lagi di benua Asia. Ditambah pula, jarak masa memain peranan.
Di Bandung siang, di Kaherah malam.
Di Kaherah malam, di Bandung siang.
Sedikit sebanyak itu membuatka kami bersederhana dalam tempoh bertunangan dan menjaga 'iman' kami. Komunikasi tetap ada, dengan cara telefon, SMS, YM, Email. Tergantung keperluan dan tuntutan.
"Assalamuaikum, ukhti balik dari Mesir bila? Ana cuti dalam bulan 7 macam tu. Ada barang sikit nak bagi," saya SMS tunang.
"Waalaikumusalam, balik dari Mesir lebih kurang bulan 7. Dan ada juga barang nak bagi."
Selepas ditetapkan tarikh pertemuan dan tempat, kami bertemu. Biasanya di lapangan terbang kami bertemu, memandangkan saya nak turun dari Terengganu ke Selangor jauh. Sekali transit sekejap menuju Bandung, masa itu kami pergunakan. Biasanya pertemuan itu saling bertukar hadiah, 'itu' harus terus disuburkan.
Ini saya kongsikan bagi menjawap soalan "Dua tahun bertunang? Lama ya. Tidak syarie tau akhi!."
Tapi bagi saya bukan soal angka yang menjadi masalah, tapi kawalan diri. Bertunang seminggu, tapi asyik keluar berdua, duduk satu department syarikat bertatap mata, 'syeikh'nya lagi tinggi. Kerana itu saya tidak pernah mengukur hubungan hati dengan nilai digital.
"Sehari boleh sms berapa kali."
"Sebulan boleh bertemu berapa kali?."
"Berapa minit cakap telefon yang dibenarkan agama."
Jika ada keperluan, bercakap hingga berasap telinga adalah pahala. Jika tiada keperluan, sms sekali sehari dengan fasad pun nilainya dosa.
Saya tidak mengira cinta dengan digital, kerana bukan robot. Robot cinta.
Saya tidak keluar berdua, tidak diajak teman untuk sekadar cover semata keluar dating, tidak jalan berdua di taman umum atau mall. Semua itu hanya helah membuang rasa berdosa ketika melakukan dosa.
Dengan diangkut sama walid, umi dan 8 beradiknya. Disitu saya bertemu bekas tunang bersama, bertanya khabar dan berbagi hadiah. Tiada rasa segan malu, tiada rasa mahu buang rasa berdosa
Ada masa, saya perlukan satu jam untuk berbual.
Ada masa, saya perlukan satu sms bertanya khabar.
Ada masa, saya dan dia tidak berhubungan, tiada tuntutan.
Ini kembali kepada persoalan hati, dalam berhubungan sentiasalah ketuk hati meminta fatwa. Fatwa yang datang dari hati kecil berbeza dengan diadakan fatwa untuk menyedapkan hati.
"Kebaikan adalah akhlak yang baik sedangkan dosa adalah apa saja yang meragukan jiwamu dan kamu tidak suka memperlihatkan pada orang lain" (HR Muslim)
Menyimpan Rahsia Besar dengan Jaya
"Apaaaaaa Amad dengan Sha?," kata beberapa kakak senior dan adik junior saya di Bandung. Mereka bersahabat baik dengan Sharifah Nurul Hidayah dalam bentuk online atau offline. Mereka bersahabat dalam keadaan mereka tidak tahu beliau adalah tunang saya. Punya berjaya saya merahsiakan pertunangan.
"Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang pernikahan." (HR Ahmad)
Disamping ia adalah tuntutan agama, banyak hikmah saya dapat rasakan disepanjang merahsiakan pertunangan. Setidaknya bagi saya sendiri sebagai lelaki untuk memandu hubungan. Kita terkawal untuk berkelakuan seperti suami isteri kerana realitinya kita masih orang asing.
Hanyalah kerahsiaan itu saya buka kepada umum sebulan sebelum pernikahan. Kad sudah siap, khemas sudah ditempah, kelengkapan sudah diatur. Saya hebahkan.
Dua tahun bukan jeda masa yang singkat, namun penuh pengalaman dan pengertian. Banyak perlu kami zikir dan fikir.
Bersama zaujah tersayang |
Alhamdulillah, tunang saya dua tahun lalu telah bergelar bekas tunang. Semoga Allah terus suburkan kasih sayang antara kami. Semoga Allah kurniakan saya isteri dan zuriat-zuriat yang menjadi penyejuk hati hingga ke penghujung hayat.
Ameen!
.: Amad ingatkan andai kita terlupa :.