Hingga ke akhir percutian saya di Mesir, Allah terus berikan hikmah-hikmah-Nya. Perjalanan saya dari rumah zaujah ke airport Kaherah dibawa oleh seorang ustaz Ahmad yang berasal dari Pattani Darul Salam.
Pulang ke Malaysia |
Kenapa saya menyebut Pattani Darul Salam? Sambung baca coretan saya.
Ustaz Ahmad teruja bila saya mampu bercakap dalam loghat Kelantan. Komunikasi yang baik dari segi penguasaan bahasa sememangnya membuka pintu keramahan dan kebaikan orang lain terhadap kita. Saya bertanya beliau tentang kampung halaman dan perkembangan terbaru di Pattani. Sudah lama saya tidak kemaskini tentang Pattani, paling terakhir dengan sahabat-sahabat pondok saya dahulu. Sudah lama, selepas SPM.
“Doktor tahu asalnyo lagu Di Pondok Kecil?,” tanya Ustaz Ahmad.
“Kalu asal ambe dok tahu, tapi lagu tu jadi lagu faveret ambe lah time kecik-kecik dulu. Mugo besor dengan lagu Nada Murni,”jawap saya.
“Lagu ini usianyo sudoh 200 tahun lebih,” Ustaz Ahmad buka cerita.
Sekarang, nasib umat Islam di Pattani tidak kurang sama dengan nasib umat Islam di Rohingya, Mindanao. Mereka sama aqidah dengan kita, namun nasib mereka tidak terbela atau setidaknya menjadi mainstream dalam masyarakat Muslim kita. Tidak seperti isu Palestine.
“Pattani Darul Salam adalah sebuah negara (dahulu adalah negara Islam, sebelum dijajah oleh Siam dari Utara Thai) yang kaya. Bahkan 4 buah daerah Thailand sekarang iaitu Pattani hasilnya lebih banyak dari hasil ekonomi keseluruhan Thailand.”
“Pattani ni kayo. Kami ado ikan laut yang banyak (pasar di Malaysia pun ikan dari Thailand), ado pokok getoh, ado minyok kat laut, kironya cukup lengkaplah.”
Kerana kekayaan itulah, Pattani Darul Salam dijajah. Dahulu selepas Pattani diserang, sultan Pattani dan rakyat dibawa ke Bangkok dan selepas itu dikerah membuat sebatang sungai. Digali dengan tangan, tempurung kelapa dan peralatan minimal yang ada. Selesai gali, potong kepala, buang mayat didalam sungai.
Kehidupan masyarakat di Pattani yang seharusnya makmur dan kaya, bertukar menjadi miskin dan dizalimi beratus tahun lamanya. Apabila semakin hari, semakin ditindas. Sudahlah ekonomi disekat, alim ulama ditangkap dan dibunuh. Lantaran itu, ulama pondok di Pattani, membuat baiah (ikrar). Jika ikrar jihad dibuat ditempat umum, akan berlaku penindasan lagi. Jadi ulama di Pattani membuat ikrar di Pantai Selatan iaitu sekarang Narathiwat.
“Bila jihad telah diistiharkan oleh Ulama Pattani, guano mereka nak umum pada masyarakat Islam di Pattani? Nok umum bahawa sudah ada kewajiban jihad di Pattani? Dok leh main umum gitu jah. Jadi ulama ini karang satu lagu dan lagu itu adalah Di Pondok Kecil. Cuba perhati molek lirik lagu tu...”
Saya langsung cuba mengingat-ngingat kembali lirik lagu itu....”Ya Allah, aku baru tahu!”
“Dipondok kecil di pantai ombak
Berbuih putih beralun-alun
Disuatu hari ayah berkata
Jaga adik mu ayahkan pergi jauh
Ku pandang wajah ayah dahinya ku cium
Air mata mengalir hatiku pilu
Diam-diamlah sayang jangan menangis
Doakan ayah semoga diterima
Diam adik ku sayang jangan menangis
Andai ayah gugur doakan dia syahid
Selamat berjuangan ayah tercinta
Kau pergi dulu ayah ke medan juang
Ku iringi doa moga berjaya
Beroleh kemenangan demi agama Islam
Wahai abang ku kemana
Ayah ku sayang ayah ku cinta ayah
Duhai adik ku sayang jangan bersedih
Ayah mu pergi menyambut seruan Ilahi
Tapi ingatlah adik ku pesanan ayah
Berjuangan dan berkorban walau dimana jua
Pada Mu Tuhan aku bermohon
Dosa ayah ku minta diampunkan
Berilah rahmat bantulah dia
Untuk menegakkan agama Islam”
Halus kalam orang-orang alim dalam mentauhidkan Allah dan kalimah Jihad-Nya.
Selama ini kisah sejarah Pattani yang saya fahami seperti kepingan puzzle, namun dicantum baik oleh Ustaz Ahmad itu. Penutup pertemuan saya dengan Ustaz Ahmad cukup positif.
“InsyAllah, tak lama lagi Pattani akan kembali ke tangan kita umat Islam kembali. Tak lama lagi, sungguh.”
Optimis bagi Pattani Darul Salam!