Dihadapan kami sudah terhidang roti canai dan teh tarik. Masih berasap panas. Minum petang ditepi pantai memang menenangkan. Zikir alam sememangnya dekat dengan fitrah.
Sebenarnya saya tidak berseorangan. Petang itu, saya keluar berjumpa teman yang amat dikagumi dari segi ilmu agama dan akhlaknya. Orang soleh. Kesempatan petang itu, saya ambil kerana beliau akan berangkat ke Jazirah Arab untuk meneruskan pengajian Master dalam bidang fiqh.
Sembang punya sembang. Dari perkongsian hal pribadi masing-masing, ke isu negara dan ummah sampailah kepada isu gerakan-gerakan Islam di Malaysia.
" Akh, macamana enta kat sana? ada ikut mana-mana ke tidak?," saya bertanya.
" Erm...untuk sekarang ana suka dulu untuk seperti ini. Maksudnya tidak terikat lagi kerana ruang dakwah itu mengikut waqie' (keadaan) ana itulah yang terbaik. Akan datang itu, insyAllah mana-mana...Tunggu dan lihat," soalan yang diberikan sunggup santai tapi bermakna.
" Anta mahir dalam bidang fiqh, alang-alang sudah kita buka bab jemaah ini, ana nak tanya sikit. Ada orang kata, matlamat kita sama tetapi cara sahaja yang berbeza. Itu yang mereka kata, tapi hakikat kita lihat, masing-masing nak cantas sama sendiri...apa pandangan anta?," soalan provokasi dilontar.
" Itu ucapan dusta. Bukan salah dari segi ayat itu, tapi tindakan implimentasi ucapan itu adalah dusta. Matlamat mereka adalah berbeza, oleh kerana itu diterjemahkan oleh tindakan mencantas dan menjatuhkan," jawap beliau.
" Aik...matlamat berbeza. Biar betul syeikh... Kebanyakan dari mereka guna silibus dari IM (Ikhwanul Muslimin). Jemaah lain-lain tapi sumber silibus biasanya tidak jauh beza," terang saya. Pening sikit.
" Oklah...mereka berjuang itu mahu meninggikan JEMAAH atau meninggikan ISLAM? Memang jemaah dan Islam itu berkait, tetapi ada masa kita perlu
clearkan ini menjadi dua entiti yang berbeza yang diadili dengan
case by case," beliau menjawap dengan soalan.
Saya terdiam. Usaha untuk memproses ayat beliau. Terfikir...
" Mereka ini berjuang untuk Islam atau jemaah. Nak LEBIHnya pada jemaah dari Islam," terdetik dalam hati.
Akhirnya ia terjawap. Terjawap bukan dengan jawapan beliau, tetapi dengan
tool yang diberikan.
Tool yang boleh saya lekatkan pada semua situasi untuk diproses mengeluarkan jawapan.
Islam first!
Kisah PERMAIUntuk sebelum-sebelum ini saya masih menganggap ia sekadar angin lalu. Walaupun terserempak dan diserempakkan dengan kisah yang sama persis, cuma yang berbeza adalah pelakonnya sahaja. Jemaah juga berbeza-beza. Kisahnya tetap sama. Oleh kerana itu, saya lebih suka menumpukan hala tuju article ini kepada pelakon-pelakon bukan kepada jemaah mana-mana.
" Kenapa tidak datang ke PERMAI, best tau datang sini ," cerita dibuka.
" Erm...ada kak naqibah tidak bagi datang."
" Kenapa kak naqibah tidak bagi datang...inikan program yang bercakap soal Islam."
" Erm, kak naqibah takut apa yang kami faham bila datang PERMAI jadi pening balik."
" Huh...itu bukan faham..itu bodoh namanya!," hati saya panas.
" Kak kata, silibus kita berbeza. Jadi tidak boleh pergilah."
" Aik, bila masa pula yang PERMAI ada silibus ini."
" Entah. Apa yang berbeza pun saya tidak tahu, tapi berbeza."
" Apa yang bezanya?!!!."
" Ala...jangan tanya saya banyak-banyak, saya tidak tahu. Tanya kak naqibah la."
Perbualan terhenti setakat ini. Datang didalam minda...
DOKTRIN!
PERMAI yang permai
Bukan itu kali pertama saya mengalami pengalaman seperti ini. Sepanjang belajar di Indonesia, sudah beberapa kali hadapi kisah sama dari kelompok insan yang sama, dari jemaah yang sama. Salah tarbiah? Salah Jemaah? Salah individu? Saya masih mencari jawapan. Rupanya kisah itu persis dengan pengalaman speaker PERMAI, Ustaz Hasrizal.
" Ana terkilan sungguh dengan mereka. Bukan ini kali pertama ana di"pulau"kan oleh oleh jemaah yang sama dan modus operandi juga sama. Ana pernah kena di Ireland, Australia dan beberapa tempat lagi...Terkilan ana," luah Abu Saif.
Sentiasa berkongsi cerita Kita mungkin mempunyai satu perbezaan, tetapi pada masa yang sama kita mempunyai ribuan persamaan. Kenapa perlu lihat yang perbezaan nan satu sedangkan persamaan saujana mata memandang banyaknya. Seolah-olah, terlibatnya kita didalam dunia dakwah dan tarbiah ini dengan satu tujuan itu MENGEKALKAN perbezaan itu walau apa juga yang terjadi sekali pun.
Yang penting...berbeza!
Demi Allah, ia adalah satu kemalangan dalam menentukan halatuju dakwah dan juga merencatkan usaha merobohkan temboh jahiliah "Konstantinople" yang semakin membarah didalam masyarakat.
Walaupun pengalaman pribadi, ia datang dari kelompok yang sama. Saya perlu adil dalam menilai. Dan nilaian itu, penyakitnya ada pada kebanyakan jemaah.
" Ini jemaah tertua...jadi ini lagi syarie'!"
" Politik...politik...tarbiah ye idak. Ingat kalau abaikan tarbiah hancur semuanya. Aku lebih tumpukan tarbiah!."
" Owh, dia tidak datang sebab takut menjadi perhatian pula," anak buah merasakan naqibnya sehebat-hebat makhluk. Sombong!
Sini terajang sana, sana terajang sini.
Sini lempang sana, sana lempang sini.
Sini peteh sana, sana peteh sini.
Kawan sebelah bermaksiat...
Doktrin Dalam BeragamaPerlu kita sedar, agama Islam itu tidak perlu kepada doktrin. Itu tidak betul, ini salah, ini pening, itu seleweng, itu dan itu.
" Kamu perlu terima ini dan ini...jangan dengar yang lain sebab yang lain itu salah!"
Satu kerugian bagi ummah jika daie' sendiri mengamalkan doktrinisasi. Jika saya berada dalam satu jemaah, dan didoktrin cara fikir, percayalah tidak sampai seminggu saya akan keluar. Saya tidak dapat menerima mana-mana insan yang cuba mencetak insan yang mencari agama dengan cara doktrin.
Contohnya, kita mengajar semua dalam buku. Jadi mereka cukup mahir dalam mengupas buku itu. Tetapi kita lupa mengajar cara membaca buku, jadi bila diserahkan buku yang lain. Mereka terpinga-pinga untuk membaca dan mengambil nilai dari buku itu. Jadilah...
" Ala...jangan tanya saya banyak-banyak, saya tidak tahu. Tanya kak naqibah la."
Berilah mereka kebebasan berfikir, memilih dan mencari agama. Kerana itu lebih bermanfaat di kemudian hari. Jika salah, kita nasihat perbetulkan. Mereka memerlukan alat membuat keputusan bukan membuat keputusan bagi mereka.
Sejarah Eropah, pernah mencatat. Apabila doktrinisasi ini diamalkan meluas oleh golongan gereja, masyarakat pada masa itu kecewa dengan senario itu yang menolak belakang kebebasan cara berfikir. Mereka bangkit bukan sahaja menolak paderi bahkan akibatnya lebih buruk dari itu. Agama Kristian ditolak sama sekali dalam penentuan hidup mereka.
Memang ia sejarah mereka, tetapi anda cukup pasti ia tidak akan berulang kepada agama Islam jika kita memandang enteng dan remeh sisi hitam ini.
Muslim lari dari Islam kerana daie'...
Kecelakaan bagi ummah!
Merdeka Minda, itu Islam" Apabila kita lafazkan ungkapan La Ilah… ia menjadi teras kepada sebuah pembebasan. Membebaskan diri dari diperhambakan oleh diri yang lain. Jangan lagi ada manusia yang cuba menindas manusia lain.. La Ilah menyuntik pembebasan.Akan tetapi seorang Muslim melaungkan La Ilah demi keluar dari penindasan dan perhambaan, lalu diikat kepada IllaLlaah! Bahawa kita keluar dari perhambaan bukan kepada menjadi Tuan. Kita keluar dari perhambaan sesama manusia, kepada pulang menjadi hamba kepada Dia, Allah Tuhan yang Maha Mencipta. "( Petikan article Abu Saif : Beragama Tanpa Tuhan)
Kudis Orang TuaJika kita cermat mengamati kisah-kisah jemaah orang dulu-dulu, kita akan mudah dapat mengesan mereka mempunyai sejarah luka sesama sendiri yang mendalam. Itu sejarah mereka dan kita hari ini bukan sebahagian dari luka itu.
Tanpa menyalahkan orang tua, kita sepatutnya membiarkan kisah sejarah mereka meredam sejuk dengan perginya mereka ke alam fanaa. Kita buka sejarah baru, sejarah damai bagi ummah.
" Orang tua-tua biasanya banyak penyakit. Kencing manislah, darah tinggi la, rabun matalah...biasalah tu. Yang boleh ubat, kita ubat. Yang tidak boleh ubat, kita mengambil iktibar."
Kita adalah generasi baru, generasi yang tidak mengalami dan terjangkit luka itu. Jadi kelebihan kita untuk membuka satu lembaran baru dalam perjuangan ummah. Perjuangan bila dimasukkan agenda pribadi akan rosak binasa. Hilang matlamat, akhirnya hilang momentum ummah. Jadi amat rugi potensi yang kita ada ini, apabila kita memanggil-manggil parut itu supaya lekat pada badan. Akhirnya putaran sejarah kelam 70-an dan 80-an generasi atas kita diulang oleh kita. Generasi muda!
Kembali ia masuk kepada persoalan sikap.
Saya menginsafi hal ini, dan sekarang sinar itu wujud di Bandung. Kami bukan terbaik, tetapi sekurang-kurangnya kami tengah cuba. Kerana kami percaya...
Harapan itu ada masih ada
Berubahlah!
Nota 1 : Mahu menulis pengalaman -ve menjadi sesuatu yang sebaliknya, itu mujahadah.
Nota 2 : Mad'u itu dalam bahasa
laymannya, ialah target dakwah kita.
Nota 3 : Terbuka untuk melontarkan pandangan tetapi elakkan spesifik kepada mana-mana insan.
Nota 4 : Mungkin ini bukan article solusi kepada masalah yang kita hadapi, tetapi izinkan ia menjentik minda.
Nota 5 : Komen Isu Perak ~Tembok Konstantinople bukan dirobohkan dalam 50 tahun, tetapi 800 tahun. Jadi terlepasnya Perak, menjadi satu peringatan keras dari Allah supaya lebih pejuang memperkasakan Syariatullah dan juga menambah Sunnahtullah...Jika dua syarat ini dipenuhi, bukan sahaja Perak atau Malaysia bahkan satu dunia damai dibawah panji...Islam. "Kamu pulang, aku pulang," kata Allah~ Kes Perak, memanggil muslim pulang~
Nota 6 : Untuk memastikan article ini on track. Ingin saya tegaskan, ini bukan article menolak jemaah, bukan article penyatuan jemaah. Ini article sikap, kerana tidak ramai mahu sentuh dari sudut ini.
.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.