Friday 4 May 2012

BERSIH: Antara Rencam Realiti dan Satu Harapan

Menyambung titik-titik antara BERSIH 1.0, 2.0, 3.0, saya memerhatikan trend yang amat mengerunkan.

BERSIH 1.0 dan 2.0, himpunan menyerahkan memorandum kepada YDP Agong. Rakyat berkumpul puluhan ribu di ibukota dengan harapan, pemerintah tertinggi negara sudi memandang hasrat itu. Namun sepi dari respon yang bermakna dari YDP Agong. Saat itu, rakyat yang turun boleh dikatakan masih lembut dan menaruh harapan ada sinar pada hak mereka.

250 ribu rakyat Malaysia pada BERSIH 3.0

BERSIH 3.0 datang lagi selepas tiada respon dari pemerintah tertinggi negara dan perubahan yang diharapkan pada SPR tiada. Harapan itu kelihatan menipis. Saya perhalusi kata-kata CheguBard dalam Malaysiakini, untuk BERSIH kali ini sudah wujud anak-anak muda yang sanggup untuk tinggal di Kuala Lumpur berminggu sehingga tuntutan melaksanakan pilihanraya yang bersih dan adil itu ditunaikan. Seperti revolusi rakyat yang popular abad ini iaitu revolusi rakyat Mesir.


Bahkan, diamnya rakyat terhadap polis mula menampak pecah-pecahnya. Tanda perlakukan polis terhadap mereka, mereka tidak lagi mampu menelannya. Jika tidak, masakan ada beberapa insan selepas melihat teman sendiri pecah muka dibelasah, sanggup fight one on one dengan polis di lapangan terbuka hingga jatuh beret polis. Sungguh, ini bukan kebiasaan bagi marhaen.

Indikatornya satu, kepercayaan marhaen terhadap sistem semakin menipis.

Khabar baik untuk setakat ini, jiwa bara anak-anak muda itu masih mampu disejukkan dan diredam dengan hikmah pujukkan orang yang lebih dewasa. Dengan sabar dan sabar. Itu untuk setakat BERSIH 3.0.
Menipis sehingga hilang kepercayaan akan membuatkan negara dan rakyat akan membayar harga yang mahal seperti negara-negara lain di Timur Tengah. Perlukah? Tidak perlu, kerana kita boleh membayar harga yang lebih murah dari itu, iaitu perubahan sistem.

Tuntutan 8 BERSIH tiada yang celanya, dan itulah harga yang murah. Bersihkan pilihanraya, kemaskini senarai pemilih, hapuskan undi pos kerana terdedah dengan manipulasi maksimum, kerakyatan yang diberikan kepada warga asing itu perlu disiasat dan pemberinya harus dihukum dan beberapa lagi tuntutan utama. Apatah lagi, yang menguruskan pilihanraya itu sendiri adalah ahli parti politik tertentu. Moralnya tiada. Semua ini bukan lagi di peringkat cakap kosong, bahkan disertakan bukti sedia ada.

Menyediakan padang yang seimbang bagi dua pihak adalah harga yang murah untuk masa depan negara. Berentaplah di padang rata. Dan paling penting, memberikan rakyat hak mereka kembali. Yang selama ini hilang. Malaysia adalah tanahair kita, tiada yang lebih berhak menentukan untung rugi, jatuh bangun negara kita melainkan rakyat sendiri. Yang ribuan turun, andai mereka adalah pembangkang, ini peluang anda menghukum mereka didalam pilihanraya yang adil dan bersih.

Ini permintaan yang adil. Harga yang murah, iaitu berubah.

Pada pemerintah yang sedia ada, andai mahu melihat ini sebagai rayuan. Ya, ini adalah rayuan.

Ini adalah rayuan, kerana saya yakin 250 ribu yang turun ke jantung ibukota hanya mahu yang terbaik untuk Malaysia.

Generasi baru ini, mereka berhak mendapat Malaysia yang lebih baik.

BERSIH itu sekarang menyusahkan bagi kita, demi kesenangan anak-anak kita. (Gambar Hiasan)

Anak-anak saya, anak-anak pembaca, anak-anak yang turun BERSIH, anak-anak yang tidak turun BERSIH, anak-anak polis termasuklah anak-anak menteri.

Nota kaki 8 tuntutan BERSIH:


1. Bersihkan senarai undi
• Senarai undi harus dibersihkan dengan segera untuk menyingkirkan ‘pengundi hantu’ seperti orang yang telah meninggal.
• Pendaftaran pengundi automatik yang diselarikan dengan senarai Jabatan Pendaftaran Negara boleh menyelesaikan masalah pengundi hantu dalam jangka masa panjang.

2. Mereformasikan undi pos
• SEMUA pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.
• Anggota polis dan tentera yang tidak bertugas harus mengundi seperti biasa pada hari mengundi.
• Undi pos mesti dijalankan dengan telus! Agen parti politik harus dibenarkan untuk memantau proses undi pos.

3. Gunakan dakwat kekal
• Penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan seseorang (atau pengundi hantu) daripada mengundi beberapa kali.

4. Masa kempen minima 21 hari
• Masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman. Contohnya, pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini diberi masa kempen 10 hari sahaja.
• Pada 1955, ketika era pemerintahan penjajah, pilihanraya mempunyai masa kempen sepanjang 42 hari. Manakala semasa Pilihanraya Umum ke-12 pada 2008, masa kempen 8 hari sahaja.

5. Akses media yang bebas dan adil
• RTM dan Bernama adalah agensi media yang dibiayai oleh kerajaan. Mereka sepatutnya memberi liputan yang seimbang dan adil untuk semua parti yang bertanding.
• Parti politik harus dibenarkan untuk membuat pengiklanan tanpa sebarang diskriminasi dan penapisan.
• Ini adalah mengenai keadilan! Semua media perlu memberikan hak untuk semua parti membalas kepada tuduhan-tuduhan negatif terhadap mereka.

6. Kukuhkan institusi awam
Institusi awam dan kakitangan kerajaan harus tidak berat sebelah dan menegakkan undang-undang dan demokrasi. Institusi awam harus direformasikan supaya bertindak secara bebas, menegakkan undang-undang dan melindungi hak asasi manusia.

Contohnya :
Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) hendaklah memastikan pilihanraya yang bebas dan adil.
Badan Kehakiman harus memelihara kebebasannya dan menegakkan kedaulatan undang-undang tanpa gentar atau memihak.

Peguam Negara perlu bertindak secara tidak berat sebelah dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia harus bertindak dengan adil dan menghentikan pendakwaan selektif dan penyalahgunaan kuasa.


Polis Di Raja Malaysia perlu bertindak secara profesional dalam melaksanakan tugas dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

7. Hentikan rasuah
Rasuah adalah kegiatan mencuri dari rakyat untuk kepentingan peribadi. Rasuah menyebabkan orang kaya bertambah kaya dan golongan miskin semakin miskin.
Pembelian undi harus dihentikan!

Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 mesti dikuatkuasakan.


8. Hentikan politik kotor
BERSIH menuntut SEMUA parti politik untuk menghentikan politik kotor.



.: Amad ingatkan andaikata kita terlupa :.

1 comment:

Nadzir said...

Sayu membaca qoute yg akhir, untuk generasi kita dan akan datang..

Time nak kluar pergi ke BERSIH dan bertugas utk Unit Amal, kata2 ana kpd mak ana utk minta restu..

"mak, minta izin kluar ke BERSIH, kalau mati mak redhakan ye..."

Dengan selamba mak ana cakap,

" pergi dan selamatkan cucu2 mak..."

:'-)