Sunday, 1 August 2010

Manual Bercinta : Perigi Timba Sama Mencari


"Sekarang lepas habis degree, nak buat apa pula? Nak kerja atau sambung lagi buat master?," saya bertanya.

Pada malam itu, alhamdulillah, diizinkan oleh Allah s.w.t sempat bertukar khabar, bertanya berita kepada seorang kenalan yang berstatus kakak, yang saya kenal dekat 15 tahun silam. Beliau juga antara insan yang saya amat kagumi dan hormati. Akhlaknya baik dan dalam bidang akademik, mendapat anugerah dekan itu biasa. Mantap pokoknya.

"Akak rasa nak jadi pensyarah. Kebetulan habis degree, pihak universiti tawar sambung master. InsyAllah kakak rasa nak sambung master," jawap beliau. Dengan keputusan yang cemerlang, bukan satu hal yang sukar untuk mendapat tawaran ini. Walaupun dengan usia yang muda, diawal 25 tahun.

"Ngomong-ngomong, sekarang sudah masuk umur 25. Sudah ada calon belum kak?," saya cuba mencuit dengan nada bercanda.

"Erm, itu yang kak nak cerita dan minta pendapat Ami ni."

"Owh...bereh-bereh. Ceritalah...kalau boleh saya bagi pandangan, ya saya bagi. Jika tak boleh, sekurang-kurangnya menjadi pendengar yang baik," jelas saya.

"Ada seorang yang suka kat kak, tapi akak tak berapa berminat kerana akhlak tak bagus. Jadi kak tolaklah."

"Owh...ok. Bagus, seharusnya macam tu lah,"komentar saya. Menambah rancak perbualan.

"Itu tak apa lagi. Kak tak kisah pun. Cuma sekarang, bimbang-bimbang juga, dengan umur sudah masuk 25, tambah pula nak sambung master. Tak ramai lelaki yang berani," jelas beliau.

Sudah menjadi polimik dikalangan masyarakat apabila kita bercerita tentang dua kutub insan ini, dan faktor akademik dan taraf hidup menjadi permasalahan.

Wanita ramai di pusat pengajian awam, lelaki ramai di pusat serenti.

Wanita ramai mencari ijazah, lelaki ramai berusaha menjadi jenazah.~ Dijalan raya yang 'lurus'.

Itu baru dibuka cerita hal kelayakan duniawi, belum bersembang bab kelayakan akhirat. Susut, paras kritikal. Lantas kebimbangan yang dikongsi itu, sebenarnya wajar dan tidak dapat tidak kita harus mengakuinya. Ralit masyarakat kita, umur 25 tahun, adalah umur yang paling 'cun' untuk melangkah ke alam sana. Menghampiri ke umur itu, cukup mendebarkan buat si gadis. Saya mengerti.

"Jadi sampai sekarang, tak ada lagi lah lelaki yang masuk merisik khabar?," tanya saya.

"Erm, belum ada. Cuma macam ni, akak ada berkenan dengan seorang lelaki ini. Baik perangai dan insyAllah soleh. Cuma itu diperingkat kak, jika dia, akak belum tahulah bagaimana."

"Jadi nak minta pandangan Ami, macamana nak buat?,"tanya beliau.

Mainstream Masyarakat

Selalunya, setiap hubungan itu dimulai oleh si jejaka. Mendekati si gadis, merisik si gadis, sehingga me'khitbah' si gadis. Caranya pelbagai. Bagi lelaki yang faham apa itu Islam, apa itu hukum syarak, si jejaka akan menguruskan dengan panduan tersebut. Tapi tidak kurang juga, lelaki mengambil panduan bukan dari firman tertinggi, ayat-ayat cinta, Al-Quran dan Sunnah!.

Pabila lampu hijau diberikan oleh si gadis, biasanya selepas itu akan menyusullah ijab dan qabul. Lelaki meminang wanita, itu biasa dan lumrah bagi masyarakat.

"Apa kata, akak yang mulakan dulu. Maksud saya akak yang risik lelaki tu?," cadangan 'ganjil' saya.

"Ish Ami...seganlah. Tak buat dek orang,"pintas beliau.

Gambar Hiasan

Ya...perempuan meminang lelaki itu aneh bagi masyarakat kita. Tetapi jika kita menyemak kembali helaian sejarah gemilang, yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat, hubungan membina keluarga muslim lagi mukmin itu bukan dengan cara satu hala.

Ada sirah menaqalkan hubungan itu dimulai oleh jejaka meminang wanita. Dalam pada masa yang sama, ada sirah mencatatkan hubungan itu dimulai oleh wanita itu sendiri. Lupakah kita dengan kisah cinta Murabbi Cinta kita, Rasulullah s.a.w dengan wanita syurga, Siti Khadijah. Dalam kisah cinta, cinta terbaik yang harus kita ummat akhir zaman contohi sudah semestinya Baginda. Ini membuktikan, pinangan itu bukan satu talian kehidupan yang bersifat satu hala, tetapi boleh bertukar menjadi dua hala. Tergantung keadaan dan masa.

Seganlah!

Ya segan, kerana tidak dibuat dek orang kita. Sedangkan syariat begitu luar melebar dalam menata hidup ummat Islam. Cukup cantik dan cukup sempurna, berbanding keterikatan adat yang menyempit. Menyusahkan.

Yang wajib, tidak dibuat.

Yang sunat, dilihat wajib.

Yang haram, itu dipertahan!

Sebenarnya, jika kita perhalusi dan cermati ada sesetengah adat dan syariat boleh dicantumkan. Dan jika ada pertembungan, bagi kita yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul, syariat itu diletakkan dihadapan sekali hatta pedang dileher sekalipun.

Kebenaran itu dizaman ini dilihat asing dan janggal dimata masyarakat. Justeru menjadi 'cicak yang pekak' amat dituntut biarpun dicop sebagai tidak tahu malu!

Cara Menghubung

"Habis tu macamana akak nak buat. Takkan akak nak jumpa dia, tanya no tel keluarga dia...aneh la dan malu lagi,"jelas beliau.

"Haa..ada caranya dan malu itu tandanya ada iman," pintas saya.

Sering kita, malu itu malu tidak bertempat. Ramai wanita ke pusat membeli-belah dengan menayang pusat, bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim, keluar malam tak ingat dunia, berpeleseran ditempat awam tanpa segan dan malu. Buta hujung, buta pangkal.

Mahu meminang lelaki yang baik untuk diri sendiri? Ah...malu. Malu tidak bertempat.

Jika melamar lelaki itu dibenarkan syariat, kenapa tidak.

Gambar Hiasan

"Saya cadangkan, kak risik dia melalui orang tengah. Orang tengah ini bukan sebarang orang boleh jadi. Dia harus orang yang amanah dengan rahsia dan baik akhlaknya. Jika kita lihat Siti Khadijah itu sendiri dalam meminang lelaki terbaik didunia, Rasulullah s.a.w juga melalui orang tengah. Jadi, mengunakan orang tengah adalah jalan terbaik dan dan lebih mulia bagi seorang wanita," terang saya.

"Biasanya, orang tengah itu siapa?."

"Biasa orang tengah itu, pasangan yang sudah bernikah. Dan pasangan ini baik diantara kak dan lelaki itu. Jadi kak boleh sampaikan hasrat melalui isteri, dan akan disampaikan ke lelaki itu melalui si suami."

"Menarik...tapi itulah segan juga tu. Macam tak laku pula..."

"Biar memilih, asal jangan salah pilih. Pernikahan, bukan untuk sehari dua. Kita cuba untuk selamanya. Tempat kita mencari ketenangan. Tak laku, low class atau segala macam title yang diberikan, ia masih sekitar kata manusia. Biar dipandangan manusia low class, tetapi Allah lihat kita hamba yang high class."

"Hurmm..."

"Pandangan kita, gadis bertukar pasangan sekerap menukar lampin baby, itu high class, hot stuff. Dibawa ke hilir jantan ini, dibawa ke hulu jantan ini. Itulah 'gadis laku' dizaman kita. Jika itulah! biar tak laku pun kak...Allah lebih Mengetahui," memberi semangat.

"Cuma satu lagi kak bimbang, macamana kalau pinang tu ditolak lelaki tu?...malulah."

"Disini peranan orang tengah menjadi penghubung yang paling penting. Jika orang tengah itu amanah dan bijaksana dalam melaksanakan misinya, InsyAllah jika ditolak sekalipun kita masih santai kerana kerahsiaan amat terjaga. Apa-apa pun, doa, usaha dan tawakal itu kuncinya," jawap saya.

Perigi mencari timba, timba mencari perigi ia masih dilingkungan kaedah. Dan jangan kita terlupa core bisnes kita didunia. Sudah solehkah kita? Sudah solehahkan kita? Dengan menyelesaikan persoalan tentang diri KITA, urusan si Dia, dengan izin Allah dipermudahkan.

Lelaki baik, untuk wanita baik. Wanita baik, untuk lelaki baik.

Itu sifir Ilahi! Itu firman tertinggi!

Mahu kita percaya?... Tidak perlu dijawap, tanyalah iman!

"Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula) ~(An-Nur:26)

Biar memilih asal jangan salah pilih...


Ditulis oleh:
Dr Amad,
1 pagi,
Malam terakhir di Cikuda.


.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.

6 comments:

haikal ambri said...

alhamdulillah..perkongsian yg sgt bermanfaat untuk malam2 terakhir di cikuda.. =)

psst: nanti kalu rasa2 nak bertanding GP Joran Cikuda..roger2 lah..haha

cik pharmacist to be said...

nice article amad..2 thumbs up..

macik said...

kalau tersuka someone yg x dikenali cmne lak yer? means x pernah berjumpa face to face n x tahu sikap sbenar dia. hanya tahu serba sedikit ttgnya melalui alam cyber.

Dr Amad said...

Haikal Anak Mak-Sepeninggalan daku dari Cikuda, tuan hamba training-training lah dahulu...Ini bukan apa, takut tuan hamba dipermalukan lagi oleh ikan-ikan dikolam itu...ekeke

Dr Amad said...

Cik- Perh...two thumb up...hehe. Tq2

Dr Amad said...

Macik-Alam cyber, alam banyak topengnya. Jadi berhati-hati. Jangan rumahtangga itu dibina dengan hanya bersangka-sangka. Tidak berbaloi...

Gunakan istiqarah, dan istisyarah...InsyAllah tidak tepuk dahi selepas itu.

Wallahualam...