Sunday, 24 October 2010

Serius Tapi Sembang Santai

Jika dahulu, saya yang dikelas Internasional, biasanya bersahabat dengan orang Malaysia sahaja. Dengan sahabat dari negara jiran tetangga ini agak terpisah kerana jadual yang berbeza. Namun ada saja acara yang mengabungkan kami, yang saya semakin senang ngikutinya.


Dan sekarang sebagai doktor muda, tiada lagi kelas internasional, tiada lagi kelas reguler. Yang ada adalah pelajar kedokteran UNPAD. Pengalaman baru, bahkan menarik buat saya secara pribadi. Hadangan 'kekitaan' sesama negara semakin dipecahkan. Kami semua dicampurkan dan dibahagikan kepada kelompok yang kecil.

Itulah sahabat kita.

Itulah teman seperjuangan kita.

Batik Indonesia Malaysia

"Ahmad, kenapa kamu enggak pakai batik?,"tanya teman baru yang semakin akrab dengan saya. Kami suka bercanda.

"Masa aku mahu pakai batik hari ini. Batik yang Malaysia saja aku belum punya," jawap saya berseloroh, sesuai soalan yang bergurau.

"Batik itu Indonesia punya donk...bukan Malaysia," jawap teman saya.

"Adoi, batik Indonesia sama batik Malaysia itu beda amat. Dari kain sampai ke motifnya beda. Jadi enggak timbul punya siapa," saya menjawap santai. Tersenyum.

Tinggal di Indonesia yang sudah mahu beranjak ke usia 5 tahun, membuatkan saya semakin faham tentang pancawarna masyarakat dan perangai negara jiran ini. Banyak yang kita boleh belajar dan mengambil ibrah dari hal yang berada disekeliling dari hal positif mahupun negatif.

Batik, kedaulatan batas negara, pekerja asing, budaya itulah antara rencam isu yang menjadi duri dalam daging antara dua negara yang mempunyai ikatan unik berbeza dari negara lain.

Kita boleh makan gulai daging di Pulau Pinang, kita juga boleh jumpa gulai daging di Padang.

Pakcik berkain pelikat dan berkopiah di ceruk kampung Selangor, kita juga boleh jumpa pakcik persis di Bandung.

P Ramlee menerusi lagunya pernah berkata "Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan suami isteri"

Dekatnya dua buah negara ini menyebabkan banyak hal kita bersama berkongsi gembira dan duka. Tapi awas, dek kerana dekat, banyak hal yang harus bijak kita perhalusi.

"Owh, tapi perkataan batik itu Indonesia punya," jawap dia. Masih tidak mengalah.

"Tidak mengapalah kalau begitu, aku tukar aja. Batik Malaysia, aku panggil Batuk aja. Gimana, puas?," solusi yang saya berikan mengundang tawa besar kami berdua.

Hal serius, tapi masih boleh bicara mesra.

Di Ruang Kecemasan

Tik...tik...tik...

Bunyi mesin pernafasan menjalankan kerjanya. Talian hidup bagi si tua dihadapan saya ini. Malam itu, hari pertama saya ditugaskan untuk jaga (oncall) diruang kecemasan. Memandangkan bahagian yang saya bertugas sekarang adalah Anesthesi, pesakitnya kurang. Lainlah jika pesakit itu memerlukan bantuan pernafasan secara cepat.

Yang ada diruangan itu, saya dan teteh (taraf kakak) perawat (nurse). Tidak malu jika saya nak mengaku yang saya banyak belajar dari perawat-perawat. Mereka senang untuk mengajar dan saya sering saja menyusahkan mereka pinta diajar.

"Nama kamu siapa?," tanya teteh perawat. Semasa itu keadaan ruangan lengang. Hanya tiga pesakit. Sakit jantung, trauma kepala, dan sesak nafas. Jadi ada ruang kami berkenalan, kenal satu sama lain.

"Nama saya Ahmad."

"Ahmad asal dari Malaysia ya," tanya beliau.

"Ya teh, gimana tahunya?."

"Dari loghat khasnya...saya udah bisa nembak,"jawap beliau sambil tersenyum. Perbualan kami panjang dari hal selok belok hospital, kepada anak-anak beliau sampailah ke isu negara.

"Kalau saya mahu kerja di Malaysia gimana? ada diseksa enggak?,"soalan provokatif yang sering masyarakat umum disini 'anuti'.

Mereka penunggu pulau, tidak berada, tapi hati mereka amat baik

Soalan yang salah, jangan dijawap terus. Melainkan kita memperbetulkan terlebih dahulu, dengan membuka sedikit demi sedikit horizon minda.

"Teh mahu tahu enggak, keluarga saya punyai seorang pembantu rumahtangga yang berasal dari Jawa Timur. Teh tahu keadaannya semasa awal sampai ke rumah saya?," sengaja saya bertanya. Soalan yang tidak perlu jawap sebenarnya.

Dia terdiam menunggu sambungan cerita saya.

"Dia datang dengan keadaan amat kurus, dan bekal baju yang dibawa hanya 2 helai. Usai 2 tahun, pulang ke Indonesia badannya udah gemuk, tas yang dibawa gedik (besar), dua lagi tau," cerita saya bersungguh.

"Teh, kita ini diikat bukan sahaja kerana bangsa dan suku. Tapi ikatan yang lebih kuat, kita sesama Islam, satu aqidah. Jadi bagi saya, pembantu itu saudara saya sendiri. Apa yang kami makan, dia pun makan sama persis kami makan. Dia sakit, kami juga turut menjaga. Dan dia alhamdulillah bagus berkerja,"sambung saya lagi.

Tanpa sedikit pun saya menafikan kes-kes yang terjadi di Malaysia. Cuma satu sahaja yang kita tidak mampu tolak, terjadinya kes dera dan segala macam kezaliman kebanyakkan dari berlainan bangsa dan agama. Jadi untuk mengurangkan hal ini, kedua-dua belah pihak samaada Malaysia dan Indonesia harus perketatkan pemilihan majikan. Majikan berbangsa cina, ambillah pembantu dari negara China(sekadar contoh), India dari India. Masing-masing lebih dekat.

"Tapi itu banyak hal-hal yang teruk terjadi seperti dilaporkan media," tanya teteh.

"Teh percaya saya media massa? Saya ini, samaada media Indonesia ataupun media Malaysia, saya tolak total. Banyak bohong dari betul," saya terus kilas kemas hal ini.

Kami terdiam.

Sreeet...pintu ruangan ditolak.

"Yuk, Ahmad...bantuin,"ajak teteh perawat. Pesakit baru.

Indonesia Malaysia di Kamar Operasi

"Wah, kamu dari Malaysia ya. Udah lancar bicara bahasa Indonesia,"puji seorang doktor. Beliau sedang mengambil specialist didalam bidang anesthesi dan yang menariknya, beliau ditaja oleh tentera Indonesia, sebagai doktor tentera.

"Biasa-biasa aja doc. Saya udah tinggal disini 4 tahun, jadi udah bisa ngomong dikit-dikit. Tapi kacau lagi presentasi kasus, berantakan doc,"saya berseloroh. Ketawa kami pecah.

Hari itu saya jaga (oncall) di dewan bedah bersama beberapa teman. Memandangkan hari cuti, dan pesakit yang dinaikkan ke dewan bedah hanyalah kes kecemasan, pesakit kurang. Jadi kami meminta kebenaran berehat di bilik rehat doktor sambil mengulangkaji pelajaran. Exam just around the corner.

Doktor ini masuk kedalam untuk makan, dan memanggil kami untuk bersembang-sembang. Seakan menjadi ciri khas bagi doktor anesthesi, mereka majoritinya tidak sombong dan senang bergaul dengan kami sebagai pelajar (doktor muda).

"Saya itu kagum banget sama Pak Mahathir. Wawasan itu pincu Malaysia itu jelas. Malaysia udah ada proton, kitanya belum ada," kongsi beliau. Itu hal umum yang orang luar tahu tentang "Pak Mahathir". Walaupun saya banyak tidak setuju dengan "Pak Mahathir", menafikan betapa jelas misinya adalah satu kesalahan prinsip hidup.

"Benar tu doc...tapi usah terlalu memuji, Indonesia juga banyak potensinya. Petronas di jalan Dago (salah satu pam minyak yang ada di Indonesia), bukankah Petronas itu belajarnya dari Pertamina. Mahu tidak mahu, semua ini sumbangannya dari sini juga doc," saya memancing perbincangan yang lebih berharga.

"Nah...itu yang saya kesalkan. Negeri ini bukan kurang sumber daya manusianya. Tapi banyak faktor yang kita tidak mampu memanfaatkan mereka untuk bangunkan negeri ini," patriotik bicaranya. Pantas sahaja, seorang doktor tentera.

"Pak BJ Habibie, kehilangan beliau, kerugian bagi bangsa Indonesia. Tidak tahu membedakan mana kaca, mana intan," sambung saya. BJ Habibie, antara presiden Indonesia yang memegang tampuk pemerintahan singkat. Sedangkan beliau bukan calang-calang manusia di luar negara.

"Benar itu Ahmad. Bahkan beliau antara orang pertama didalam dunia menjumpai titik lemah di badan pesawat terbang, dan jika titik lemah itu tidak dibenahi(dijaga dan diperbetulkan), bisa fatal,"beliau mengiyakan. Kami sama wavelength rupanya. Seronok bicara dengan orang banyak membaca hal yang diluar bidang kerja sehari-hari.

"InsyAllah, harapan itu masih ada doc," tungkas saya penuh makna.

"Owh, saya permisi dululah. Ada pasien masuk. Mau saya 'matikan'," seloroh beliau. Doktor anesthesi adalah doktor yang boleh 'mematikan' dan 'menghidupkan". Menarik bukan!

Titik Berbeza, Titik Bersama

Mungkin bicara saya, bicara yang melibatkan individu-individu yang dinisbahkan sebagai unit terkecil. Tapi besar harapan saya, jika sikap seperti sahabat, teteh perawat, dan doktor itu kita boleh bawa keluar.

Itulah dunia, banyak hal yang kita boleh berbeza. Sering dari kita melihat titik berbeza itu adalah titik yang kita harus berkonfrontasi sesama sendiri, sedangkan kita boleh memilih jalan yang lebih mendamaikan, harmoni. Agree to disagree.


Titik persamaan, itu harus kita perlebar dan pereratkan.

Itulah warna warni Malaysia Indonesia.

Lantas ia kembali kepada persoalan sikap...

.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.

2 comments:

Anonymous said...

Salam..lama tak baca posting panjang lebar ni.. good article. mmg susah nak jaga hubungan saudara serumpun ni, slps pelbagai propaganda yg terjadi. klu sy sendiri pun maybe tak setabah dan sebijak dr amad nak tackle isu2 ni. Maklumlah kdg2 emosional lebih.. tp sebaiknye kte kene profesional. mrk ini saudara terdekat kte, jgn krn emosi dan politik sempit kte bermusuh dgn mrk. Musuh dr jauh mengilai ketawakan kite! Setuju dgn pendekatan berhemah dan TEGAS dr amad. good luck! -hidayah.

Dr Amad said...

Hidayah- Pasti pernah main layang-layang. Dan jika kita bermain layang-layang pasti ada masa kita lepaskan tali, dan pasti ada masa kita rentap.

Lihatlah suasana, nilai sebaiknya.

Yang penting,massage ya sampai...