Tuesday, 30 November 2010

30 November 1987: Sekilas Penceritaan Bergambar

Ketika ini hanya berdua, tunggu sehingga gambar terakhir...jeng...jeng...jeng

Menjengah dan berhenti sementara didunia sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Datang bersambut, biarkan pergi dihantar.

Masih belum mampu berdiri dan berlari, lantas diri diajar dan dituntun oleh guru yang terbaik didunia. Ibu dan Abah.

Masih 3 bersaudara. Yang baki lagi 4 beradik. Jika ditanya kepada ibu semasa masih kecil, mana lagi adik-adik yang lain "Masih dalam beras,"kata ibu.

Sudah boleh terbalikkan badan, meniarap, merangkak, dan mengangkat kepala. Yey!

Gambar yang paling mahal. Abah membuat susu.

Belajar-belajar untuk bertatih

Gambar hari raya, dengan baju melayu PASTI. Masuk tadika pada usia 5 tahun dengan sosok badan yang kecil. Sehingga pakcik pemandu van sekolah, tidak pernah mengeluarkan saya melalui pintu van, tapi tingkap sisi. Percayalah...hehe

Hadiah kereta dari abah. Vroom...vroom...langgar dinding!

Pidato umum pertamaku di Pasti Rusila ketika umur 6 tahun. Gementar, gemuruh semuanya datang, tetapi berundur itu bukan pilihan.

Kelas 6 Intan, di Sekolah Ren. Keb. Seberang Marang. Kadang-kadang cuti, curi-curi ziarah ke sekolah. Gurunya ramai berganti, tetapi bangunannya tetap yang lama. Begitulah...

Bersama keluarga membina Istana Pasir...

Tingkatan 2, bersama-sama teman seperjuangan melangkah ke Pertandingan Choral Speaking. Sebagai sekolah kampung, mendapat bye diperingkat daerah Marang. Dan bertanding di peringkat negeri. Alhamdulillah, sekolah kampung ini adalah juara negeri Terengganu.

Bersama teman-teman Choral Speaking ke pertandingan Choral Speaking peringkat nasional di Pantai Cahaya Bulan aka Pantai Cinta Berahi, di Kelantan.

Selepas PMR pada tahun 2002, mendapat hadiah dari abah untuk menunaikan umrah. Gambar ini berlatar belakang Masjidil Nabawi.

Selamat tinggal SMKTLS, saya meneruskan perjuangan dilapangan baru. Sekolah Men. Sains Kuala Terengganu (SESTER).

Tenaga penggerak sidang redaksi majalah sekolah

Selesai di SESTER, melangkah ke Kolej Matrikulasi Kedah. Dek kerana kuat ikatan 'kasih sayang', majoriti pelajar lelaki SESTER memilih kolej ini. Kenapa? entah. Tapi yang penting, bersama!

Tahun pertama dimedan pertempuran baru. Jatinangor, Bandung. Berlatar belakang kediaman pertama kami disana, Bunda Rama. Dan inilah pasukan futsalnya.

Jika sebelum ini menjadi 'pengomen gelap' di Saifulislam.com. Di PERMAI, Jojga akhirnya bertemu dengan insan yang banyak menyental diri menerusi penulisan berhantu beliau. Ustaz Hasrizal. Dan selepas itu, kami menjadi kamceng!

Keluarga besar IMAN sudah bertambah ahli. Dari bendahari, diturunkan pangkat kerana lanjut usia kepada ketua unit ekonomi IMAN.

Bercuti dengan CGC di Terengganu. Gambar ini di Tasik Kenyir. Menyewa bot rumah.

CGC berbincang sehingga larut malam bagi memastikan acara talk berkenaan isu Palestine oleh Dr Syed Haleem (sukarelawan Mavi Marmara).

Membaca doa diacara keluarga.

Di Pulau Karimunjawa semasa Le Tour De Jawa bersama-sama CGC. Ketika ini, matahari terbenam dengan gambar diambil dijeti nelayan usai seharian pusing-pusing pulau.

Mengambil ibrah di Lumpur Panas Lapindo, di Surabaya. Lumpur tidak henti-henti keluar kerana sikap tamak dan rakus manusia.

Bertemu lagi di PERMAI Bandung, kali ini sebagai pembantu pribadi Ustaz Hasrizal

Tiada lagi unit ekonomi, unit terbaru saya adalah IMAN Intern. Kerana sudah berhijrah ke Bandung sebagai doktor muda.

4 orang berbaki yang didalam beras sudah keluar. Sekarang sudah lengkap semuanya. Alhamdulillah.

Tiada kata yang mulia yang mampu diucapkan melainkan Alhamdulillah diatas segala nikmat yang diberikan. Tiada kata yang indah mampu diucapkan melainka terima kasih diatas segala ucap selamat dan doa yang dititipkan. Terima kasih ibu abah, adik beradik, saudara mara, dan semua sahabat.

Dingin sungguh airnya sumur,
Riuh mandinya bersama Bujal,
Bukan saja bertambah umur,
Tetapi petanda mendekati ajal.

23 tahun, apakah yang diisi?
Jawap Ahmad Fahmi Sulaiman, jawap!

.: Amad mengingatkan diri sendiri :.


Saturday, 27 November 2010

Tips Menjadi Penyibuk Yang Terbaik

Memang, sejak saya memasuki internship atau sinonim disini memanggilnya Co-Assisten (KoAss) soalan yang sering ditanyakan. Sibuk atau tidak?

"Aik, selalu je online. Tak sibuk ke?,"tegur seorang adik.

"Boleh berprogram kesana-sini. Katanya koas itu sibuk," kata satu pihak lagi.

Itu yang bermain difikiran mereka, bahkan bermain difikiran saya satu ketika dahulu. Nak nafi tidak sibuk, bohong. Nak mengiyakan sibuk semata, itu pengakuan separuh haq separuh batil.

Lantas sebenarnya sibuk atau tidak ni?

Pengalaman Keluarga

Didalam keluarga saya sendiri sekarang, ada dua adik beradik iaitu kakak dan abang tengah menjalani Housemanship (HO). Tanyalah kepada sesiapa yang sedang dan sudah selesai dari 'cengkaman' HO itu. Pasti jawapan mereka; stress, tiada masa, amat-amat letih dan 'no life'.

Allah hadirkan contoh itu dekat pada diri saya sendiri. Boleh melihat dari dua mata kepala sendiri. Boleh mendengar kisah mereka dari dua corong telinga sendiri.


Keluar diawal gelap pagi, pulangnya gelap malam. Jika ada oncall, kelibat mereka hanya boleh kita lihat dua hari selepas itu. Macam zombe kampung pisang lagaknya.

" Angah berasa benggong je bila dah habis oncall. Boleh kereta balik moteng( huyung-hayang) je wa'se," cerita Angah.

" Kak long berasa macam gaji yang kita dapat tu doh takdok nilai dengan apa yang kita korbankan. Masa, tenaga dan kehidupan," luah Kak Long. Jika ramai mengatakan doktor bergaji selesa, sedar atau tidak, mereka terpaksa membayar harga yang amat mahal untuk semua itu.

Sedar tidak sedar, kami yang baru melangkah kaki mengenal alam perubatan yang bersifat amali sudah 9 minggu lamanya. Ada yang menempuh department yang kecil, ada yang langsung masuk kedalam department yang besar seperti Bedah dan Anak.

Setiap bahagian samaada kecil atau besar mempunyai tradisi, ciri khas yang tersendiri. Antara yang jelas boleh kita lihat adalah pengerahan fizikal bagi pelajar department bedah. Oncall yang amat memenatkan, sehingga tersengguk-sengguk ketika kuliah keesokan harinya satu hal yang biasa.

"Baguslah, kita kat sini sudah ada oncall, patient di emergency kita yang tangani. Nanti balik Malaysia tidaklah terkejut dengan oncall-oncall ini,"kata seorang teman.

"Betul...cuma boleh kita anggap ini segala pengenalan bagi sistem di Malaysia. Bahkan kalau sudah pulang ke Malaysia, semua itu akan tambah lagi dosenya. Tanggungjawab sudah dibahu kita, masuk sampai pulang pesakit,kita yang uruskan. Dan itu berkali ganda beban dari kita disini,"ujar saya.

Jika itu, tidak anehlah saya membaca laporan kajian yang mengatakan doktor HO di Malaysia berjumpa pakar jiwa dua orang sehari. Itu yang jumpa, yang tidak jumpa? Semuanya tip of iceberg.

Lantas, sudah bolehkan mereka yang HO mengunakan alasan sibuk itu untuk pass masuk pada kesemua perlepasan tanggungjawab? Sabar...

Mereka harus lebih jeli matanya melihat orang yang terdahulu melepasi mereka. Yang sudah berkeluarga, ada anak-anak, kedua orang tua yang ditanggung, beban kerja. Itu bukan satu yang mudah, bukan satu hal yang kita boleh dikesampingkan bebannya.

Putuskan Rantai

Seperti mengajar Lin Dan menghayun raket memukul shuttel, seperti mengajar Tiger Wood memukul bola golf, seperti Micheal Schumacher memandu kereta. Aneh bukan. Tidak perlu diajar, kerana itulah bidang mereka.

Dan itulah analogi yang saya ingin bawa kepada yang mahu mengambil bidang perubatan, yang sedang mengambil bidang perubatan dan yang sudah selamat bergelar pengawai perubatan. Sibuk, stress, tiada kehidupan, itulah rencah kehidupan kita. Yang kita harus telan, mahu tidak mahu. Yang harus kita hadapi, mahu tidak mahu. Yang harus kita tempuhi, mahu tidak mahu. Well known!

Bagi mengelakkan apa yang kita telan itu melukai diri, bagi mengelakkan yang apa kita hadapi menghancurkan diri, bagi mengelakkan apa yang kita tempuhi memakan diri. Kita putuskan. Putuskan rantai alasan itu semua.

Mengeluhkan apa yang menjadi makanan kita sehari-hari bukan tindakan yang bijak. Bahkan khianat pula mengeluh sibuk dihadapan ramai sedangkan kehidupan sehari-hari penuh kekosongan diisi pula dengan rencam hedonisme.


Putuskan rantai itu bukan dengan menafikan realiti tapi dengan satu azam dan tindakan yang dilakukan penuh ITQAN.

Itulah yang diajar Sang Murabbi, Rasulullah s.a.w. Baginda seorang suami, ayah, pemimpin masyarakat bahkan kepala negara. Orang yang sibuk, tetapi Baginda insan yang sibuk yang terbaik.

Kita sibuk, pastikan kita orang sibuk yang terbaik.

Sibuk? Bersyukurlah Allah kurniakan kita dengan nikmat kesibukan agar lompong kosong masa tidak menjadi petanda binasa, di Sana.

Itqan ya akhi...itqan!

.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.

Tuesday, 16 November 2010

Jangan Pergi, Jangan Tinggal Ami

Waaaa...waaaa...waaaa

Esakan tangis 3 kanak-kanak kecil kedengaran bergema, berhembus sama dibawa angin lalu beriringan dengan deruman kuat burung besi.

Diperut pesawat, ada ibubapa kepada 3 anak kecil itu. Ketiga anak kecil itu hanya mampu menangis dan menangis dipinggir pagar besi, melepaskan tanpa rela ibu dan bapa berangkat. Bukan seperti kebiasaan, jika mahu bercuti, pasti dibawa kami. Tapi tidak untuk kali ini.

Sebenarnya, 3 anak kecil yang terisak menangis adalah kak long, angah dan saya sendiri.

"Tersenyum sendiri" itulah yang saya rasakan sekarang apabila mengenang kembali peristiwa itu. Hari itu hari bersejarah buat keluarga saya terutama bagi abah dan ibu. Mereka akan berangkat ke Tanah Suci Mekah, menyahut panggilan Allah, menjadi tetamu Baitullah.

Ketika kami masih kecil

Ketika dan saat itu, kami berempat sebenarnya. Ayi yang masih bayi kecil, belum mampu mengerti perpisahan itu. Kami bertigalah yang jarak kelahiran antara satu sama lain yang agak rapat, berkongsi duka yang sama.

"Ibu....jangan tinggal ami. Ami nak jadi anak soleh...jangan tinggal ami," berkata dalam nafas yang terhenti-henti.

"Ami, ibu nak pergi haji tu. Kekgi ibu balik la...meh balik meh. Duk rumah tok,"pujuk tok. Sambil digosok dan didakap mesra cucu kesayangan beliau.

"Takboh...ami nak ibu jugok,"saya membantah. Berkeras.

Pesawat terbang berlari laju, membelah awan diangkasa raya.

"Meh ami meh...kekgi ibu balik. Dia pegi kejap je tu," pucuk makcik. Dirangkulnya saya, dan dibawa pulang ke kampung. Adik beradik yang lain pun sama. Ada yang berdukung, ada yang dituntun tangan, semuanya dalam tangisan.

Takut Abah

"Hah, ami...itu abah dah sampai," kata tok dengan ceria. Anak dan menantunya selamat pulang menunaikan haji.

Dumm...dumm...dumm...
Anak Abah ning! hehehe

Saya berlari. Tetapi tidak berlari mendapatkan abah, tapi menyorok dibalik daun pintu. Tidak kenal siapa mereka berdua, khususnya yang bermuka bersih tanpa misai dengan dengan berjanggut tipis dan yang paling meng'horror"kan berkepala botak. Botak chin beb!

Ibu abah tidak menunggu lama, barang belum sempat dikeluarkan, anak-anaklah yang mereka mencarinya terlebih dahulu.

Dicium bertalu-talu pipi kesemua anak kesayangan, didakap penuh erat mesra. Saya yang pada awal agak takut dan kaku, akhirnya sudah menerima 'hakikat' merekalah ibuabah yang sebulan lepas meninggalkan kami. Sekarang mereka selamat kembali.

Harga Yang Dibayar

"Ibu kenapa ibu pergi haji masa muda-muda?," tanya saya. Sambil berbaring meletakkan kepala diatas riba ibu.

"Erm...sebenarnya berat pada awalnya. Masa itu, duit simpanan adalah sedikit. Ibu abah ada 3 pilihan untuk guna duit tu. Nak beli rumah ke, nak beli kereta ataupun pergi haji,"cerita ibu.

"Terus, kenapa pilih buat haji? Bukan ke masa tu muda lagi?,"saya bertanya lagi.

"Lepas fikir balik, itulah keputusan yang tepat ibu abah pilih. Ibu abah buat keputusan guna duit tu untuk pergi haji. Lepas je pulang dari haji, alhamdulillah rumah dapat, kereta pun dapat beli. Allah mudahkan urusan," terang ibu.

Ooooo...

"Lagipun Ami, nak buat haji ini, baik buat masa muda-muda. Kudrat empat kerat masih kuat. Ibu kesian tengok, orang tua-tua pergi haji. Mudah sakit, penat sokmo, dan kadang-kadang terpaksa 'menyusahkan' orang lain. Ami nak pergi haji, pergilah masa muda-muda," ibu berikan semangat.

Diberi kesempatan menjadi tetamu Allah, menunaikan umrah. (Tahun 2002)

Anak yang masih kecil, kewangan yang terhad, mencari masa yang benar-benar ideal itu semua harus difikir dan dipertimbangkan. Tapi yakinlah, jika benar-benar kita serahkan semua itu kepada Allah selepas istisyarah, Allah s.w.t akan mudahkan.

Itulah keajaiban Baitullahilharam. Panggilannya memanggil jutaan ummat manusia. Jutaan jua ter'sihir' dengan keberkatan tempat suci itu.

Labbaikallahumalabaik....labbaikallahsyarikalakallahbaik...

Semoga daku dipanjangkan umur untuk menjadi tetamu-Mu Ya Allah.


Salam Aidiladha buat semua dari Dr Amad. (Gambar lain disini)


Friday, 12 November 2010

Manual Bercinta : Satu Dapat Dua

Saya pernah menghadiri kuliah rutin seorang pendakwah bebas yang terkenal di Terengganu, Ustaz Azhar Idrus. Nadah kitab orang kampung saya kata.

Gambar Hiasan

"Mengikut hadis ini, diakhir zaman untuk mendapatkan seorang wanita yang solehah, macam mencari burung gagak yang hujung sayapnya berwarna putih. Payah dan sukar, tapi InsyAllah masih tetap ada," syarah beliau tentang satu hadis.

Dek sudah rezeki saya, bila pulang ke kampung halaman dan menghadiri kuliah beliau. Tajuknya sungguh tempting. Bab nikah, cinta, kasih sayang, tanggungjawap suami isteri. Adeh terprovokasi gue!

"Wanita solehah" tetap menjadi topik yang sukar untuk diperbincang, bukan kerana tajuk itu sensitif tapi menjurus kepada subjektiviti. Ya, subjektif tapi masih bisa diukur. Bagaimana untuk mengukur? Sabar der...teruskan membaca.

Idaman Lelaki

Jika ditanya kepada semua lelaki tidak kira dari yang berkopiah ke topi sudu, dari rambut berwarna hitam sampai ke rambut traffic light, dari berkain pelekat sampai ke jeans koyak rabak, dari berbutang kemas baju melayu hingga ke ber'butang' kemas ditelinga. Semua mahu yang solehah.

Gambar Hiasan

"Kalau ana, mahunya yang solehahlah. Lagipun itu ajaran Islam," kata mat masjid.

"Wa rock..tapi nak solehah beb! Yeeeyeh!!!," kata mat rock kapak.

Idaman lelaki beriman khususnya, dan tidak perlu aneh yang biru-haru, pun mahu solehah. Penyamun pun marah bila barangnya disamun. Seperti orang Indonesia ngomong udah fitrahnya segitu.

Secara umum, untuk mencari calon isteri yang solehah berpandukan ilmu. Ilmu itu kita dapati dari alim ulama dan para ustaz. Dari situ ciri-ciri wanita solehah akan kita ketahui dan memudahkan kita perhalusi, tapi awas belum tentu semudah A,B,C.

Mengetahuinya tidak sukar, taat kepada suruhan Allah dan Rasul, menjaga nama baik ibubapa, terjaga dalam pergaulan, menutup aurat dengan sempurna. Itu yang terzahir, tapi masih belum cukup melayakkan diri mendapat title wanita solehah. Persoalan dalam hati juga harus disuluh. Sopan-santun, penyabar, baik hati, pemurah, penyayang. Lengkap? Ya, lengkap.

"Perghh...kalau macam ini kriteria yang nak, sampai kucing bertanduk pun aku tak dapat kahwin." Lek lu der...sabar! teruskan membaca...

Menjadi Dari Mencari

Saya pernah melontarkan idea ini pada article sebelum ini, dan kali ini saya akan cuba perincikan apa itu menjadi dari mencari.

Seperti ciri wanita solehah yang zahir, mudah untuk kita mengukur dan memerhati oleh kedua mata. Tetapi jika berpandukan yang zahir semata, dibimbangi kita akan kecewa. Tidak sedikit yang tertipu. Lantas, melengkapkan pencarian wanita solehah sebagai calon bidadari dunia, harus dipaketkan sama dengan ciri dalaman. Untuk menilai ciri dalaman ini, itulah masalahnya!

Gambar Hiasan dari Lensa Amad

Persoalan hati, bukan tugas kita bahkan kita tidak layak untuk menilai. Kerana empunya hati bukan kita tapi Ya Rahman Ya Rahim, Allah s.w.t. Dialah pemilik segala hati.

"Habis tu, kalau Allah s.w.t je yang boleh nilai soal hati. Macamana kita nak tahu. Tension arrr ni!."

Aik...dah tension!? kata nak bidadari dunia. Sabar der sabar...

Sebenarnya ada jalan pintas untuk mencari wanita solehah, iaitu menjadikan diri kita sendiri soleh.

Jika ciri wanita solehah yang kita mahukan itu lengkap cantik dari zahir dan batin, kita lekatkan kesemua ciri itu kepada diri kita sendiri terlebih dahulu.

Mahu calon isteri yang taat pada Allah dan Rasul, taatkan terlebih dahulu pada Allah dan Rasul.

Mahu calon isteri bersifat ihsan pada ibubapa, ihsankan diri terhadap ibubapa terlebih dahulu.

Mahu calon isteri cantik menjaga aurat, jagalah aurat diri terlebih dahulu.

Mahu calon isteri yang menjaga pergaulan, jagalah pergaulan terlebih dahulu.

Muhasabah kesemua ciri wanita solehah itu pada diri sendiri. Tanyalah hati kecil, sudah solehkah atau sekurangnya menuju soleh sehingga kita mahu isteri yang solehah. Jawaplah dengan jujur, kerana hati tidak mampu membohongi diri sendiri. Berat untuk implimentasi sifir hidup ini. Tapi ketahuilah ia jauh lebih mudah dari kita mahu mengukur iman didada orang lain.

"What you give, you get back," kata Scorpions dalam lagunya. Itulah sifir hidup. Susah tapi tepat!

Kalau artis rock yang entah datang dari mana ini pun faham sifir hidup ini, inikan kita yang bersyahadah, mengaku Allah yang mencipta segalanya termasuk manusia. Bukankah Maha Pencipta itu asmaNya?! Wajar kita lebih memahaminya dari Scorpions tu.


Gambar Hiasan

" Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula)." (An-Nur: 26)

"Hurm...macam payah pula macam tu. Yelah, diri kita seakan mahu semuanya baik,"nada berputus asa dan mengeluh.

Aik der...nak ke tak ni?

"Nak-nak...tapi itulah."

Saya ingin menyeru buat diri saya sendiri dan semua lelaki terus mempertingkat iman dan taqwa, tapi bukan kerana tujuan utamanya wanita solehah tapi kenikmatan lebih dari itu. Lebih dari dunia dan isinya. Syurga. Mendapat bidadari dunia itu bonus dalam merintis jalan menuju syurga.

Dengan soleh, syurga dapat, bidadari dunia yang solehah pun dapat. Combo!

Dengan meletakkan piawaian yang tinggi pada diri sendiri dalam menjadikan diri soleh, saya ingin mengusul dengan merendahkan sedikit piawaian dan berpada-pada terhadap calon isterinya. Solehah isteri masih boleh kita bentuk dan didik (tarbiah), kerana masa yang kita punyai lama. Kerana mahunya cinta kita itu, bercinta hingga ke syurga. Tak gitu?...

Mahu wanita solehah, soleh-solehkan diri.

Lho, itu aja kot repot!

.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.

Saturday, 6 November 2010

Remote Diri

Gambar Hiasan

Bangkit saya dari lena pada pagi itu, kepala saya berdenyut. Jarang saya mengalaminya, melainkan ada faktor penyebabnya yang bukan pathologic (kerana penyakit) iaitu stress. Menafikanny dan berdiam diri menafikan stress adalah satu sikap saya, tapi tidak untuk itu.

Department kedua saya selepas Anesthesi adalah Radiology. Dihadapkan film hitam dan putih, hitam dan putih bagi yang pucuk baru atau beginner seperti saya adalah cabaran, menjawapnya atau menterjemahkan adalah tantangan, dan suasana yang diciptakan amat menekan. Secara pribadi.

Ditempatkan didalam kumpulan kecil yang kesemuanya adalah senior, ditambah pula ramai diantara mereka adalah pelajar terbaik, bahkan ditakdirkan sayalah ketua bagi kumpulan belajar kecil itu.

Srapppppp...

Filem X-Ray dipasangkan pada skrin berlampu oleh doktor pembimbing kumpulan saya yang bukan sahaja bergelar specialist bahkan consulent. Dan itu hari pertama kami di department Radiologi.

"Hah...ape ke bende ni? Masak-masak," bisik saya didalam hati.

"Mana senarai namanya," doktor yang berperwatakan serius tapi kelihatan tenang.

"Ini doc," sambil saya menghulurkan senarai nama ahli kumpulan kami. Ketua kumpulan kot!

"Ok, kamu dulu. Sila expertise (terjemahkan) gambar x-ray ini," arah doktor kami.

Saya mengurut dada, menghela nafas lega. Didalam senarai nama itu, nama saya agak terkebelakang dan memberi saya masa untuk memerhati, belajar dan 'merapu' semasa ditanya nanti.

Satu persatu senior ditanya mengikut urutan nama. Walaupun masih belum mampu menterjemah dan membaca gambar x-ray, mereka setidak-tidaknya mampu untuk berceloteh tentang kelainan dan penyakit berdasarkan pengalaman dari banyak department yang mereka tempuhi.

Dan...jeng...jeng...jeng

Srappppp...

"Ok, kamu Ahmad. Cuba expertise gambar ini," arah doktor.

"Alamak, apa ni? Besar dan bengkang-bengkok, habislah," detik saya dalam hati.

Dengan gambar thorax pun saya masih bertatih-tatih mencari rentak memahami, sampai ke giliran saya, digantinya dengan gambar yang lain. Gambar abdomen (perut).

"Erm...maaf doc. Saya tidak tahu," jawap saya berbata-bata. Perasaan ketika itu hanya Allah yang tahu. Terasa diri ini akan bodoh secara solo. Dan saya perlukan insan yang kelihatan bodoh bersama-sama. Secara beregu barangkali. Tapi realitinya, saya the only junior.

Doktor hanya tersenyum. Beliau tidak marah ataupun berkomentar. Soalan dilontarkan kembali kepada ahli kumpulan yang lain. Dan saya seperti biasa, terkedek-kedek untuk menangkap ilmu perbincangan mereka. Hasilnya, saya lebih banyak berdiam diri.

"Cuy, aku perlukan orang yang kelihatan bodoh kayak gue, stress tahu!" saya bergurau dengan teman.

Ketawa kami pecah.

Boleh Berubah, Boleh Diubah

Bila kita bicara soal masalah, tantangan dan cabaran kehidupan ada dua faktor yang memainkan peranan. Faktor luaran yang sukar kita ubah, dan faktor internal yang pemegang kuncinya adalah kita.

Kita mahu membuka, pintu terbuka.

Kita tidak membuka, pintu tidak akan terbuka.

Sering dari kita lebih tumpukan kepada faktor luaran. Faktor yang tidak terjangkau dek keterbatasan diri. Lantas kita penat sendiri, dan menjadikan itu sebab diri menjadi statik, seorang yang loser. Sehingga mereka lebih suka susah dari berubah. Contoh mudahnya

Sang Mentari Mematuhi Kehendak Tuhannya

Diluar matahari memancar terik. Tiada siapa yang terkecuali mendapat bahang sinarnya.

Mahu dikecilkan sinar matahari? Tidak mungkin. Luar dari kemampuan kita.

Jadi faktor pengubah apa yang mampu mengurangkan kehangatan matahari itu?

Adalah diri kita sendiri. Belilah penghawa dingin, kipas, cari tempat berteduh. Dan kita dapat menikmatinya. Kita tidak lakukan semua itu, berpanaslah.

Stress yang saya dapatkan, terus menguatkan azam. Belajar dari sahabat, dan doktor. Bertatih pun bertatihlah. Merangkak pun merangkaklah. Bertongkat pun bertongkatlah. Berundur dan berputus asa bukan pilihan kerana berjuang itu adalah kepastian.

Sehingga masuk ke minggu kedua, barulah mampu berkomentar itu dan ini dalam membaca gambar x-ray. Itu selepas berhempas pulas untuk memahaminya. Satu hal yang manis apabila kita bermula dari kosong. Mengunakan MAHU mencari TAHU.

Jatuh Dan Bangun

Bicara sejarah hidup, semuanya berwarna warni. Ada jatuh, ada bangun, ada jatuh, ada jatuh, ada bangun dan bangun. Semua itu pengalaman hidup, guru yang paling baik mengajar diri tentang hakikat seorang hamba Allah sekaligus khalifah didunia.

Saya takut sebenarnya melihat sahabat yang sejarah hidup mereka terus menerus cerah tanpa menempuh kegagalan. Banyak kisah yang saya dengar amat menyedihkan. Gila kerana gagal dalam akademik, bunuh diri kerana gagal dalam 'percintaan', murung kerana mendapat dugaan. Kerana mereka belum pernah mengalami, dan kabur mencari arah untuk respon.

Gambar Hiasan

Namun, kesusahan jangan dicari, tapi jika datang, hadapilah dengan jiwa pejuang, jiwa orang beriman!.

"Mung tahu dok, bagi aku. Nak jadi seorang doktor tidak perlu orang tu genius. Sebab umumnya, genius itu bawaan, genetik orang kata," kata saya.

"Dah tu, apa yang diperlukan?," tanya teman.

"Sedikit kepintaran, usaha dan self-control yang amat tinggi,"kesimpulan ringkas saya.

Pintar boleh dicari dengan membaca, usaha boleh dilakukan dengan istiqamah diri, dan self-control yang tinggi boleh dihadirkan dengan kematangan diri.

Jatuh dan bangunlah. Kerana bangun itu bukan pilihan tetapi satu kemestian!

Nota 1 : My next department is Kulit dan kelamin....hohoho

.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.