Monday 30 August 2010

Merdeka atau Merdekakah?

Kuliah Ustaz Azhar Idrus

"Salam Ustaz...saya nok tanya. Apa hukum berjihad tapi dengan cara meletupkan tempat-tempat umum macam yang kita selalu dengor tu. Bukankah itu terkeluar dari Islam. Bukankah mereka itu pengganas? Harap Ustaz dapat berikan penjelasan." Itulah soalan yang dibacakan oleh Ustaz Azhar Idrus didalam satu 'taman syurga' yang sempat saya hadiri.

Menjadi kebiasaan sesi menadah kitab dibahagikan kepada dua sesi. Pertama dengan bacaan kitab dan huraiannya, dan selepas itu akan dibuka buat umum untuk bertanyakan soalan. Dek kerana yang datang dari banyak lapisan masyarakat, soalan yang dilontarkan pelbagai bentuk.

"Sebelum kita pergi ke persoalan apa itu jihad, apa yang jihad yang dituntut oleh Islam. Persoalan pertama yang harus faham, siapa yang melabelkan mereka itu pengganas? Bukankah yang melabelkan itu, merekalah musuh Allah, Rasul dan Islam. Yang pelik, kita Islam ini yang mengiyakan kata musuh-musuh Islam tu," jelas Ustaz Azhar.

Itulah hukum dunia.

Yang melawan itu pengganas.

Yang menurut itu teman.

Suka saya kongsikan. Antara rancangan kesukaan saya dilayar kaca adalah Discovery dan History Channel. Saya bahkan mampu menonton satu demi satu tanpa bosan. Setiap yang dokumentari yang dipaparkan bagi saya cantik untuk kita ANALISA bukan MENERIMA.

Heroes Under Fire menceritakan tentang peranan FBI dan agensi pertahanan Amerika membantu pejuang Muslim bagi menghancurkan Tentera Beruang Merah, Rusia yang menjajah dan menjarah Afganistan. Bahkan jangan kita terkejut, Osama bin Laden adalah insan yang dilatih khas oleh mereka.

Sebelum pada itu, Amerika yang mewakili blok dunia barat mempunyai sengketa dalaman dengan Rusia yang mewakili blok sosialis atau mungkin senang untuk kita faham adalah berfahaman komunis. Mereka berperang bukan secara langsung, tetapi dengan mengunakan kumpulan lain untuk bergerak bagi mereka. Saat itu dipanggil Perang Dingin.

Itulah sejarah ringkas.

Ketika dan saat itu, pejuang Islam atau sinonim sebagai mujahiddin diberi pengiktirafan sebagai pejuang kemerdekaan oleh media Barat. Oleh kerana itu, mujahiddin pada pandangan mata masyarakat dunia dianggap insan yang mulia. Lantas, wajar untuk disokong.

Kerana apa? Kerana mereka memegang media dunia.

Dan sekarang title yang dipegang pejuang kemerdekaan itu sudah bertukar kepada pengganas. Sedangkan mereka hanya subjek penentangan. Jika dahulu, mereka melawan Rusia yang mahu menjajah tanahair, dan sekarang mereka melawan Amerika yang juga datang dengan niat kapitalis yang sama.

Tetapi kerana subjeknya sudah bertukar, mereka sekarang adalah pengganas. Sungguh ironinya, kita sendiri yang muslim mengakuinya.

"Ya, mereka pengganas," kata Pak Man Tempe dicelah ceruk kampung hulu sana.

Kemalangan intelektual ini punyanya dari kurang maklumat, dan kekurangan maklumat umbinya dari tidak membaca, malas. Guru saya pernah berkata "Malas itu pangkal kebodohan."

Membongkar Sejarah

Entah kenapa, selepas menghabiskan bacaan tiga buku ini, saya merasakan A yang dapat dalam subjek sejarah Malaysia menjadi meaningless.

Saya sebenarnya sudah berazam, jika pulang ke Malaysia akan membongkar balik buku-buku abah dan mahu mencari sumber lain bagi kisah kemerdekaan Malaysia. Lantas buku yang ditulis oleh 3 pejuang kemerdekaan berhaluan kiri negara menjadi pilihan.

Memoir Shamsiah Fakeh Dari Awas ke Rejimen ke-10


Shamsiah Fakeh adalah pemimpin gerakan Kemerdekaan yang terdiri dari wanita Melayu yang berjuang dengan gigih hatta di belantara Malaya. Bagi yang suka memperhalusi sejarah Malaysia, parti melayu pertama adalah PKMM. Dan sayap wanita bagi parti itu adalah Angkatan Wanita Sedar (AWAS) yang diketuai oleh beliau.

Kekangan dan tribulasi oleh penjajah British dengan mempergunakan kaum bangsa sendiri, Melayu bagi mengekang semangat membebaskan negara dibayar mahal harganya boleh Shamsiah Fakeh. AWAS diharamkan dan beliau memilih Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wadah. Itulah satu-satunya cara bagi mereka. Dan mereka ketika itu mendapat cop sebagai pengganas.

"Mengikut prinsipku jikalau seseorang atau sesuatu pihak itu tidak disukai oleh musuh maka itulah yang berpendirian tepat. Manakala pihak yang disukai oleh musuh itu dapat dianggap sebagai berada di pihak sama dengan musuh," Shamsiah Fakeh, Memoir Memoir Shamsiah Fakeh Dari Awas ke Rejimen ke-10.

The Memoirs of Rashid Maidin From Armed Struggle to Peace


Rashid Maidin berasal dari golongan strata masyarakat yang miskin. Hasrat berkobar-kobar untuk mengubah nasib keluarga dan masyarakat dengan mendapat pendidikan terbantut kerana kekangan ekonomi. Manakan tidak, yang bersekolah ketika itu hanya golongan elit melayu yang ralitnya lunak dengan penjajah British. Membesar dan menyaksikan betapa rakusnya penjajah merompak tanah bangsa, mengubah dirinya.

Rashid Maidin adalah antara tulang belakang bagi Regimen ke-10 PKM. Buat maklum semua, Regimen ke-10 adalah regimen bersenjata Parti Komunis Malaya yang kesemuanya terdiri dari orang melayu muslim. Dan PKM dibantu oleh penjajah British dengan bantuan latihan dan senjata untuk melawan Jepun pada ketika itu.

Keluarnya Jepun dari Malaya, PKM menukar penentangan dari melawan Jepun dengan terus melawan penjajah British. Cukup konsisten dengan prinsip anti-kapitalisme dan anti-imperialisme. Seperti biasa, British ketika itu mengelar PKM adalah pejuang semasa bersama melawan Jepun, dan digelar pengganas selepas itu apabila PKM melawan British kembali.

Rashid Maidin ada mencatat didalam bukunya soalan yang ditanya oleh special branch British yang berbangsa Melayu.

"Why have I been detained for so long, what convincing proof do you have of my wrongdoing?"

He answered, " You are accused of being a communist".

While opening and examining the file in his hand, he continued, "You have made open speeches".

I responded, " As long as the British continue to colonize Malaya, we will keep fighting. If that's the case, there's is nothing wrong. Many hajis, lebais, ustaz, and teachers have been branded and accused of being communists and detained. It is as though we all want to remove the British colonial government from our homeland. It isn't wrong!."



Dan amat terkesan dihati ini, apabila Rashid Maidin menutup bukunya dengan menceritakan pengalaman menunaikan haji. Ini sekaligus mencabut paku diminda yang ditanam oleh sesetengah pihak bahawa apabila sahaja disebut komunis, mereka hidup tanpa Tuhan, tanpa iman.

"Yet, my belief in Islam had never left me. So here was a chance to go to Mecca, it was a blessing, a religious duty I didn't dream of being able to fulfull while I was a guerrilla in the jungle. My wife was convert and she too would now have a chance to accompany me to Mecca and perform the hajj. I hoped that shre would further deepen her faith in God," The Memoirs of Rashid Maidin From Armed Struggle to Peace.

Ini seakan-akan mengetuk-ngetuk fikrah yang ditanam didalam kepala saya selama ini.

"Jika sebelum ini aku dimomokkan dengan propaganda mereka hidup tanpa tuhan, itu semua apa?."

Ayat terakhir dibuku ini yang beliau tulis "I hope this memoir will give some idea of the stuggle which myself into for decades".


Sosialis Lebih Dekat Islam

"Ana, kalau tiada perjuangan Islam, yang lebih dekat dengan jiwa ana adalah sosialisme," kata seorang Ustaz yang amat terkenal dengan amali dimedan perjuangan samaada didalam negara mahupun diluar.

Ibarat batu emas murini, saya mengambil masa satu tahun untuk cermati dan fikir kenyataan beliau ini. Selepas saya membaca buku ini, saya mendekati faham. Dicanai dan dicanai. Sosialis ada sisi murni yang mendekati fikrah kepercayaan saya pegang walaupun tidak kesemuanya.

Saya yang sendiri terlibat dan berijtima dengan gerakan Islam, semakin terbuka wacana dengan melihat lebih luas persoalan ini. Bukan sekadar perbahasan yang emosi sempit yang didoktrin oleh satu pihak demi kepentingan pribadi mereka.

Dan saya lebih terbuka untuk itu semua sekarang.

Saya semakin konlusif. Bagi mereka

Yang melawan itu pengkhianat, yang menentang itu pengganas, yang mengkritik itu haluan kiri, yang menegur itu pembangkang. Itulah legasi penjajah, legasi musyrikin Mekah, legasi musuh Allah. Anda menganutnya?

Lantas disaat umur kemerdekaan ke-53. Persoalannya..

Merdeka atau merdekakah?

Bacalah...bukankah itu firman tertinggi.

IQRA!


.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.

Thursday 26 August 2010

Studio Amad : Kuasai Tiga Unsur Asas Buat Beginner

Bagi yang masih awal didalam bidang photografer, tiga sukar bagi kita untuk menghasilkan gambr yang 'wow' dimata umum. Ada tiga aspek mudah tetapi amat penting yang kita harus kuasai bagi menghasilkan gambar yang cantik.

Ketepikan persoalan angle. Dan ayuh kita tumpukan perhatian terhadap gadget yang ada ditangan itu.

Apa ada pada ISO?

Bagi fotografi digital, ISO ditakrif sebagai kesensitifan sensor kamera terhadap cahaya. Semakin besar nombor, maka semakin sensitif sensor/filem terhadap cahaya. begitulah juga sebaliknya, semakin rendah nombornya maka semakin kurang sensitif sensor/filem terhadap cahaya.

Jika anda cermati baik-baik, gambar ini banyak (bising) lantaran menggunakan ISO yang tinggi

ISO yang rendah biasanya digunakan semasa kita menggambar objek atau subjek yang mempunyai cahaya persekitaran yang terang (bright ambient light). ISO yang tinggi pula digunakan dalam persekitaran yang suram atau kelam pencahayaannya atau semasa kita hendak menggambar objek yang bergerak laju. Tapi, imej kita akan dimonopoli oleh noise (bintik-bintik yang tidak dikehendaki) yang akan menjejaskan kualiti imej.

Apa pula Shutter Speed?

Shutter Speed ialah tempoh bukaan shutter semasa kita menggambar.

Bagi fotografi analog, ia ditakrif sebagai tempoh filem didedahkan (exposed) kepada objek yang digambar. Begitu juga dari aspek fotografi digital. Cuma filem digantikn dengan sensor.

Ini antara contoh gambar yang saya bermain dengan shutter speed. Air kita boleh pegunkan.

Shutter Speed diukur dalam unit saat. Atau dalam kebanyakan keadaan ia diukur dalam unit per seratus bahkan per seribu saat. Dalam kamera, sekiranya ditunjukkan nombor 20", ia bermaksud sensor akan didedahkan selama 20 saat. Sekiranya nombor 20 ditunjukkan, ia bermaksud sensor akan didedahkan selama 1/20 saat. Kebanyakan kamera mempunyai shutter speed bermula dari 30 saat hingga 1/8000 saat.

Pemilihan shutter speed bergantung kepada Peraturan Ibu Jari (Rule of Thumb) yang menyatakan shutter speed adalah bersamaan atau laju daripada 1/(panjang focal lens) saat. Contohnya jika anda menggunakan lens 200mm, maka anda perlu menggunakan shutter speed MINIMUM 1/200saat untuk mendapatkan imej yang tajam (sharp). Namun, peraturan ini semakin dilupakan atau tidak diaplikasi semenjak teknologi penstabilan imej samada Image Stabilizer (IS Canon) mahupun Vibration Reduction (VR Nikon).

Aperture: Apa ni?

Secara umumnya, aperture ialah saiz bukaan lensa. Ia diukur dalam unit fX.Y. Dimana X dan Y adalah nombor contohnya f1.2, f1.4, f2, f2.8 dan seterusnya.

Semasa kita mengklik shutter, lensa akan membuka bilah aperture (blades) untuk membenarkan cahaya masuk menuju ke sensor. Semakin rendah nilai nombornya, maka semakin besar bukaan bilah. Justeru, semakin banyak cahaya yang masuk. Begitu juga sebaliknya. Semakin tinggi nilai nombornya, maka semakin kecil saiz bukaan bilah. Justeru semakin sedikit jumlah cahaya yang masuk.

Pemilihan nilai aperture berkait rapat dengan satu istilah yang sering dimanipulasi oleh fotografer-fotografer profesional untuk menghasilkan imej yang ada unsur WOW!!!. Istilah tersebut ialah Depth of Field (Kedalaman Medan). Secara umumnya, DOF ialah medan / bahagian / zon dalam imej yang dalam fokus (In focus).

Kesimpulannya, ketiga-tiga unsur ISO, Shutter Speed dan Aperture berkait rapat antara satu sama lain dalam menghasilkan imej yang baik. Pengubahan salah satu unsur memerlukan anda mengubah sama ada 1 atau 2 unsur yang lain untuk mendapatkan exposure yang baik (tanpa menggunakan flash).

Sebelum itu, sedikit perkongsian tentang Depth of Field (DOF) yang amat berkait rapat dengan aperture.

Apa DOF?

DOF bolehlah ditakrifkan sebagai medan atau ruang yang berada di dalam zon fokus dalam imej. Jadi, apakah perkaitan DOF dengan Aperture?

Sebenarnya, DOF berkait rapat bukan hanya dengan Aperture tetapi juga dengan Panjang Focal (Focal Length) sesebuah lensa yang digunakan dan Jarak antara sensor dengan objek.

Persoalannya? Apa kepentingan DOF dalam fotografi?

DOF sangat berguna jika kita ingin memanipulasi PENEGASAN dalam imej yang ingin kita gambar (capture). Umumnya, fotografer lanskap akan menggunakan aperture yang kecil (nombor F yang besar) kerana imej yang ingin dihasilkan biasanya ingin menunjukkan perincian (detail) pada hampir keseluruhan imej (corner to corner detail).

Manakala, fotografer potret (portraiture) akan biasanya menggunakan aperture yang besar (nombor F yang kecil) untuk "memisahkan" objek daripada latar belakang.

Cuba memanfaatkan Aperture dan DOF

Penghasilan DOF yang kecil (shallow) akan menjadikan latar belakang "kabur" atau blur. situasi latar belakang yang kabur atau hilang disebut sebagai "bokeh".

Nota 1: Article ini kredit buat Wanzailani, forumer Digital Mukmin dengan pengubahsuaian.

Nota 2
: Kepada beginner macam saya, tips ini amat berkesan. Ambil camera dan cubalah. Tapi pastikan ON dahulu. Ahaks!

Nota 3
: Saya mahu menulis article berat, tetapi kesudahannya tergantung. Lalu terhasillah article ini.

Wednesday 25 August 2010

Itulah Tandanya Bagi Yang Mahu Beriman

Sering kita dalam menguatkan keimanan, memilih jalan yang sukar.

Mahu beriman sesudah didatangkan gempa.

Mahu beriman sesudah dilanda badai.

Mahu beriman sesudah dilantak bencana.

Mahu beriman sesudah diuji kesusahan.

Sebelum itu didatangkan, acapkali kita ketepikan tanda-tanda kekuasaan yang 'mudah' untuk kita imani.

Kerana jalan sukar itu sunnahtullahnya pahit dan pedih, ayuh kita hargai jalan mudah ini untuk terus kekal tunduk dan patuh arahan-Nya.

Apa jalan mudah itu?

Belajarlah dari alam...





Pernah kita dengar kesemua makhluk ini ingkar kepada peraturan Allah?

Dan pernah kita dengar manusia ingkar kepada peraturan Allah?

Allah-lah yang meninggikan langit tanpa tiang (sebagaimana) kamu lihat, kemudian Dia bersemayam diatas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Masing-masing beredar hingga waktu yang ditentukan. Allah mengatur urusan (makhluk-Nya), menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya), supaya kamu yakin pertemuan(mu) dengan Tuhan-mu (Ar-Ra'd: 2)




Andai kita hamba yang berfikir...

p/s: Sudah memasuki separuh kedua Piala Taqwa...jom pulun!

Sunday 1 August 2010

Manual Bercinta : Perigi Timba Sama Mencari


"Sekarang lepas habis degree, nak buat apa pula? Nak kerja atau sambung lagi buat master?," saya bertanya.

Pada malam itu, alhamdulillah, diizinkan oleh Allah s.w.t sempat bertukar khabar, bertanya berita kepada seorang kenalan yang berstatus kakak, yang saya kenal dekat 15 tahun silam. Beliau juga antara insan yang saya amat kagumi dan hormati. Akhlaknya baik dan dalam bidang akademik, mendapat anugerah dekan itu biasa. Mantap pokoknya.

"Akak rasa nak jadi pensyarah. Kebetulan habis degree, pihak universiti tawar sambung master. InsyAllah kakak rasa nak sambung master," jawap beliau. Dengan keputusan yang cemerlang, bukan satu hal yang sukar untuk mendapat tawaran ini. Walaupun dengan usia yang muda, diawal 25 tahun.

"Ngomong-ngomong, sekarang sudah masuk umur 25. Sudah ada calon belum kak?," saya cuba mencuit dengan nada bercanda.

"Erm, itu yang kak nak cerita dan minta pendapat Ami ni."

"Owh...bereh-bereh. Ceritalah...kalau boleh saya bagi pandangan, ya saya bagi. Jika tak boleh, sekurang-kurangnya menjadi pendengar yang baik," jelas saya.

"Ada seorang yang suka kat kak, tapi akak tak berapa berminat kerana akhlak tak bagus. Jadi kak tolaklah."

"Owh...ok. Bagus, seharusnya macam tu lah,"komentar saya. Menambah rancak perbualan.

"Itu tak apa lagi. Kak tak kisah pun. Cuma sekarang, bimbang-bimbang juga, dengan umur sudah masuk 25, tambah pula nak sambung master. Tak ramai lelaki yang berani," jelas beliau.

Sudah menjadi polimik dikalangan masyarakat apabila kita bercerita tentang dua kutub insan ini, dan faktor akademik dan taraf hidup menjadi permasalahan.

Wanita ramai di pusat pengajian awam, lelaki ramai di pusat serenti.

Wanita ramai mencari ijazah, lelaki ramai berusaha menjadi jenazah.~ Dijalan raya yang 'lurus'.

Itu baru dibuka cerita hal kelayakan duniawi, belum bersembang bab kelayakan akhirat. Susut, paras kritikal. Lantas kebimbangan yang dikongsi itu, sebenarnya wajar dan tidak dapat tidak kita harus mengakuinya. Ralit masyarakat kita, umur 25 tahun, adalah umur yang paling 'cun' untuk melangkah ke alam sana. Menghampiri ke umur itu, cukup mendebarkan buat si gadis. Saya mengerti.

"Jadi sampai sekarang, tak ada lagi lah lelaki yang masuk merisik khabar?," tanya saya.

"Erm, belum ada. Cuma macam ni, akak ada berkenan dengan seorang lelaki ini. Baik perangai dan insyAllah soleh. Cuma itu diperingkat kak, jika dia, akak belum tahulah bagaimana."

"Jadi nak minta pandangan Ami, macamana nak buat?,"tanya beliau.

Mainstream Masyarakat

Selalunya, setiap hubungan itu dimulai oleh si jejaka. Mendekati si gadis, merisik si gadis, sehingga me'khitbah' si gadis. Caranya pelbagai. Bagi lelaki yang faham apa itu Islam, apa itu hukum syarak, si jejaka akan menguruskan dengan panduan tersebut. Tapi tidak kurang juga, lelaki mengambil panduan bukan dari firman tertinggi, ayat-ayat cinta, Al-Quran dan Sunnah!.

Pabila lampu hijau diberikan oleh si gadis, biasanya selepas itu akan menyusullah ijab dan qabul. Lelaki meminang wanita, itu biasa dan lumrah bagi masyarakat.

"Apa kata, akak yang mulakan dulu. Maksud saya akak yang risik lelaki tu?," cadangan 'ganjil' saya.

"Ish Ami...seganlah. Tak buat dek orang,"pintas beliau.

Gambar Hiasan

Ya...perempuan meminang lelaki itu aneh bagi masyarakat kita. Tetapi jika kita menyemak kembali helaian sejarah gemilang, yang dicontohkan oleh Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat, hubungan membina keluarga muslim lagi mukmin itu bukan dengan cara satu hala.

Ada sirah menaqalkan hubungan itu dimulai oleh jejaka meminang wanita. Dalam pada masa yang sama, ada sirah mencatatkan hubungan itu dimulai oleh wanita itu sendiri. Lupakah kita dengan kisah cinta Murabbi Cinta kita, Rasulullah s.a.w dengan wanita syurga, Siti Khadijah. Dalam kisah cinta, cinta terbaik yang harus kita ummat akhir zaman contohi sudah semestinya Baginda. Ini membuktikan, pinangan itu bukan satu talian kehidupan yang bersifat satu hala, tetapi boleh bertukar menjadi dua hala. Tergantung keadaan dan masa.

Seganlah!

Ya segan, kerana tidak dibuat dek orang kita. Sedangkan syariat begitu luar melebar dalam menata hidup ummat Islam. Cukup cantik dan cukup sempurna, berbanding keterikatan adat yang menyempit. Menyusahkan.

Yang wajib, tidak dibuat.

Yang sunat, dilihat wajib.

Yang haram, itu dipertahan!

Sebenarnya, jika kita perhalusi dan cermati ada sesetengah adat dan syariat boleh dicantumkan. Dan jika ada pertembungan, bagi kita yang mengaku beriman dengan Allah dan Rasul, syariat itu diletakkan dihadapan sekali hatta pedang dileher sekalipun.

Kebenaran itu dizaman ini dilihat asing dan janggal dimata masyarakat. Justeru menjadi 'cicak yang pekak' amat dituntut biarpun dicop sebagai tidak tahu malu!

Cara Menghubung

"Habis tu macamana akak nak buat. Takkan akak nak jumpa dia, tanya no tel keluarga dia...aneh la dan malu lagi,"jelas beliau.

"Haa..ada caranya dan malu itu tandanya ada iman," pintas saya.

Sering kita, malu itu malu tidak bertempat. Ramai wanita ke pusat membeli-belah dengan menayang pusat, bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim, keluar malam tak ingat dunia, berpeleseran ditempat awam tanpa segan dan malu. Buta hujung, buta pangkal.

Mahu meminang lelaki yang baik untuk diri sendiri? Ah...malu. Malu tidak bertempat.

Jika melamar lelaki itu dibenarkan syariat, kenapa tidak.

Gambar Hiasan

"Saya cadangkan, kak risik dia melalui orang tengah. Orang tengah ini bukan sebarang orang boleh jadi. Dia harus orang yang amanah dengan rahsia dan baik akhlaknya. Jika kita lihat Siti Khadijah itu sendiri dalam meminang lelaki terbaik didunia, Rasulullah s.a.w juga melalui orang tengah. Jadi, mengunakan orang tengah adalah jalan terbaik dan dan lebih mulia bagi seorang wanita," terang saya.

"Biasanya, orang tengah itu siapa?."

"Biasa orang tengah itu, pasangan yang sudah bernikah. Dan pasangan ini baik diantara kak dan lelaki itu. Jadi kak boleh sampaikan hasrat melalui isteri, dan akan disampaikan ke lelaki itu melalui si suami."

"Menarik...tapi itulah segan juga tu. Macam tak laku pula..."

"Biar memilih, asal jangan salah pilih. Pernikahan, bukan untuk sehari dua. Kita cuba untuk selamanya. Tempat kita mencari ketenangan. Tak laku, low class atau segala macam title yang diberikan, ia masih sekitar kata manusia. Biar dipandangan manusia low class, tetapi Allah lihat kita hamba yang high class."

"Hurmm..."

"Pandangan kita, gadis bertukar pasangan sekerap menukar lampin baby, itu high class, hot stuff. Dibawa ke hilir jantan ini, dibawa ke hulu jantan ini. Itulah 'gadis laku' dizaman kita. Jika itulah! biar tak laku pun kak...Allah lebih Mengetahui," memberi semangat.

"Cuma satu lagi kak bimbang, macamana kalau pinang tu ditolak lelaki tu?...malulah."

"Disini peranan orang tengah menjadi penghubung yang paling penting. Jika orang tengah itu amanah dan bijaksana dalam melaksanakan misinya, InsyAllah jika ditolak sekalipun kita masih santai kerana kerahsiaan amat terjaga. Apa-apa pun, doa, usaha dan tawakal itu kuncinya," jawap saya.

Perigi mencari timba, timba mencari perigi ia masih dilingkungan kaedah. Dan jangan kita terlupa core bisnes kita didunia. Sudah solehkah kita? Sudah solehahkan kita? Dengan menyelesaikan persoalan tentang diri KITA, urusan si Dia, dengan izin Allah dipermudahkan.

Lelaki baik, untuk wanita baik. Wanita baik, untuk lelaki baik.

Itu sifir Ilahi! Itu firman tertinggi!

Mahu kita percaya?... Tidak perlu dijawap, tanyalah iman!

"Wanita-wanita yang keji untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji untuk wanita-wanita yang keji (pula) dan wanita-wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi wanita yang baik (pula) ~(An-Nur:26)

Biar memilih asal jangan salah pilih...


Ditulis oleh:
Dr Amad,
1 pagi,
Malam terakhir di Cikuda.


.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.