Monday, 14 February 2011

Cinta Nabi Sambil Memicit Jerawat Dipipi

Jika kita mendabik dada, merasa diri telah menyayangi Rasulullah s.a.w dengan berkorban sedikit harta, tahukah kita Abu Jahal ketika lahirnya Rasulullah s.a.w betapa gembiranya digambarkan dengan menyembelih puluhan ekor ternakan untuk dimakan ramai. Diukur dari berkorban harta, siapa lebih baik. Kita atau Abu Jahal?

Jika kita merasa diri telah mencintai Rasululllah s.a.w dengan sekadar menyebut dan menulis puisi sayang Nabi di Facebook atau diblog, lantas disambung cinta Nabi dengan menarik selimut menyambung dengkur pagi?

Fikir itu zikir.

Mengubah Kebiasaan

Sebut saja Maulidur Rasul, yang tergambar adalah perarakan keliling kampung, berzanji dan bermarhaban, ditutup dengan menjamu juadah makanan.

Saya keluar dari itu.

Teringat balik perbualan saya dengan Ustaz Hasrizal tentang buku.

"Ustaz, ana dah lama tak membaca buku. Tidak mahu beralasan sibuk tapi tak tahu kenapa. Nak menulis pun tak seronok," saya bercerita.

"Mahu memberi, harus diisi. Mana mungkin mampu memberi jika kita tidak punyai. Jadi anta kena baca juga walaupun sedikit. Baca dan baca," saran ustaz.

"Tapi kalau Ustaz tengok buku atau lebih mudah rak buku ana, takda deretan panjang kitab itu dan ini. Ana suka baca buku campur-campur genre ya," kata saya.

"Itu penilaian yang ringkas dan tepat bagi ana kalau nak nilai orang tu memang kaki baca atau kaki hanya semata kumpul buku," celah beliau.

Saya tersenyum sendiri.

Taktik saya untuk memilih hari akhir Pesta Buku Bandung kelihatan amat tepat. Harga yang ditawarkan disemua gerai buku semuanya harga runtuh. Tepat dari segi harga yang ditawarkan, tapi 'bahana' buat poket yang mengeluarkan. Adrenaline untuk membeli buku meluap sehingga tanpa sedar wang didalam poket berbaki hanya sedikit. Memang itulah kelemahan kalau ber'maulidur rasul' ke Pesta Buku Bandung. Tak sedar ke diri.

Memperkemas kembali amalan solat, kerana satu prinsip asas dalam mengejar syurga ialah jangan pernah merasa puas beribadat.

Selepas Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih dan lain-lain, saya belum pernah gagal untuk mendapat dan membaca novel Kang Abik. Tentu berbeza 'feel' dengan menonton filem.

Dua titik extreme dalam bersukan adalah menolaknya secara total dan bersukan tanpa iman. Dengan buku ini diharap dapat mencari titik tengahnya.

Selepas menonton filem, kali ini biografi Umar Mukhtar berada didalam genggaman. Menambah lagi khutub khanah pribadi.

Kejayaan dan kejatuhan dalam ruang seperti politik dan dakwah adalah tentang bagaimana membina persepsi. Persepsi tentang diri, persepsi tentang lawan, persepsi tentang kawan. Ustaz Hilmi, ketua Majelis Syura PKS menjawapnya.

Al-Hikam adalah kitab yang amat popular dikalangan santri atau pelajar pondok di nusantara. Seputar persoalan hati dan Allah, saya mendekatinya walaupun taboo dengan wacana-wacana hati. Pening sendiri bukan kerana kitab yang memeningkan tapi ilmu didada yang sedikit.

Setuju atau tidak, pandangan saya. Mahu membina rumahtangga harus bermula dari bujang. Mulai dari pemilihan calon isteri dan umi kepada anak-anak, calon suami dan ayah kepada anak-anak sampailah cara menguruskan rumahtangga. Ini salah satu juzuk kehidupan itu.

Dari Haraki, Jihad, pengurusan hati sampailah kontrasepsi. Wow!

Jika cinta kepada Rasul, cinta itu harus dizahirkan dengan mengikuti segala tingkah laku dan suruhan Rasul. Kerana Rasulullah s.a.w itu sendiri tidak melafazkan cinta Ilahi sambil memicit jerawat di pipi seperti kita dipagi hari!

Iqra! Iqra!

Itulah suruhan Nabi, ikutilah...

.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.

Friday, 11 February 2011

Revolusi Mesir, Satu Sejarah Dunia


Mereka dan kita berhak gembira, mereka dan kita berhak sujud syukur, mereka dan kita berhak melompat keriangan, mereka dan kita berhak menangis keterujaan kerana yang dibayar tidak sedikit dan murah harganya.

30 tahun hidup dalam pemerintah kuku besi.

Ulama, aktivis masyarakat, rakyat bawahan dipanggang di penjara panas padang pasir.

Taraf ekonomi rakyat terpuruk.

Kezaliman dan ketidakadilan bermaharajalela.

Rasuah, nepostime dan ultra kejahatan lain membarah.

Revolusi berlangsung 18 hari mulai tanggal 25 Januari 2010.

Lebih 150 nyawa melayang dimata peluru pasukan bersenjata penguasa.


Rangkuman revolusi Mesir

Mula tanggal 11 Februari 2011, kepala segala kejahatan di Mesir telah jatuh tersungkur ditangan rakyat sendiri tidak dengan piliharaya namun rakyat memilih jalanraya.

Akhirnya, penantian yang cukup dramatik dan sarat dengan tenaga perjuangan memberikan hasil yang positif untuk memulakan perjalanan yang masih jauh. Diumumkan oleh Omar Sulaeman, yang menjawat jawatan sebagai vice-president bagi Husni Mubarak sebelum ini. Hosni Mubarak telah meletak jawatan sebagai Presiden Mesir disini - Sekadar catatan: Omar Sulaeman adalah bekas kepala inteligen pemerintah Mesir yang menjadi anak didik CIA dan MOSSAD Israel. Beliau 'Hosni Mubarak kuasa 10 jika memerintah'.

Untuk sampai ke tahap ini, tidak sedikit gula-gula yang ditaburkan kepada rakyat Mesir untuk berundur pulang ke rumah. Pemecatan seluruh kabinet negara tanpa memecat diri sendiri, inisiatif dan pemberian subsidi tiba-tiba diberikan kepada ramai, berjanji untuk tidak bertanding jawatan presiden, gaji pegawai kerajaan dinaikkan, 'ulama' digunakan untuk mengambarkan betapa jauhnya demostrasi dan revolusi dengan Islam, samseng dan pegawai bersenjata digunakan untuk membunuh dan mencederakan.

Namun rakyat Mesir tetap solid dan konsisten dengan keputusan yang dibuat. Hosni Mubarak dan gerombolannya meletak jawatan!

Tiada berbasa basi.

Tidak Berseorangan

Jika berbicara tentang revolusi Mesir, pasti mahu tidak mahu kita tidak dapat nafikan tiupan semangat perubahan itu bertiub dari Revolusi Tunisia. Dengan landskap geografi sampailah corak pemerintahan yang sama, maka bergoncang kuat regim-regim taghut di tanah Arab itu.



Saya telah mengikuti catatan sejarah dunia ini dari awal, mulai dari Tunisia sehingga meledak amukkan massa di Mesir. Mula dari itu tidur saya tidak pernah lena.

Revolusi Mesir dan dunia sekarang telah memasuki fasa baru. Tidak lagi melalui sebaran kertas akhbar tapi dengan Facebook, Twitter dan blog. Saya masih ingat, hari pertama rakyat Mesir turun berkumpul ke jalanraya. Saya telah bersama di group Facebook We are All Khaled Said. Pada masa yang sama, berinisiatif menyebarkan kepada lain. Sambutan perlahan, dingin dan kurang responsif.

Namun selepas tersebar khabar buruk pelajar dan rakyat Malaysia di Mesir, sambutan berkenaan isu Mesir melonjak. Ya selepas kena 'kepala sendiri'. Reaksi ini saya tegur.

"Biarlah, setidaknya kita berdoa juga."

"Biarlah baru nak kongsi, setidaknya kongsi juga."

"Biarlah baru nak pedulu, setidaknya peduli juga."

Tiada yang salah pada doa, kerana doa itu senjata. Tiada salah pada berkongsi, kerana sharing is caring. Tiada yang salah pada peduli, kerana umat peduli adalah umat Nabi Muhammad s.a.w.- yang tidak peduli Nabi Muhammad s.a.w tidak mengaku umat-

Tapi respon kita adalah respon yang reaktif bukan proaktif. Terkena batang hidung sendiri, baru mahu sedar. Terkena adik beradik sedara mara, baru merasa sebagian dari mereka. Sedarnya selepas terkena adalah sedar yang reaktif.

"Panas rupanya api neraka ni," kata penghuni neraka.

Mahu begitu?!

Seni Politik Negara Arab

Algeria adalah negara yang terletak di Afrika Utara yang telah banyak memakan korban banyak nyawa dalam membebaskan negara dari cengkaman penjajah Perancis. Bila kemenangan itu seakan dekat dengan Perancis meninggalkan negara, ia bukan seindah yang disangka. Kuku Besi penjajah, diganti dengan kuku besi rakyat tempatan. Front Islamic Salvation (FIS) yang memenangi piliharaya tersungkur selepas rampasan kuasa oleh pihak tentera. Aktivis mereka ditangkap dan digiring ke penjara.

Revolusi Tunisia juga banyak memberikan pengajaran yang berguna buat rakyat Mesir dan gerakan disana. An-Nahdhah yang dipimpin oleh Syeikh Rasyid Ghanushi, mengatakan revolusi rakyat Tunisia bukanlah dari mereka tapi murni dari rakyat kebanyakkan.

"An-Nahdhah tidak disertakan dalam pembentukkan kabinet yang baru. Apa respon Tuan tentang hal ini,"tanya media kepada Syeikh Rasyid Ghanushi yang sempat saya ikuti di Al-Jazeera.

"Siapa yang masuk dan mengetuai untuk masa dan ketika ini bukan target kita. Yang penting, piliharaya yang bersih, dan kami akan menyertainya. Gagasan dan idea kami bawa, kami serahkan kepada rakyat Tunisia untuk memilih dan menilai."

Cukup cantik jawapannya.

Begitu juga kedudukan Ikhwanul Muslimin di Mesir ketika ini. Disaat meledaknya protes massa, mereka begitu berhati-hati menyatakan sikap, pertimbangan sejarah global dan lokal dan ketepatan ijtihad politik menjadi andalan.

Ikhwanul Muslimin tidak secara mudah mendabik dada kejayaan revolusi Mesir adalah dari mereka walaupun aktivis IM berakar kuat di masyarakat. Kejayaan revolusi Mesir bukan berpunca dari satu gerakan semata, bukan berpunca dari satu agama semata. Ini kerana kezaliman dan ketidakadilan yang menjangkaui keseluruhan rakyat marhaen menerobos halangan agama, kepercayaan dan bangsa.

Orang lama Ikhwanul Muslimin cuba 'dicucuk' oleh Al-Jazeera untuk menyatakan dan menamakan siapa calon andalan mereka untuk presiden, dijawab penuh bijaksana dan tepat.

"Soal itu kita serah kepada rakyat. Mereka berhak memilih secara bebas. Buat masa sekarang kita tumpu kepada kehendak rakyat."

Disatu sisi lain, media bertanya kepada Paderi Kristian andaikata Ikhwanul Muslimin dipilih rakyat untuk berkuasa "Kami tidak takut dengan Ikhwanul Muslimin. Mereka orang yang baik." Musuh Islam mati kutu bagi menjerumuskan Ikhwanul Muslimin ke kandang pesalah. Mahu memalitkan mereka dengan citra keganasan dan keras tidak berjaya dengan komitmen yang ditunjukkan rakyat yang turun ke jalanraya. Aman!

Salah Sikap Kita

Andai diberi pilihan sekalipun, saya tidak akan komentar patut atau tidak tentang tindakan rakyat Tunisia, Mesir hatta Malaysia sekalipun.

"Bersyukurlah Malaysia ini aman. Jangan jadi seperti Mesir sudah!," kata seorang teman.

"Mahu jadi seperti Mesir ke?!," komen seorang pemuda selepas temannya menyokong dan mendokong rakyat Mesir

Berdesing telinga mendengar.

Tidak pernah mahu membaca kisah sejarah Raja Farouk, Jamal Naseer, Anwar Sadat, Hosni Mubarak, Omar Suleiman. Tidak pernah peduli dengan ramainya alim ulama yang dipenjara panas dipadang pasir, digantung, ditembak, dibunuh dan diseksa rakyat bawahan. Tidak pernah kisah kisah pengkhianatan jijik pemerintah Mesir dan Arab terhadap Palestine dan Islam. Tidak pernah mengambil pusing kisah Khaled Said yang ditangkap, dibunuh dan mayatnya dibuang dipinggir jalan selepas meletakkan rakaman polis mengedar dadah di Youtube.

Tidak pernah baca, tidak pernah peduli, tidak pernah mencari tahu. Mahu bercakap apa yang patut atau tidak. Tak merasa diri itu jijik ke?!

Kemalangan sikap ini lebih parah apabila berada ditangan agamawan. Menjadi satu keistimewaan kepada seorang pemerintah, presiden, perdana menteri, amir negara, sultan, raja, di sebuah negara 'Islam' ialah kezaliman, kenifaqan, ketidakadilan dan berjuta ultra kejahatan akan dilindungi dan dipelihara oleh 'dalil-dalil agama dan agamawan' itu sendiri. Selamatkan ummah dari fitnah akbar ini!

Potret Revolusi Mesir

Memilih Jalanraya, selepas Pilihanraya dikhianati

Pertembungan

Gangster dan polis diupah untuk mencedera dan membunuh demostrator

Doktor tidak dikerusi empuk

Kesakitan rakyat dan paramedik turun ke jalanraya

Lawan

Lawan tetap lawan

Sujud dicelah-celah tank baja

Jumaat pada minggu ketiga 11 Feb 2011. 1 Imam, 2 juta makmum

Jeneral Tentera turun memberi jaminan

Ucapan yang menjadi sorotan seluruh media

Free!

Gambar disini, disini dan disini

Raja Segala Raja

Satu demi satu tumbangnya regim dunia, harus menjadi satu titik peringatan yang kuat kepada sang pemimpin. Boleh sahaja menutup mulut rakyat dengan segala cara untuk satu ketika, namun mereka tidak mampu menutup mulut rakyat selama-lamanya.

Kerana maruah, kehormatan, keadilan adalah fitrah manusia yang dicari!

Tiada kerajaan yang kekal didunia ini melainkan kerajaan raja kepada segala raja, sultan kepada segala sultan, presiden kepada segala presiden, perdana menteri kepada segala perdana menteri.

Kerajaan Allah s.w.t.

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (Ali-Imran: 26)



Ia permulaan...bergembiralah!

Nota 1 : 12 Feb adalah hari terbunuhnya As-Syahid Imam Hassan Al-Banna ditembak mati oleh pemerintah taghut.

.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.

Sunday, 6 February 2011

Pulang Mencari Damai

Ketika ini, alhamdulillah saya sudah selamat sampai ke bumi Parahyangan, tempat berjuang selepas pulang ke kampung mencari damai. Usai sampai, berehat sejenak, fikiran tidak lepas dari memikirkan kampung halaman.

Ini bukan kali pertama saya pulang ke kampung, ini bukan kali pertama saya bercuti, tapi perasaan yang saya alami adalah baru pertama kali. Akhirnya saya sedar, saya pulang mendekati fitrah dan bila menjauhinya mendatangkan resah.

Seperti robot yang diprogramkan. Itulah yang dapat saya simpulkan setelah masuk ke alam internship atau lebih dikenali sebagai doktor muda. Kehidupan mahu tidak mahu termasuk didalam rutin yang dijadualkan. Sibuk dengan belajar, kehidupan di hospital dan pelbagai tugasan menjadikan diri cepat 'haus' dan kadang-kadang tertekan.

"Ibu, Ami nanti cuti seminggu je. Pendek je tapi nak pergi holiday jugak. Perlu refreshing," pinta saya kepada ibu.

Azam dalam diri, pulang jangan pulang seperti orang lain. Diri yang biasa harus pulang dengan cara dan pengisian yang luarbiasa. "Ubah sekarang, Selamatkan Malaysia."

Menjenguk kembali ke SESTER selepas 5 tahun meninggalkan. Kali ini dengan satu misi, 'meracuni' minda pelajar disana. Terjadi usrah yang tidak disengajakan. Alhamdulillah, sempat ber'teh tarik' dengan Cikgu Fauzi.

Hobi baru 'orang bujang' dirumah. Goldwing!

Bercuti ke Cameron Highland. Di Bharat Teh Plantation. Cuaca dingin dipanaskan dengan hangatnya teh halia. Asyik!

Dari Terenganu ke Cameron Highland mengunakan laluan Kenyir-Gua Musang-Felda Aring-Lojing-Cameron. Sempat singgah ke pusat penjagaan gajah.

Nota 1 : Ada permintaan untuk menyambung ulasan Revolusi Mesir selepas Revolusi Tunisia. InsyAllah akan saya kongsi, untuk sekarang, jom kita lihat video ini.