Friday 19 August 2011

Ramadan: Keimanan Bersyarat



"Luar biasa tanda Allah berikan...ini sebagai peringatan buat kita manusia bahawa Allah sedang melihat kita!," kata seorang insan 'tersedar' selepas melihat objek yang menyerupai mata dibentuk awan didada langit.

"Masyallah...Ini kekuasaannya. Tak pernah lagi budak kecil lahir dengan kalimah Allah di telinga," terpegun melihat gambar bayi.

Jika sebahagian dari kita terlopong melihat kemunculan imej yang disebut lafz al-jalalah "Allah" dibeberapa tempat dan kejadian. Saya pula melopong aneh melihat orang terlopong melihat imej itu. Kenapa begitu?

Di langit, pokok, batu, bunyi bawah tanah, lembu kambing, sarang lebah...saya tidak faham mengapa kesedaran mahu dihadirkan semata-mata itu.




Apakah ini semua keajaiban?

Kata alim ulama berkenaan hal ini, lafz al-jalalah mungkin keajaiban petanda dari Allah tetapi mungkin ia sebatas sangkaan semata-mata.

Namun yang pasti, trend ramai dari masyarakat kita, dengan muncul imej sebegitu barulah sedar hakikat adanya Allah s.w.t. Baru terbuka mata melihat Allah. Akal baru mahu berfikir kekuasaan-Nya. Harus ada hari tertentu, tanda tertentu, kejadian tertentu barulah mahu kenal Allah. Kita meletakkan syarat untuk beriman. "Berikan tanda, baru aku beriman!." Yang mungkin tanda itu benar atau hanya sangkaan semata-mata.

Sedangkan setiap hari kita bernaung pada langit yang sama, pohon melambai-lambai, denyut jantung diri berdenyut seperti biasa. Kesemua yang biasa itu kita gagal menangkap signal ketuhanan dengan mengambil sikap menunggu kejadian yang luar biasa. Barulah mahu bergerak untuk mempercayainya.

"Dan (ingatlah), ketika kamu berkata: "Hai Musa, kami tidak akan beriman kepadamu sebelum kami melihat Allah dengan terang, karena itu kamu disambar halilintar, sedang kamu menyaksikannya ". (Al-Baqarah: 55)

Berikan kami tanda, baru kami mahu beriman. Itulah sikap Bani Israel bila diseru untuk tunduk kepada Allah s.w.t oleh Nabi Musa a.s. Dan itulah juga sikap sebagian dari kita bukan! Penyakit sikap yang sama diimani oleh kaum Bani Israel.

Iman akan datang selepas diberikan terlebih dahulu tanda. Tanda yang mampu dikesan oleh deria mata, rasa, telinga. "Tiada tanda itu, maaf tiadalah iman untuk-Mu." Tanda kehadiran dan kekuasaan Allah yang diberikan luar dari deria manusia, kita tidak mampu menghadirkan keimanan.

Hatta meletakkan syarat, hanya mahu percaya selepas melihat itulah petanda betapa rendahnya iman kita. Kita lupa melihat kejadian diri ini yang biasa, yang secara hakikat adalah kejadian yang luarbiasa.


Kisah Ruben mencari fitrah diri

Tanda paling dekat itu ada pada batang tubuh kita sendiri.

Rumah yang besar, mampu dimasukkan dengan mengunakan kedua bola mata yang kecil. Pengaliran darah yang diatur secara tepat oleh jantung tanpa perlu ditekan suis ON OFF. Lubang hidung yang mengadap kebawah itu sendiri tanda kekuasaan. Bagaimana jika mengadap ke atas? Hujan datang...

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang Yang berakal; (Ali-Imran: 190)

Apabila semua itu kita gagal menangkap signal Allah...persoalkan kembali urusan IMAN diri!

No comments: