Tuesday, 19 February 2013

Ibn Khaldun: Cukai dan Jatuh Bangun Empayar

Bicara tentang ketamadunan dan prinsip-prinsip dasar didalamnya, pasti tidak boleh lepas dari memasukkan buah fikiran seorang tokoh ilmuan besar Islam bernama Ibn Khaldun yang mencanai mutiara berharga ummah dan dunia didalam kitabnya iaitu Muqaddimah.
Tugu Ibn Khaldun di Tunisia
Ibn Khaldun dalam kitabnya Muqaddimah ada menulis tentang keterkaitan jangka hayat sesebuah pemerintahan dengan cukai yang dikenakan oleh pemerintah kepada rakyat.

“At the beginning of the empire, the tax rates were low and the revenues were high. At the end of the empire, the tax rates were high and the revenues were low.”

Ibn Khaldun mengatakan bagi tempoh setiap pemerintahan biasanya tidak melebihi tiga dinasti sebelum yang lama tumbang dan pemerintahan baru mengambil alih. Corak cukai yang dikenakan terhadap rakyat oleh pemerintah saat itu boleh menentukan sejauh mana pemerintah itu boleh bertahan dan tumbang.

Ibn Khaldun mengatakan “The reason for this is that when the dynasty follows the ways (sunan) of the religion, it imposes only such taxes as are stipulated by the religious law, such as charity taxes, the land tax, and the poll tax. They mean small assessments, because, as everyone knows, the charity tax on property is low.”

Islam secara prinsipnya membenarkan cukai dikutip dari rakyat oleh pemerintah dengan catatan merah iaitu kutipan cukai yang rendah. Zakat sebagai contoh, kutipan diambil dari rakyat diberikan kepada rakyat bukan dikumpul untuk pemerintah. Dan cukai harta hanya 2.5% (emas dan perak). Cukai tanah, dan lain-lain tidak diimplimentasi secara besar-besaran oleh dunia Islam ketika itu.

Dari itu, Ibn Khaldun membuat kesimpulan bahawa apabila apabila pemerintah itu taat kepada prinsip Islam dengan tidak mengenakan cukai secara berlebihan dan membebankan rakyat, pemerintah akan lebih bijak dan berkerja keras dalam usaha yang lain mendatangkan pendapatan negara.

Mudahnya, tidaklah  terjadi seperti sifir  ‘negara mahukan wang, cukai dikenakan, rakyat sengsara, negara kaya.’

Lebih menarik, Ibn Khaldun mengatakan apabila kerajaan mengenakan cukai rendah, perolehan pendapatan negara tinggi berbanding cukai tinggi.


 

Ibn Khaldun menyambung  dalam Muqaddimah, sebab kenapa perolehan pendapatan negara tetap tinggi walaupun kerajaan mengenakan cukai yang rendah adalah pemerintah lebih menumpukan untuk mengukuhkan dan memajukan negara untuk rakyat berbanding mengambil kekayaan negara untuk perut dan tembolok masing-masing. Good governance. 

Pemerintah ketika awal pemerintahan amat berhati-hati untuk melakukan nepotisme, korupsi, rasuah dan tumpuan mereka hanya untuk berkhidmat kepada rakyat. Wang terkumpul kepada rakyat, sedaya upaya mereka berusaha mengembalikan kepada rakyat. Akhirnya, apabila keperluan rakyat terpenuhi, kerajaan yang ada memerintah dengan cekap dan amanah, empayar kekuasaan mereka stabil dan kuat.

Umar Al-Khattab sebagai contoh. Menjadi kebiasaan beliau ketika memegang jawatan Amirul Mukminin yang kedua, adalah meronda pada malam hari bagi melihat kehidupan rakyat. Beliau mendapati ada satu keluarga yang terdiri dari seorang ibu dan anak-anaknya yang masih kecil. Kelaparan tidak makan sudah beberapa hari. Umar Al-Khattab mengambil gandum dari baitulmal, memikul sendiri, menguli, memasak dan menyuap makan anak-anak kecil itu. Contoh keperhatinan dan keterhati-hatian Khalifah dalam memerintah. Hal yang dilakukan kelihatan kecil, namun impaknya di zaman Umar Al-Khattab lah, Al-Aqsa dan Palestin dibebaskan dari tangan tentera Salib.

Contoh lain adalah Salahuddin Al-Ayubi yang semasa akhir hayatnya pada tahun 1193 masihi, hanya meninggalkan beberapa keping syiling emas dan perak dalam simpanannya. Sedangkan era pemerintahan beliau sekitar  tahun 1100 masihi, beliau memerintah Mesir dan Syria. Satu empayar pemerintahan yang luas. Ini semua terjadi kerana beliau mengunakan wang kerajaan yang terkumpul untuk memperkuatkan tentera dan seterusnya berjaya membebaskan Al-Aqsa buat kali kedua selepas Umar Al-Khattab. Buat diri sendiri dan urusan pribadi, tiada.

Tugu Salahuddin Al-Ayyubi di Syria
Namun apabila pemerintah itu memerintah dengan selesa, empayar kerajaan mereka luas, perolehan dana untuk negara meningkat, cara hidup para pemerintah mula berubah. Mereka mula menganggap wang negara adalah wang sendiri, dan menghabiskan wang negara untuk kepentingan pribadi. Sudah tentu disisi pengamalan  dan penghayatan Islam dalam diri dan pemerintah semakin jauh.  Dan akhirnya tumbang.

Roda ini berputar dan masih berputar. Naik dan turun. Walaupun teori lbn Khaldun ini dicatatkan sekitar 1300 masihi, namun masih ‘teramat betul’ untuk diguna sebagai bahan zikir dan fikir kita. Sifir sunnahtullah dan syaritullah berkadar langsung dengan jatuh bangun ummah.

Dr Amad,
Terengganu,
19 Feb 2013.

Thursday, 14 February 2013

Aurangzeb, Empayar Mughal dan Nilai



Aurangzeb sedang membaca Al-Quran

Bagi sesiapa yang meminati dan mengamati sejarah Islam di India, pasti tidak akan terlepas dari berbicara tentang Empayar Mughal Aurangzeb Alamgir yang memerintah India dari tahun 1658 sehingga 1707.

Empayar Mughal memerintah kebanyakan kawasan di India sekaligus menjadi penguasan kawasan antara kawasan-kawasan yang paling kaya di dunia pada ketika itu.

Ayah kepada Aurangzeb adalah Shah Jahan, insan yang membina Taj Mahal di Agra, India. Ayah beliau menyediakan ulama dan guru terbaik untuk Aurangzeb sebagai persediaan mengambil tampuk pemerintahan kelak. Ketika beliau masih muda lagi, Aurangzeb sudah mahir dan lancar membaca Al-Quran, mahir dalam ilmu hadis dan disiplin ilmu sains yang lain. Beliau juga terkenal sebagai ulat buku kerana mampu membaca dalam bahasa Arab, Parsi, dan Turki.


Ketika tampuk pemerintahan Mughal diserahkan kepada beliau selepas kematian Shah Jahan, antara tumpuan beliau adalah penerapan sistem pemerintahan Islam yang sebenar. Ini kerana dari datuknya iaitu Akbar dan ayahnya Shah Jahan, masih mencampur adukkan sistem Islam dengan sistem pemerintahan yang bertentangan dengan Islam. Bahkan, Aurangzeb sendiri tidak bersetuju dengan dengan tindakan ayah beliau sendiri Shah Jahan yang membina Taj Mahal, iaitu makam kepada isterinya merangkap ibu kepada Aurangzeb sendiri iaitu Mumtaz Mahal. Membina binaan diatas kubur apatah lagi membazir dan mewah adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Bagi memastikan pemerintahan beliau, Aurangzeb selari dengan ajaran Islam. Beliau menjemput ratusan ulama terkenal dari serata dunia datang ke India, berbincang dan menulis satu buku panduan pemerintahan yang akhirnya lahirlah kitab Fatawa-e-Alamgiri yang juga dikenali sebagai Fatawa al-Hindiya yang selepas itu dikenali oleh kebanyakan muslim sebagai kitab rujukan bagi Mazhab Hanafi.

Mengunakan Fatawa-e-Alamgiri sebagai dasar pemerintahan, Aurangzeb telah menghapuskan arak, judi, dan pelacuran. Ada cukai yang selama ini menjadi hasil buat negara namun bertentang dengan Islam, telah dihapuskan.

Bagi menampung kekurangan hasil negara kerana penghapusan cukai, Aurangzeb mengamalkan cara hidup yang sederhana. Adat istiadat raja yang bermewahan dihapuskan seperti majlis muzik tarian dan sambutan hari lahir telah dihapuskan oleh beliau.

Tuesday, 12 February 2013

Cerita Sweet Atuk Nenek

Jus Mangga di Alexandria yang dingin
Ramai yang menganggap 'sweet' dalam kehidupan berumahtangga hanya satu hala pemahaman. Yang sering beri bunga kepada pasangan, sering mengucapkan 'luv you', sambut hari jadi pasangan ditempat mewah, makan malam anniversary di tempat romantik. Seperti layaknya filem romantik. Dan kesweetan (maafkan saya DBP) yang kita faham seperti inilah itulah menyebabkan rumahtangga pasti bertahan lama.

Benarnya ada, tetapi belum tentu 100% benar. Saya membawa data, peratusan tertinggi penceraian di Terengganu pada usianperkahwinan 10 tahun pertama. Tahun-tahun awal yang penuh kesweetan sepatutnya.

Saya bawa pula realitinya rumahtangga atok nenek kita. Mereka tidak menonton filem romantik untuk menjadi romantik. Mereka tidak baca buku kekeluargaan. Tidak menjadi amalan atuk nenek kita untuk mengucapkan "Timah, i luv you." Anniversary pun tidak disambut dan entah ingat ke tidak. Namun kenapa rumahtangga mereka kekal hingga sekarang dan terus subur?

Atuk tahu nenek suka makan ikan keli paya, atuk siapkan jala, perlu menebar jala, dapat ikan keli bawa balik rumah, letak atas dapur dan pergi jumpa nenek "Mah, ada ikan keli atas dapur." Sweet dibuktikan dengan perbuatan.

Nenek tahu atuk penat jala ikan walaupun atuk tidak memberitahu. Malamnya nenek ambil minyak gamat, urut bahu atuk sambil bersembang soal ayam itik dan anak-anak. Sweet dibuktikan dengan perbuatan.

Sweet bukan satu hala, bukan semata-mata apa yang kita faham dan tahu. Sweet itu pembuktian bukan upacara lisan.

Sweet itu isteri kita dapat merasainya jika suami tetap bangun malam tukar lampin anak walaupun penat bekerja. Sweet itu suami dapat merasainya jika isteri tetap tersenyum dan tidak pot pet pot pet walaupun penat bekerja.

Sekali lagi buat "wahai imamku", buat "wahai makmumku", hidup rumahtangga bukan "so sweet...so sweet" sentiasa seperti kita impikan sambil memicit jerawat di tingkap pagi.

Saturday, 19 January 2013

Di Pondok Kecil dan Pattani Darul Salam


Hingga ke akhir percutian saya di Mesir, Allah terus berikan hikmah-hikmah-Nya. Perjalanan saya dari rumah zaujah ke airport Kaherah dibawa oleh seorang ustaz Ahmad yang berasal dari Pattani Darul Salam.
Pulang ke Malaysia


Kenapa saya menyebut Pattani Darul Salam? Sambung baca coretan saya.

Ustaz Ahmad teruja bila saya mampu bercakap dalam loghat Kelantan. Komunikasi yang baik dari segi penguasaan bahasa sememangnya membuka pintu keramahan dan kebaikan orang lain terhadap kita. Saya bertanya beliau tentang kampung halaman dan perkembangan terbaru di Pattani. Sudah lama saya tidak kemaskini tentang Pattani, paling terakhir dengan sahabat-sahabat pondok saya dahulu. Sudah lama, selepas SPM.

“Doktor tahu asalnyo lagu Di Pondok Kecil?,” tanya Ustaz Ahmad.

“Kalu asal ambe dok tahu, tapi lagu tu jadi lagu faveret ambe lah time kecik-kecik dulu. Mugo besor dengan lagu Nada Murni,”jawap saya.

“Lagu ini usianyo sudoh 200 tahun lebih,” Ustaz Ahmad buka cerita.

Sekarang, nasib umat Islam di Pattani tidak kurang sama dengan nasib umat Islam di Rohingya, Mindanao. Mereka sama aqidah dengan kita, namun nasib mereka tidak terbela atau setidaknya menjadi mainstream dalam masyarakat Muslim kita. Tidak seperti isu Palestine.

“Pattani Darul Salam adalah sebuah negara (dahulu adalah negara Islam, sebelum dijajah oleh Siam dari Utara Thai) yang kaya. Bahkan 4 buah daerah Thailand sekarang iaitu Pattani hasilnya lebih banyak dari hasil ekonomi keseluruhan Thailand.”

“Pattani ni kayo. Kami ado ikan laut yang banyak (pasar di Malaysia pun ikan dari Thailand), ado pokok getoh, ado minyok kat laut, kironya cukup lengkaplah.”

Kerana kekayaan itulah, Pattani Darul Salam dijajah. Dahulu selepas Pattani diserang, sultan Pattani dan rakyat dibawa ke Bangkok dan selepas itu dikerah membuat sebatang sungai. Digali dengan tangan, tempurung kelapa dan peralatan minimal yang ada. Selesai gali, potong kepala, buang mayat didalam sungai.

Kehidupan masyarakat di Pattani yang seharusnya makmur dan kaya, bertukar menjadi miskin dan dizalimi beratus tahun lamanya. Apabila semakin hari, semakin ditindas. Sudahlah ekonomi disekat, alim ulama ditangkap dan dibunuh. Lantaran itu, ulama pondok di Pattani, membuat baiah (ikrar).  Jika ikrar jihad dibuat ditempat umum, akan berlaku penindasan lagi. Jadi ulama di Pattani membuat ikrar di Pantai Selatan iaitu sekarang Narathiwat.

“Bila jihad telah diistiharkan oleh Ulama Pattani, guano mereka nak umum pada masyarakat Islam di Pattani? Nok umum bahawa sudah ada kewajiban jihad di Pattani? Dok leh main umum gitu jah. Jadi ulama ini karang satu lagu dan lagu itu adalah Di Pondok Kecil. Cuba perhati molek lirik lagu tu...”

Saya langsung cuba mengingat-ngingat kembali lirik lagu itu....”Ya Allah, aku baru tahu!”



“Dipondok kecil di pantai ombak
Berbuih putih beralun-alun

Disuatu hari ayah berkata
Jaga adik mu ayahkan pergi jauh
Ku pandang wajah ayah dahinya ku cium
Air mata mengalir hatiku pilu

Diam-diamlah sayang jangan menangis
Doakan ayah semoga diterima
Diam adik ku sayang jangan menangis
Andai ayah gugur doakan dia syahid

Selamat berjuangan ayah tercinta
Kau pergi dulu ayah ke medan juang
Ku iringi doa moga berjaya
Beroleh kemenangan demi agama Islam

Wahai abang ku kemana
Ayah ku sayang ayah ku cinta ayah

Duhai adik ku sayang jangan bersedih
Ayah mu pergi menyambut seruan Ilahi
Tapi ingatlah adik ku pesanan ayah
Berjuangan dan berkorban walau dimana jua

Pada Mu Tuhan aku bermohon
Dosa ayah ku minta diampunkan
Berilah rahmat bantulah dia
Untuk menegakkan agama Islam”

Halus kalam orang-orang alim dalam mentauhidkan Allah dan kalimah Jihad-Nya.

Selama ini kisah sejarah Pattani yang saya fahami seperti kepingan puzzle, namun dicantum baik oleh Ustaz Ahmad itu. Penutup pertemuan saya dengan Ustaz Ahmad cukup positif.

“InsyAllah, tak lama lagi Pattani akan kembali ke tangan kita umat Islam kembali. Tak lama lagi, sungguh.”

Optimis bagi Pattani Darul Salam!