Dusssshh...
Saya melepaskan satu pukulan tepat ke muka musuh didepan lantaran terlampau marah dengan provokasi melampau. Pada masa itu, tiada apa yang saya ingat melainkan untuk melepaskan nafsu amarah dan memberhentikannya dari bercakap balas.
Darah mengalir dari bibir dan hidung. Pekat dan merah.
Bukan sedikit ia mengalir, melaju seperti pili air. Saya merasa berpuas hati, pada awalnya. Tetapi melihat darah berciciran keluar, saya menjadi gelabah dan serba salah. Terus berkejar mendapatkan kain dan kapas untuk mengelap darah yang keluar. Perbuatan yang tidak difikirkan apa sebab dan akibat pada awal, ia menyebabkan penyesalan pada diri.
Itulah peristiwa 15 tahun lepas, pada masa itu, saya anak muda yang amat panas baran. Pantang dicabar, darah muda cepat mendidih.
Peristiwa disekolah asrama juga tidak kurang sisi gelapnya. Saya cukup allergic dengan insan bernama wanita. Pantang mereka melakukan silap, saya tidak teragak-agak "sound" walaupun didepan orang. Oleh kerana itu, jika ditanya sahabat-sahabat perempuan sama sekolah dengan saya, mesti mereka mengatakan dahulu agak kurang selesa berurusan dengan saya.
Takut kena "sembur"
Manusia sering berkata "masa dan pengalaman diri itu akan mengubah segalanya."
Itu adalah kisah sejarah dulu yang amat saya syukuri dan banyak membentuk diri saya sekarang.
Berkenalan dan bergaul dengan ramai orang yang diluar Terengganu khususnya, banyak mengajar diri ini tentang pendekatan itu. Lain padang, lain belalang, itu pepatah orang tua kita. Kita tidak boleh "treat" semua orang dengan pendekatan yang sama. Itu point penting yang saya baru belajar apabila keluar dari Terengganu.
Jika dahulu, berkaitan dengan prinsip, saya akan mendahulukan pendekatan tegas walaupun manusia dihadapan kita boleh dibentuk dengan lembut, ia berubah sekarang. Saya agak lebih banyak "menghulurkan tali" berbanding menyentapnya.
Saya menjadi lembut dalam pendekatan.
Tetapi tergantung dengan siapa saya berhadapan.
" Dakwah itu perlu berhikmah dan berlemah lembut," tegur teman kepada saya.
Persoalannya apa itu hikmah? Dan sejauh mana kita harus secara adil kita letakkan hikmah dan lemah lembut itu?
Sosok Dua Ikon Agung Islam
" Penggal sahaja kepala tahanan ini," saranan dari Saidina Umar kepada Nabi Muhammad s.a.w selepas Baginda memanggil dan meminta pandangan dari dua insan yang amat berjasa diatas kelangsungan agama suci Islam. Peristiwa di tanah gersang yang bersimbah darah, Badar Al-Kubra.
Saidina Umar dan Saidina Abu Bakar.
Dua sahabat yang Nabi Muhammad s.a.w sayangi dan mewakili dua pembawaan pribadi yang berbeza.
Dalam peperangan agung Badar Al-Kubra itu, pihak Islam mengenggam kemenangan yang amat penting dan vital untuk masa depan Islam. Bahkan tentera Islam berjaya membunuh 70 musyrikin dan menawan 70 yang lain. Nabi Muhammad s.a.w tidak tahu menentukan nasib tawanan perang lantas meminta masukan pendapat dari dua sosok pejuang ini.
Jika Saidina Umar, jawapannya penggal kepala.
Saidina Abu Bakar mencadangkan agar setiap daripada tawanan berkenaan mengajar 10 anak orang Islam mengenai hal-hal yang bersangkutan dengan ilmu peperangan, cara-cara membuat senjata dan sebagainya, jika projek itu berjaya bermakna 700 anak-anak orang mahir dalam bidang peperangan.
Kisah itu tidak berhenti sekadar itu, bahkan diceritakan oleh Allah didalam surah Al-Anfal: 67
"Tidaklah patut bagi seseorang Nabi mempunyai orang-orang tawanan sebelum dia dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia (yang tidak kekal), sedang Allah menghendaki (untuk kamu pahala) akhirat. dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."
Saya berkongsi cerita ini bukan untuk membahaskan yang mana satu pandangan yang lebih bagus, tetapi ingin sama berkongsi apa yang tersirat didalam kisah ini. Jika kita amati secara teliti Allah s.w.t menurunkan ayat Al-Quran dengan pelbagai nada. Disitu ada ayat indah khabar gembira, disitu juga ada ayat memberi khabar buruk. Lengkap dua sisi, yang datang satu pakej. Tidak boleh terpisah.
Islam itu ada Abu Bakar, dan juga Umar.
Kenapa dibawa kisah dua sahabat ini?
Bukan niat dan taraf saya untuk menyamakan dua tokoh besar ummat ini dengan diri. Bahkan tali kasut mereka, saya tidak layak bandingkan. Siapa saya berbanding mereka yang mencetuskan satu gerakan fikrah agung yang amat fenominal di Jazirah Arab itu. Cuma tidak lain tidak bukan saya ingin mengajak sama kita renung kembali yang tersirat disebalik pribadi mereka.
Islam itu ada Abu Bakar, dan juga Umar.
Lembut dan tegas.
Saya Berubah
Baru saya benar-benar mengerti perkongsian Ustaz Hasrizal dua tiga tahun lepas.
" Ana penat...ana penat bukan dengan tugas ana dalam berdakwah dan berkhidmat untuk masyarakat. Tetapi ana penat berurusan dengan manusia, bila ana penat...ana really mean it!."
Dan sekarang barulah saya mengerti maksud sebenar kata-kata itu, kerana saya sendiri merasakan perasaan penat itu.
Penat itu menyebabkan saya mundur? Tidak sama sekali. Ia bukan pilihan saya bahkan tidak masuk dalam pilihan. Pilihan saya, diajak cara lembut tidak jalan, saya akan REMPUH.
Oleh kerana letih berurusan dengan manusia, menyebabkan kembalinya sikap panas baran saya yang dulu. Tetapi dalam dose yang berkurangan pada pandangan saya dan berbeza subjeknya.
Jika dahulu saya amat panas melihat dan berurusan dengan manusia "biasa", sekarang ia berubah. Saya begitu lembut dengan mereka. Tetapi tidak pada yang berstatus daie'.
Saya amat kecewa dan terlebih menaruh harapan kepada manusia "luar biasa" yang berstatus daie'. Mereka seolah hilang "common sense" dan tanpa sedar lupa pada tanggungjawap pada Allah, pada Agama. Kerja sambil lewa, akhlak tidak mencirikan pejuang agama melengkapkan ciri tepat tanda khianat pada jalan perjuangan suci ini. Orang tua-tua kata " Naik lemak!."
Kenapa saya berubah dan memilih pendekatan keras kepada daie?
Dosa disetiap pada kita berstatus daie' bukan lagi berstatus dosa pribadi, melainka turut sama meruntuhkan tanzim dan fikrah yang kita dukung ini. Masyarakat diluar tidak lagi bercakap dengan dosa si anu dan si anu, tetapi membawa sama title yang digalas.
" Eh, mamat IMAN tu keluar dengan perempuan la"
" Bukan ke tu budak IMAN, elok je bertepuk tampar"
" Cakap berdegar-degar dalam usrah, wallpaper laptop gambar awek juga"
Tidak lagi dibawa nama si pelaku, tetapi sekali jawatan disandang. Mahu salahkan mereka? Tidak boleh! Kerana mereka berhak untuk menyatakan itu. Kita yang faham patut salahkan diri sendiri.
" Ala semua orang tidak sempurna, releks la"
Sampai bila kita mahu gunakan alasan seperti ini. Tidak dinafikan sememangnya fitrah manusia itu lemah dan selalu buat silap. Tetapi kita haruslah sekurang-kurangnya berusaha dahulu untuk mengurangkan silap dan usaha mencapai tahap "sempurna" walaupun hakikatnya mustahil.
Key point adalah usaha. Barulah boleh gunakan alasan itu. Jika tiada usaha mengubah, saya memberi amaran, jangan sekali-kali gunakan alasan itu. Ia lafaz yang bersifat khianat pada agama.
Masa Yang Cukup
Saya merasa memberi cukup masa yang bukan sedikit untuk para daie' ini berubah. Saya menggunakan segala lenggok bahasa dan tindakan yang dikategorikan lembut untuk mereka, tetapi tiada respon. Di pandang sepi. Sampailah satu masa tidak mampu terbendung didalam hati ini. Dan ia adalah pilihan terbaik pada pandangan saya buat masa sekarang.
" Maaflah...maaf sangat-sangat. Saya tidak sedar hal ini," satu sms yang saya dapat dari seorang Muslimat. Melengkapkan laporan yang sampai kepada saya iaitu AMAD INI GARANG!
" Hah, kenapa pulak tidak sedarnya?," saya membalas sms itu.
Dia semakin tidak tentu arah. Jauh dilubuk hati saya, tidak mengharapkan maaf itu kerana ia bukan silap pada saya, tetapi maaf itu harus dipinta kepada Allah dan Ummah. Kita dibarisan depan perjuangan, membuat silap sendiri akan mengakibatkan benteng yang kita bina musnah. Tambahan pula jika masalah itu dicipta dengan sengaja.
Perubahan pendekatan ini saya cukup alert dan responsive kepada kesan sampingnya. Jika dahulu, maaf itu lunak dimulut muslimat, sekarang muslimin turut sama melafazkannya. Pada pandangan saya ia ada pro dan kontra. Bukan senang untuk melafazkan MAAF kerana ia memerlukan sikap dan momentum mujahadah yang tinggi. Tambahan pula yang melafaz itu mempunyai kromosom X Y. Bukan senang, yop!
Pada masa yang sama saya cukup menginsafi sesuatu itu haruslah berpada-pada dan meletakkan pada posisi dan tempat yang betul. Panas baran tidak tentu pasal akan menyebabkan manusia menjauh dan begitu juga rahmat Allah s.w.t.
Hikmah dalam berdakwah perlu kita letak pada tempatnya. Jika berdondang sayang sentiasa,lembut tidak bertulang,orang disekeliling tidak akan pernah hormati kita. Jika panas baran sentiasa, manusia menjauh. Jadi berpada-padalah!
Gurauan Abu Saif
"Berdasarkan apa ana perhati dan berdasarkan simptom-simptom ana lihat, enta mengalami kekurangan Vitamin K(ahwin)," gurau Ustaz Hasrizal dalam sesi bertukar-tukar pandangan itu.
" Ya Allah, itulah hal yang paling ana tidak fikir untuk sekarang," jawap saya. Terasa jauh lagi untuk diri ini.
Ada benarnya jua dalam canda ustaz,panas baran saya mungkin boleh disejukkan dengan ehem-ehem. Jadi esok saya akan pulang ke Malaysia untuk nikah. Kepada kawan-kawan maaf kerana tidak sempat menyebarkan khabar baik ini kerana nikah itu adalah....
Dr Nur Suriati Binti Sulaiman vs Mohd Ruzmi Khairi bin Hj Rusli
Bak kata Abu Saif
" Sayang isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan muslimat garang-garangkan". Jika tidak puas hati, antum pergi cari dia...bukan saya.
Nota 1 : Amad tidak garangkan...saya masih terasa diri ini caring dan romantik..keh3
Nota 2 : Nak senior yang tidak suka marah? pi ke abang senior sorang tuh. Dia bukan sahaja tidak suka marah, marah pun tak jadi..ekeke.
Nota 3 : Jangan siapa-siapa sakat saya suruh nikah. Aku sekeh nanti. Casa Pelangi, jangan kuat gosip, pi study tuh.
Nota 3 : Selamat Pengantin baru untuk Kak Long dan...ape ek nak panggil. Abang Long kot..hu3
.: Amad ingatkan just in case kalian terlupa :.